Oleh WAN NOR ZURAIHAH WAN ALI
PEMAIN Johor DT (jersi merah/biru) akan bertandang ke Dushanbe, Tajikistan untuk menentang FC Istiklol pada aksi final Piala AFC hujung bulan ini.
SKUAD Johor Darul Takzim (Johor DT) melakar sejarah bola sepak negara apabila layak ke pentas final Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) setelah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) semalam.
Keputusan itu menyebabkan pasukan dari Kuwait tidak dibenarkan beraksi di pentas antarabangsa termasuk juara bertahan Piala AFC, Qadsia SC yang akan menentang Johor DT pada separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru Selasa ini.
Selain itu, sebuah lagi kelab dari negara itu, Kuwait SC tidak dapat meneruskan cabaran pada separuh akhir kedua Piala AFC apabila dijadual menentang kelab dari Tajikstan, FC Istiklol di Dushanbe Rabu ini.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim menyatakan bahawa perlawanan tersebut dibatalkan ekoran kemelut yang sedang melanda KFA.
“Pasukan-pasukan daripada negara tersebut telah dihalang oleh FIFA daripada terlibat dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.
“Justeru, Johor DT diberikan kemenangan oleh AFC dan akan terus ke perlawanan akhir Piala AFC 2015 bertemu FC Istiklol dan tarikh perlawanan tersebut dijadualkan pada 31 Oktober ini,” ujarnya menerusi kenyataan tersebut.
Ia bukan sahaja detik manis buat Johor DT bahkan skuad Harimau Selatan juga berjaya memahat nama mereka selaku pasukan pertama dari Malaysia yang layak ke pentas final kejohanan berprestij tersebut.
“Peluang ini dianggap rezeki buat pasukan dan penyokong Harimau Selatan untuk bersama-sama menyaksikan Johor DT melakar satu lagi lembaran baharu dalam titian perjalanan mereka di bawah naungan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim,” jelasnya.
Sementara itu, menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan di laman web rasmi FIFA, pergantungan kelab dari Kuwait itu berkuat kuasa serta merta hasil keputusan Jawatankuasa Eksekutif FIFA semasa mesyuaratnya pada 24 dan 25 September lalu yang memberi tempoh sehingga 15 Oktober lalu untuk meminta perubahan dilakukan ke atas undang-undang sukan di Kuwait.
Penggantungan itu akan hanya ditarik balik apabila KFA dan ahli-ahlinya (kelab) dapat menjalankan aktiviti dan tanggungjawab mereka secara bebas.
Satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh AFC semalam juga mengesahkan bahawa pentas final Piala AFC kini hanya akan menyaksikan pertembungan di antara Johor DT dan FC Istiklol dari Tajikistan dan ia dijangka berlangsung di Dushanbe, Tajikistan pada 31 Oktober ini.
Johor DT sebelum ini tewas 1-3 kepada Qadsia SC pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Kuwait SC, Kuwait pada 29 September lalu, manakala Kuwait SC mendahului FC Istiklol 4-0 di gelanggang sama, sehari kemudian.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3otI8ezZZ Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan