Isnin, 12 Oktober 2015

Bincangkan tindak balas masyarakat tempatan di Myanmar terhadap kuasa Barat pada abad ke-19.

Pengenalan
Penentangan di Myanmar  berlaku disebabkan dasar British meluaskan kuasa ke atas pemerintahan tradisional. Agama dan adat resam memainkan peranan penting dalam kerajaan Buddha sebagai alat penyatuan dan keagungan raja Myanmar.
Isi-isi penting
 Kebangkitan Patani (1826)
Penentangan ini berlaku selepas Myanmar Hilir jatuh ke tangan British dan termeterainya Perjanjian Yandabo pada tahun 1826. Waris pengganti Raja Bagyidaw, iaitu Setkya-min dibunuh pada tahun 1838 tetapi dipercayai bahawa beliau diselamatkan oleh bomoh Bo Bo Aung. Ini memberi harapan kepada masyarakat Myanmar untuk menebus maruah dan martabat negara.
Mereka percaya bahawa Setkya-min akan kembali untuk memimpin mereka menegakkan semula keagungan dan kekuasaan kerajaan Buddha. Dalam keadaan tersebut, muncul beberapa tokoh yang mendakwa diri mereka sebagai Setkya-min. Salah seorang ialah Maung Tsetkya yang berjaya membangkitkan penentangan di Pegu.

Kebangkitan (1858)
Seorang nelayan mendakwa dirinya sebagai Mettaya (Maitreya) muncul untuk menghalau British dari bandar Rangoon. Beliau disokong dan diakui sebagai pemimpin oleh golongan masyarakat di Rangoon.Mereka mara ke Rangoon untuk menangkap Pesuruhjaya British di  sana. Pada tahun 1860, mereka mengugut British di Toungoo. Kesetiaan penentang kepada raja dikatakan terlalu kuat sehingga mereka menyanyikan lagu tentang kejayaan putera raja Myanmar. Mereka percaya nyanyian tersebut dapat menyemarakkan semangat anti-British yang akan menjayakan penentangan mereka di Rangoon.

Perang Inggeris-Myanmar II dan Perung Inggeris-Myanmar III
Kedua-dua perang berlaku untuk menyekat kemaraan dan penguasaan British ke bahagian lain di Myanmar. Perang ini juga merupakan usaha istana dan masyarakat Myanmar untuk memelihara kedaulatan dan kemerdekaan Myanmar serta tradisi agama Buddha. Myanmar tidak berjaya mempertahankan kedaulatannya daripada dicabuli oleh British, sebuah kuasa asing.
       Selepas kekalahan Myanmar dalam Perang Inggeris-Myanmar III, institusi raja dihapuskan dan Raja Thibaw berserta keluarganya dibuang negeri ke India. Ini bermakna raja telah tersingkir daripada kerajaannya yang diturunkan oleh nenek moyangnya sendiri. Perkara ini amat memalukan dan menjatuhkan martabat Myanmar.

       Kejayaan British menakluki Myanmar Hulu memberi kesan buruk kepadaMyanmar. Segala-galanya telah musnah. Raja tersingkir, institusi raja terhapus, Dinasti Konbaung tamat, agama Buddha tercabar, kerajaan Buddha berakhir, dan kedudukan pembesar tradisional terjejas.

Oleh demikian, penentangan dalam bentuk perang gerila telah berlaku 1 pada tahun 1886. Pemberontak terdiri daripada tentera Myanmar Hulu  disertai oleh golongan pendeta dan masyarakat tani. Mereka diketuai oleh Taik-thugyi.

       Perang gerila ini membuktikan kesetiaan dan semangat cinta mereka terhadap raja dan negara. Kumpulan gerila ini berperang selama lima tahun tetapi akhirnya berjaya dipatahkan oleh tentera British.Dalam pemberontakan tersebut, terdapat tidak kurang daripada lima orang putera raja menuntut hak ke atas takhta kerajaan. Selepas pemberontakan dipatahkan, mereka dipenjarakan di kawasan yang berlainan.
Kesimpulan
Penentangan di  Myanmar bertujuan untuk menyekat kemaraan kuasa asing daripada mencerobohi dan mencabuli kedaulatan dan tradisi negara.Walaupun penentangan awal ini dianggap penting dalam sejarah politik Myanmar tetapi gagal dalam menghadapi kemaraan kuasa Barat kerana perjuangan mereka tidak mendapat sokongan keseluruhan rakyat, tidak teratur, dan tidak mempunyai satu objektif politik yang mantap.Tambahan pula, pihak penjajah telah menggunakan pasukan tentera yang besar dan alat senjata yang moden untuk mematahkan penentangan tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan