Nik Aziz hembus nafas terakhir
Oleh JULIA ISMAILjulia.ismail@kosmo.com.my
Pegawai perubatan Hospital
Universiti Sains Malaysia mengangkat Nik Aziz ke dalam ambulans untuk dibawa
pulang ke kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bharu semalam.
Advertisement
KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas,
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit
kanser prostat tahap empat di kediamannya di Pulau Melaka di sini malam tadi.
Menurut anaknya yang juga Ahli
Parlimen Pasir Mas, Nik Mohd. Abduh, Mursyidul Am Pas itu meninggal dunia di
sisi ahli keluarga kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari Hospital
Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian malam semalam.
“Ayahanda meninggal dunia di
sisi ahli keluarga pukul 9.40 malam tadi. Saya akan maklumkan urusan seterusnya
kemudian. Urusan sembahyang jenazah dan pengebumian akan dilakukan esok (hari
ini). Insya-Allah.
“Saya berharap seluruh rakyat
Malaysia mendoakan kesejahteraan arwah ayahanda,” katanya ketika menemui
wartawan di luar pekarangan rumah mereka di sini semalam.
Allahyarham dikatakan menghidap
penyakit kanser prostat sejak lima tahun lalu.
Tinjauan Kosmo! mendapati tidak
sampai setengah jam selepas beliau diberitakan meninggal dunia, kediaman bekas
Menteri Besar Kelantan itu dibanjiri ribuan rakyat yang bersedih dengan
pemergiannya.
Jalan-jalan menuju ke Pulau
Melaka di sini mulai sesak sejak pukul 9 malam apabila orang ramai berpusu-pusu
ke kediaman Allahyarham selepas mengetahui Ahli Dewan Undangan Negeri Chempaka
selama lima penggal itu dibawa keluar dari HUSM kerana semakin tenat.
Tidak ketinggalan terdapat
ramai orang yang sanggup berjalan kaki beberapa kilometer untuk ke Pulau Melaka
kerana jalan yang terlalu sesak.
Terdahulu, Nik Mohamad Abduh
pada sebelah petang menerusi laman Facebooknya turut memaklumkan kesihatan Nik
Abdul Aziz semakin merosot.
“Tahap kesihatan ayahanda
menurun selepas menjalani rawatan pada ulsernya semalam.
“Saya tidak pasti sama ada
ayahanda akan dibenarkan pulang pada pagi esok sebagaimana dijadualkan,”
katanya.
Nik Abdul Aziz merupakan antara
tokoh pemimpin Pas yang paling dihormati apabila dilantik sebagai Mursyidul Am
Pas sejak tahun 1995, malah menyandang jawatan Menteri Besar Kelantan selama 23
tahun.
Allahyarham yang pernah
mendapat pendidikan di Universiti Lahore, Pakistan dan Universiti Al-Azhar,
Mesir meninggalkan seorang balu, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, 67, dan 10
orang anak.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3RcKzoknF
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan