Jumaat, 20 Februari 2015

Kediaman paling unik, indah

Oleh Hartini Mohd Nawihartini@mediaprima.com.my
 Tiga kali dilanda banjir besar iaitu pada 1926, 1971 dan tahun lalu cukup menguji ketahanan rumah tradisional berusia 91 tahun ini untuk diangkat antara kediaman paling unik dan sarat dengan nilai keindahan.

Tidak hairanlah rumah lama itu menarik perhatian Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk dijadikan ­khazanah tradisional untuk tatapan generasi akan datang.

Pihak media diundang Rabu lalu untuk melihat sendiri proses membuka atau menanggalkan semua bahagian rumah itu sebelum ia dipindahkan dan dibina semula di Muzium Warisan Melayu, UPM, Serdang, Selangor.

Turut hadir Ahli Parlimen Jerantut, Pahang, Ahmad Nazlan Idris.

Pengarah Muzium Warisan Melayu UPM, Dr Muhammad Pauzi Abd Latif berkata, rumah itu cukup istimewa kerana selama terbabit dengan pencarian rumah lama, inilah satu-satunya yang mempunyai balai dan struktur kayunya masih utuh walaupun berusia 91 tahun.

Beliau berkata, ada perahu jalur berukuran enam meter antara sampan terpanjang dihasilkan daripada kayu balak.

Rumah di Kampung Kelola itu terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Jerantut.

Kami terpaksa berjalan satu kilometer untuk sampai ke rumah itu dalam kawasan berlumpur tapi sebaik tiba, segala masalah terungkai apabila melihat keindahan seni bina rumah lama itu.

Memasuki rumah lama itu suatu pengalaman yang sukar dilupakan penulis, ibarat masuk ke rumah di era kesultanan Pahang 91 tahun lalu.

Sejarah rumah serambi Pahang

Rumah tradisional ini milik penghulu Mukim Kelola, Allahyarham Ismail Khatib Bakar dan isterinya, Allahyarham Tijah Dolah.

Ia dibina sendiri Ismail pada 1924 dan beliau dikatakan ada pertalian darah dengan Tok Pahlawan Gendut iaitu antara pejuang Pahang yang menentang pendudukan Inggeris di Tanah Melayu.

Anak bongsu Ismail, Zaharah, 69, mengakui seolah-olah pengalaman silam suka duka menghuni rumah itu berada di hadapan mata sebaik hadir hari itu.

"Siapa boleh melupakan kehidupan di rumah ini kerana di sinilah saya dilahir dan dibesarkan bersama enam adik beradik lain," katanya yang kini tinggal di Kampung Bukit Nikmat, Jerantut itu.

Pengalaman itu turut dikongsi suaminya, Mat Yunus Itam, 74, yang mengakui rumah tradisional itu mempunyai khazanah dan sejarah tidak sama dengan rumah lain.

Uniknya, rumah yang dibina berasaskan kayu cengal dan merbau itu masih utuh seni binanya dan tidak pernah terusik dek serangan anai-anai.

"Rumah ini mempu­nyai bahagian balai, serambi, rumah induk sebagai ruang privasi keluarga dan dapur.

"Ia dipasang secara pasak tanpa paku selain tiada ­pengubahsuaian kecuali ­bahagian dapur," kata Zaharah.

Biarpun ditinggalkan begitu lama, ruang dalaman dan elemen hiasan seni bina masih utuh, antaranya cermin hiasan berlakar motif menarik masih tergantung pada dinding di serambi.

Almari dan bidai kain dengan kerangka besi juga berada di rumah induk.

Dinding rumah yang dibina memanjang dengan teknik selit masih utuh dan ada penyangkut pelbagai guna.

Paling menarik beberapa cawan dan gelas bercorak klasik yang membawa perlambangan penghuninya golongan berada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 5:01 AM
 
RUMAH tradisional ini bakal ditempatkan di Muzium Warisan Melayu, UPM.

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/29166#sthash.R42ERj9y.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan