Sabtu, 28 Februari 2015

1.6 Bentuk pemerintahan Pusat dan Wilayah.


OLEH-AHMAD YAAKOB
Selepas pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w, umat Islam diperiutah oleh para khalifah yang dikenali sebagai Khulafah al-Rasyidin. Dasar-dasar pemerintahan dan pentadbiran baginda masih diguna pakai di samping berlaku penambahan disebabkan negara dan wilayah Islam yang semakin luas dan kompleks terutamanya ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab. Impak perluasan wilayah, pemerintah kerajaan Islam telah menggubal dasar-dasar pemerintahan pada peringkat wilayah yang selari dengan pemerintahan dan pertadbiran peringkat pusat bermula zaman Khulafa' al-Rasyidin sehingga zaman kerajaan Uthmaniyah.[1]

1.6.1Pemerintahan pusat dan wilayah khalifah al-Rasyidin abad ke-7
Kerajaan Khulafah al-Rasyidin terbentuk secara rasmi pada tahun 632, iaitu apabila Abu Bakar al-Siddiq dipilih oleh umat Islam sebagai khalifah pertama. Kerajaan Khulafah al-Rasyidin diperintah oleh empat orang sahabat Nabi Muhammad s.a.w, iaitu:
(a) Khalifah Abu Bakar al-Siddiq.
(b) Khalifah Umar bin al-Khattab.
(c) Khalifah Uthman bin Affan.
(d) Khalifah AIi bin Abi Talib.
Gelaran Khulafah al-Rasyidin digunakan kerana mereka meneruskan dasar kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w.
Pentadbiran  pusat zaman Khulafa al-Rasyidin  :
a) Madinah  sebagai  pusat pemerintahan.
b) Masjid  Nabawi  sebagai  pusat pentadbiran  negara,pusat ibadat  dan kegiatan  dakwah  Islamiah.
c) Khalifah  sebagai  ketua badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.
d) Khalifah paling berkuasa tetapi  kekuasaan tidak berbentuk mutlak  dan terikat  dengan al-Quran dan sunnah  yang mengawal segala tindakan khalifah.
e) Sesuatu  dasar diputuskan melalui majlis syura (badan penasihat Khalifah).
f)  Majlis Syura secara rasmi dibentuk pada  zaman pemerintahan  khalifah Umar bin al-Khattab
g) Penubuhan Baitul Mal -perbendaharaan negara untuk menguruskan  harta rakyat dan negara.[2]
Pentadbiran  pusat zaman Khulafa al-Rasyidin  :
Pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq tidak banyak berbeza dengan zaman Rasulullah SAW kerana tempoh pemerintahannya yang singkat. Tambahan pula beliau sibuk memerangi gerakan murtad secara besar-besaran dan golongan yang enggan membayar zakat selepas sahaja kewafatan Rasulullah SAW. Pentadbiran Khalifah Abu Bakar berpusat di Madinah.
Pentadbiran  wilayah  zaman Khulafa  al-Rasyidin  :
a) Semasa pemerintahan  khalifah Abu Bakar,pemerintahan  wilayah  dibahagikan kepada  10
wilayah - Makkah,  Taif, Yaman, Hadhramaut, Khawlan, al-Jund, Nazran, Zabid, Bahrain dan Jarsh.
b)Pentadbiran perigkat wilayah telah diperkemaskan  Pada zaman pemerintahan khalifah Umar bin al-Khattab berikutan kejayaan kempen perluasan kuasa.
c) Negara Islam dibahagikan  kepada  8 wilayah utama  iaitu Madinah,Mekah, Syam, Mesopotamia, Iraan, Iraq, Mesir dan Palestin.[3]
d) Setiap wilayah mempunyai  ibu negeri dan pusat pentadbiran masing-masing.
e) Khalifah Umar bin al-Khattab  telah membentuk sistem birokrasi yang sistematik.
f)  Setiap wilayah diketuai  oleh gabenor (amil) dan dibantu oleh setiausaha  dan pegawai lain seperti :setiausaha  tentera, pegawai cukai (Sahib al-Kharaj)' pegawai polis (Sahib al- Syurtah), pegawai perbendaharan  (Sahib  Bait al-Mal)  dan kadi'
g) Setiap wilayah didirikan  sebuah  Baitul Mal untuk menguruskan  pendapatan  dan perbelanjaan negara.[4]



[1] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford Fajar.2014)  ,58.
[2]“Bentuk  Pemerintahan”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),20.
[3] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,61.
[4]“Bentuk  Pemerintahan”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah,20.

Jumaat, 20 Februari 2015

Kediaman paling unik, indah

Oleh Hartini Mohd Nawihartini@mediaprima.com.my
 Tiga kali dilanda banjir besar iaitu pada 1926, 1971 dan tahun lalu cukup menguji ketahanan rumah tradisional berusia 91 tahun ini untuk diangkat antara kediaman paling unik dan sarat dengan nilai keindahan.

Tidak hairanlah rumah lama itu menarik perhatian Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk dijadikan ­khazanah tradisional untuk tatapan generasi akan datang.

Pihak media diundang Rabu lalu untuk melihat sendiri proses membuka atau menanggalkan semua bahagian rumah itu sebelum ia dipindahkan dan dibina semula di Muzium Warisan Melayu, UPM, Serdang, Selangor.

Turut hadir Ahli Parlimen Jerantut, Pahang, Ahmad Nazlan Idris.

Pengarah Muzium Warisan Melayu UPM, Dr Muhammad Pauzi Abd Latif berkata, rumah itu cukup istimewa kerana selama terbabit dengan pencarian rumah lama, inilah satu-satunya yang mempunyai balai dan struktur kayunya masih utuh walaupun berusia 91 tahun.

Beliau berkata, ada perahu jalur berukuran enam meter antara sampan terpanjang dihasilkan daripada kayu balak.

Rumah di Kampung Kelola itu terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Jerantut.

Kami terpaksa berjalan satu kilometer untuk sampai ke rumah itu dalam kawasan berlumpur tapi sebaik tiba, segala masalah terungkai apabila melihat keindahan seni bina rumah lama itu.

Memasuki rumah lama itu suatu pengalaman yang sukar dilupakan penulis, ibarat masuk ke rumah di era kesultanan Pahang 91 tahun lalu.

Sejarah rumah serambi Pahang

Rumah tradisional ini milik penghulu Mukim Kelola, Allahyarham Ismail Khatib Bakar dan isterinya, Allahyarham Tijah Dolah.

Ia dibina sendiri Ismail pada 1924 dan beliau dikatakan ada pertalian darah dengan Tok Pahlawan Gendut iaitu antara pejuang Pahang yang menentang pendudukan Inggeris di Tanah Melayu.

Anak bongsu Ismail, Zaharah, 69, mengakui seolah-olah pengalaman silam suka duka menghuni rumah itu berada di hadapan mata sebaik hadir hari itu.

"Siapa boleh melupakan kehidupan di rumah ini kerana di sinilah saya dilahir dan dibesarkan bersama enam adik beradik lain," katanya yang kini tinggal di Kampung Bukit Nikmat, Jerantut itu.

Pengalaman itu turut dikongsi suaminya, Mat Yunus Itam, 74, yang mengakui rumah tradisional itu mempunyai khazanah dan sejarah tidak sama dengan rumah lain.

Uniknya, rumah yang dibina berasaskan kayu cengal dan merbau itu masih utuh seni binanya dan tidak pernah terusik dek serangan anai-anai.

"Rumah ini mempu­nyai bahagian balai, serambi, rumah induk sebagai ruang privasi keluarga dan dapur.

"Ia dipasang secara pasak tanpa paku selain tiada ­pengubahsuaian kecuali ­bahagian dapur," kata Zaharah.

Biarpun ditinggalkan begitu lama, ruang dalaman dan elemen hiasan seni bina masih utuh, antaranya cermin hiasan berlakar motif menarik masih tergantung pada dinding di serambi.

Almari dan bidai kain dengan kerangka besi juga berada di rumah induk.

Dinding rumah yang dibina memanjang dengan teknik selit masih utuh dan ada penyangkut pelbagai guna.

Paling menarik beberapa cawan dan gelas bercorak klasik yang membawa perlambangan penghuninya golongan berada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 5:01 AM
 
RUMAH tradisional ini bakal ditempatkan di Muzium Warisan Melayu, UPM.

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/29166#sthash.R42ERj9y.dpuf

SEJARAH PENERBITAN PENGASUH 1918-1955

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

1.0   PENGENALAN
Akhbar-akhbar Melayu yang diterbitkan sejak abad ke-19 merupakan satu sumber sejarah kerana setiap satunya merakam peristiwa sejarah semasa masing-masing. Menurut Khoo Kay Kim, “Akhbar memang biasa digunakan sebagai sumber sejarah; tetapi tidak ramai sebenarnya yang banyak bergantung kepada akhbar Melayu untuk menulis sejarah masyarakat Melayu pada hal bilangan akhbar Melayu, sepanjang abad ke-20, melebihi bilangan akhbar Inggeris…”.[1] Bagi Roff pula, “…untuk seorang ahli sejarah akhbar dan majalah yang lama-lama itu merupakan suatu alat perakaman yang amat mustahak dan berguna. Mustahak, bukan saja kerana pada halaman-halamannya diriwayatkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku, tetapi adalah kerana akhbar-akhbar itu menggambarkan dan menjelaskan  fikiran dan perasaan orang-orang yang hidup ketika itu.”[2]  Manakala menurut Ahmat Adam, akhbar amat penting “…untuk meluahkan rasa prihatin masyarakat terhadap pihak berkuasa atau pemerintah mengenai sesuatu dasar dan tindakan yang melibatkan kepentingan umum.[3]

      Seterusnya, makalah yang terkandung di dalam akhbar-akhbar itu ada juga menghuraikan peristiwa-peristiwa sejarah sebelumnya. Contohnya, akhbar Chahaya Pulau Pinang yang menyiarkan makalah riwayat hidup Stamford Raffles yang bertajuk “Darihal Pegawai Yang Mengambil Akan Singapura.” [4] Pengasuh pula menyiarkan rencana  yang bertajuk, “Tamadun Orang-Orang Arab Pada Masa Jahiliah dan Islam.”[5] Segala perkara yang terakam dalam akhbar itu dapat menyumbang kepada timbunan sumber sejarah. Walaupun sebahagian daripada rakaman tersebut asalnya bukanlah sebenarnya catatan sejarah. Walau bagaimanapun makalah yang terdapat di dalam akhbar itu perlu dinilai ketepatan fakta sejarah supaya objektif kebenaran sejarah adalah sah.

      Unsur historiografi atau pensejarahan yang terkandung atau dipaparkan oleh sesebuah akhbar Melayu kuat dipengaruhi oleh pendirian individu, pengaruh zamannya, dasar kerajaan pada zaman penjajahan British yang menyekat kebebasan akhbar dan organisasi,[6] atau pengarang yang membuat penilaian moral dan komen mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri.

            Memandangkan akhbar merupakan bayangan falsafah hidup masyarakat setempat, maka lahirlah akhbar-akhbar yang mencerminkan falsafah itu. Misalnya  Pengasuh, Neracha dan Saudara mencerminkan unsur keagamaan. Isi kandungan Neracha dan Saudara, “…cenderung ke arah perjuangan reformasi Islam,iaitu satu gerakan untuk memurnikan kembali ajaran Islam dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam dan umatnya.”[7] Menurut Md. Sidin Ahmad Ishak, “…terdapat editor dan penulis Pengasuh yang turut memperjuangkan idea Kaum Muda.”[8] Bagi Khoo Kay kim pula, akhbar-akhbar bercorak keagamaan ini membincangkan segala masalah orang Melayu “…daripada perspektif agama Islam.”[9] Dari segi karya pensejarahan pula akhbar-akhbar ini, “…memberi tumpuan penulisannya adalah kepada pensejarahan Islam.”[10] 

      Manakala menurut Muhd. Yusuf Ibrahim, akhbar yang sekular orientasinya seperti Chahaya Pulau Pinang, Lembaga Melayu,Utusan Melayu, Warta Malaya, Warta Ahad dan Lembaga Malaya “…penulisan pensejarahan itu tidak tertumpu kepada pensejarahan Islam, malah kepada peristiwa sejarah seperti sejarah tempatan, sejarah Eropah, tokoh,peperangan, malah sejarah akhbar/ majalah itu sendiri.”[11] Roff pula menyatakan, “ terdapat surat-surat khabar mingguan dan harian yang tiada hubungan dengan agama bernama Utusan Melayu (1907-21) dan Lembaga Melayu (1914-31). Kedua-dua unsur tersebut adalah bentuk-bentuk nilai yang menyelubungi masyarakat Melayu ketika akhbar-akhbar itu berperanan.

            Selain dari itu kecenderungan pengisian bahan-bahan penulisan di dalam akhbar-akhbar juga ditentukan oleh jangka hayat sesebuah akhbar, dasar kerajaan, batasan sumber kewangan atau pembiayaan dan sambutan pembaca. Contohnya Jawi Peranakkan yang jangka hayatnya agak panjang iaitu 19 tahun telah menyiarkan berita-berita yang berlaku “…di negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan di daerah -daerah seperti Lingga, Jawa Barat, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Sumatera Timur dan Brunei. Untuk kaum pedagang Jawi Peranakan menyiarkan harga barang-barang dagangan seperti timah, gambir,lada hitam, lada putih…”.[12] 

      Akhbar Peridaran Syamsu Wal-Kamar, Nujumul Fajar dan Idaran Bintang Timor gagal menyaingi Jawi Peranakan dan “…tidak sempat hidup lama lantaran kepicikan pelanggan.”[13] Akhbar Pemimpin Warita (1895-1897) juga tidak panjang umurnya “…kerana kesulitan mendapat sokongan pembaca dan langganan yang tetap, Pemimpin Warita diberhentikan penerbitannya pada penghujung bulan Ogos 1897.”[14]   

      Sementara itu, Cahaya Pulau Pinang (1900-1908) yang cuma mempunyai empat halaman turut memuatkan pensejarahan tempatan dan luar negeri. Contohnya “Darihal Duli Tengku Diauddin Yang Maha Mulia”[15] dan “Istanbul”.[16] Tetapi akhbar ini cuma hidup lapan tahun setengah dan terkubur pada 28 Mac 1908,[17] kerana tidak mendapat sambutan. Bagi mengulas fenomena ini, Khoo Kay Kim menegaskan, “…mengeluarkan akhbar dan majalah pada masa dahulu bukanlah satu jenis perniagaan yang begitu viable. Bukan hanya pasarannya terbatas bahkan pengedarannya sudah tentu menimbulkan masalah terutamanya pada waktu sebelum Perang Dunia II kerana sistem perhubungan masih belum begitu efisien.”[18]

      Pendapat ini diperkukuhkan lagi oleh Hj.Muhammad Mohd. Said yang mengatakan; “…kehidupan surat-surat khabar Melayu dan lainnya, sekiranya tiada siapa yang gemarkannya dan tiada pula dibayar  wang yuran langganannya tentulah ia tiada hidup dengan berpanjangan umur.”[19] Beliau juga menegaskan bangsa Melayu yang berpendidikan ketika itu menganggap, “…membaca surat khabar itu disifatkan suatu perkara yang tiada memberi faedah dan jauh sekali mereka itu hendak berlanggan dan membayar yurannya.”[20]

      Manakala Utusan Melayu dan Lembaga Melayu yang pro-kerajaan hidup segar kerana dibantu oleh akhbar Inggeris Singapore Free Press dan Malaya Tribune. Pengasuh pula walaupun mengalami kerugian akibat langganan tidak dibayar terus juga diterbitkan kerana ia merupakan lidah rasmi  Majlis Ugama dan Istiadat Melayu Kelantan.[21]

      Berdasarkan contoh-contoh tadi jelaslah bahawa makalah pensejarahan Melayu dimuatkan berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa dan batasan kewangan. Ini kerana pelanggan akhbar ketika itu tidak ramai dan lebih meminati karya sastera seperti pantun, cerpen, syair, cerita adat dan hikayat. Contohnya akhbar Jawi Peranakkan yang mempunyai empat halaman tidak mementingkan makalah pensejarahan, sebaliknya “…separuh isinya dipenuhi dengan iklan.”[22] Natijahnya dari sudut historiografi, maka nilai pensejarahan yang terkandung atau dipaparkan oleh sesebuah akhbar turut dipengaruhi oleh unsur-unsur yang disebutkan tadi.

            Salah sebuah akhbar penting yang menyumbang kepada pensejarahan Melayu ini baik secara positif dan negatif ialah Pengasuh. Bagi memahami peranan Pengasuh dari segi pensejarahan Melayu ada lebih baik kita tinjau kedudukan peranan dan sumbangan akhbar lain yang wujud sebelum dan semasa dengan Pengasuh. Dengan ini kita dapat membuat penilaian sejauh manakah akhbar-akhbar yang wujud menjadi penyumbang kepada pensejarahan Melayu dalam bentuk atau kebolehan masing            -masing apabila dibandingkan dengan akhbar Pengasuh yang menjadi fokus utama kajian ini.

      Kaedah ini akan meningkatkan lagi cara pengukuran terhadap Pengasuh dari segi historiografi kerana Pengasuh umumnya merupakan sebuah akhbar yang sensitif kepada keperluan rakyat dan menjadi sumber sejarah orang awam serta kepada penulisan sejarah dari bawah yang melibatkan rakyat biasa. Antara sumbangan Pengasuh kepada pensejarahan Melayu ialah menyumbangkan   pensejarahan sosial, pensejarahan riwayat hidup tokoh, pensejarahan politik dan ekonomi, kemasyarakatan, keagamaan, tatanegara, peperangan dan pensejarahan bahasa.



              [1] Khoo Kay Kim, Majalah dan Akhbar Melayu Sebagai Sunber Sejarah, Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1984,  hlm.5.
              [2]William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu, Monograf Persekutuan Bahasa Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1967,hlm.7.
              [3]Ahmat Adam, Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas , hlm.30.
              [4] Chahaya Pulau Pinang, 29 Disember 1900, hlm.2-3.
              [5]Syed Abu Bakar Abdullah Al-Attas, “Tamadun Orang-Orang Arab Pada Masa Jahiliah dan Islam, Pengasuh, Bil.611, 20 Mei 1937, hlm. 1-2.
              [6]Undang-undang hasutan diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat  di bawah Ordinan No.11,1915 apabila dunia antarabangsa sedang mengalami peperangan. Pihak berkuasa kolonial di Malaya semakin berhati-hati tentang sentimen anti-British. Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu,kawalan penerbitan yang mengendungi unsure hasutan dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi di bawah Public Emergency Enactment 1917. Untuk keterangan lanjut lihat Md. Sidin Ahmad Ishak, Penerbitan Percetakan Buku Melayu 1807-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, KualaLumpur, 1998, hlm.253-266.
              [7]Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia , Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2001, hlm.324.
              [8]Editor tersebut ialah Tok Kenali dan Hj.Muhammad bin Muhammad Said. Lihat Md. Sidin Ahmad Ishak, Penerbitan Percetakan Buku Melayu 1807-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998,hlm.61.
              [9]Khoo Kay Kim, Majalah dan Akhbar Sebagai Sumber Sejarah, hlm.7.
              [10] Muhd. Yusuf Ibrahim,Pensejarahan Melayu 1800-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,1994, hlm.143.
              [11]Ibid., hlm.143.
              [12]Ahmat Adam, Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1994,  hlm.59.
              [13]Ibid., hlm.62.
              [14]Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu ,hlm. 1776.
              [15]Chahya Pulau Pinang, 26 Januari 1901, hlm.2. 
               [16]Chahya Pulau Pinang, 6 Ogos 1904, hlm.2.
              [17]Chahya Pulau Pinang, 28 Mac 1908, hlm.1.
              [18]Khoo kay Kim, Majalah dan Akhbar Melayu Sebagai Sumber Sejarah, hlm.6.
              [19]Rencana Pengarang, “Kehidupan Surat-Surat Khabar Melayu dan Kemajuannya,”Pengasuh, Bil.52, 30 Julai 1920, hlm.1.
              [20]Ibid., hlm.1.
              [21]Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan dieja Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan kerana ejaan tersebut merupakan ejaan asal yang terdapat di dalam Pengasuh.
              [22]William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu,hlm.9.

Khamis, 19 Februari 2015

Sumbangan Khalifah Harun al-Rasyid

.oleh -AHMAD BIN YAAKOB

Khalifah Harun al-Rasyid lahir di Rayy (Iran) pada tahun 763/149 H dan meninggal dunia pada tahun 809 di Thus, Khurasan.Baginda merupakan seorang yang mempunyai sifat-sifat seperti gagah, berani, menyukai hal-hal agama, bijak berpolitik dan cinta akan ilmu pengetahuan.Baginda telah dilantik sebagai putera mahkota pada tahun 782/166 H dan menjadi khalifah Abbasiyah kelima pada tahun 786-809/170-193 H.Pemerintahan baginda dianggap sebagai zaman keemasan Islam kerana Baghdad pada ketika itu menjadi pusat perdagangan dan pusat ilmu serta peradaban Islam yang terulung.[1]

Sumbangan Khalifah Harun al-Rasyid
a) Dasar pemerintahan  dan pentadbiran
b) Hubungan diplomatik
c) Memajukan  bidang pendidikan  dan intelektual  seperti membina Baitul Hikmah,  menjadikan Baghdad  sebagai  pusat perkembangan  ilmu, menggalakkan  kegiatan  penulisan dan penterjemahan.
d) Memperkukuhkan  angkatan tentera
e) Memajukan bidang ekonomi khasnya perdagangan.[2]

SUMBANGAN KHALIFAH HARUN al-RASYID
a) Dasar pemerintahan  dan pentadbiran
Harun al-Rasyid  telah melantik wazir yang bijak  daripada keluarga  Barmaki  dalam pemerintahan  beliau. Salah seorang daripada  keluarga Barmaki,  iaitu Yahya  bin Khalid dilantik sebagai menterinya.Yahya telah memberikan  khidmat yang cemerlang kepada  kerajaan Harun al-Rasyid. Anak-anak  beliau iaitu  Jaafar, Al-Fadhl,  Muhammad,  dan Musa juga dilibatkan dalam  urusan pentadbiran  negara. Namun,  prestasi mereka yang cemerlang telah menimbulkan perasaan dengki pegawai-pegawai  yang lain terhadap mereka.Ekoran daripada itu, fltnah dilemparkan  kepada keluarga Barmaki  sebagai golongan  yang lebih condong  kepada fahaman  Syiah dan membelakangkan  ahli Sunnah.

      Mereka dikatakan  membina  istana yang sama  taraf dengan  istana-istana khalifah Mereka juga dituduh  menggunakan  wang negara dan sering juga membekukan wang negara.Lantaran itu, khalifah Harun al-Rasyid bertindak  keras menghapuskan  keluargaBarmaki dari  kerajaannya.Pada tahun 803 Masihi/187  Hijrah, Khalifah Harun  bertindak memberkas tokoh tokoh Barmaki  termasuk  Yahya bin Khalid, Jaafar,  dan Fadhl bin Yahya.  Jaafar telah dihukum  bunuh sementara Fadhl dipenjarakan seumur hidup.  Dengan  itu lenyaplah  peranan  keluarga Barmaki  dalam kerajaan Abbasiyah.[3]

      Selain  menghapuskan  keluarga Barmaki, Khalifah Harun telah dapat membanteras segala  kekacauan  dan pemberontakan di dalam  negaranya  dengan berhikmah tanpa  pertumpahan  darah.Salah  satu tindakan  yang beliau  lakukan  untuk mengekalkan  kestabilan negara adalah dengan menyusun semula pasukan  tenteranya  agar menjadi  sebuah  pasukan tentera  yang berdisiplin dan teratur. Beliau amat mengambil berat terhadap kredibiliti tentera-tenteranya  dan memberi perlindungan serta keselamatan untuk
kesejahteraan  rakyatnya.[4]
b) Hubungan diplomatik
Dalam bidang politik pula, baginda telah mengadakan hubungan yang baik dengan kuasa-kuasa asing. Pada ketika itu, selain kerajaanAbbasiyah di Baghdad, terdapat tiga buah kerajaan besar lain, iaitu:
(a) kerajaan Byzantine di Constantinople.
(b) kerajaan Umayyah di Andalus.
(c) Perancis di Eropah.[5]
Hubungan kerajaan  Harun  al-Rasyid  dengan kerajaan  perancis adalah baik dan beliau tidak menghadapi banyak  masalah berurusan dengan  negara perancis.Malah, Khalifah Harun  dan rajanya,  Raja charlemenge dikatakan  sering bertukar bingkisan dan baginda pernah membantu  Khalifah Harun menghadapi  Kerajaan Byzantine.

     Demikian juga dengan  kerajaan Umaiyah kerana mereka mengamalkan dasar berbaik-baik dengan  kerajaan Harun al Rasyid.Namun,  ancaman yang sebenar datang  dari negara Byzantine.  Hal ini tercetus akibat Maharaja  Nivephoras I yang menaiki takhta selepas Maharani Irena telah membatalkan  perjanjian taat setia dengan  kerajaan Harun ar-Rasyid.Sebelum ini, raja Byzantine, Ratu Irene meneruskan  bayaran ufti kepada kerajaan Abbasiyah  tetapi  apabila Rom diperintah oleh Nivephoras  I, beliau  telah membatalkan ufti tersebut. Hal ini menyebabkan Khalifah Harun menghantar tentera  menyerang Byzantine.Justeru,  tercetuslah peperangan  antara angkatan tentera  yang dipimpin  oleh Harun al-Rasyid  sendiri  dengan  kekuatan Rom yang menyaksikan kejayaan berpihak kepada tentera Islam.Kemenangan tersebut memaksa Maharaja  Rom berdamai  dan sanggup untuk berada  di bawah naungan  kerajaan Abbasiyah.[6]

      Selain  itu, pembukaan  wilayah-wilayah baharu  diteruskan oleh Khalifah  Harun di benua Asia Kecil. Di Laut Mediterranean, pulau Rhodes, dan Cyprus  telah digempur dan kemudiannya  ditawan  pada  805 dan 807 Masihi.Selain itu, Kerajaan Abbasiyah  turut menjalinkan  hubungan dengan  Maharaja china. Bagi menjaga hubungan baik, mereka saling bertukar  bingkisan.[7]
c) Memajukan  bidang pendidikan  dan intelektual 
Khalifah Harun al-Rasyid memainkan peranan yang besar dalam mengembangkan ilmu pengetahuan. Perkembangan dan kegiatan intelektualisme ini berlaku dalam beberapa peringkat, iaitu pembukuan, penyusunan semula ilmu pengetahuan dan penterjemahan.

      Baitul Hikmah (Perpustakaan Agung) telah diasaskan sebagai institusi kebudayaan dan pusat keilmuan yang kemudiannya berkembang dan mencapai zaman kegemilangannya semasa pemerintahan Khalifah al-Makmun. Melalui penubuhan Baitul Hikmah sebagai institusi penterjemahan, kerja-kerja penterjemahan menjadi lebih sistematik. Banyak karya-karya asing dalam bahasa Sanskrit, Suriani dan khususnya ilmu falsafah dan sains Yunani
telah diterjemahkan bagi dimanfaatkan oleh para cendekiawan Islam.[8]

      Bagi menyebarkan ilmu pengetahuan kepada rakyat, baginda telah mendirikan pusat pengajian seperti sekolah, maktab dan universiti. Keadaan ini juga menyebabkan kegiatan penyelidikan dapat dipertingkatkan. Contohnya, sumbangan al-Khwarizmi dalam bidang matematik dan astronomi. Sesungguhnya, hasil kajian sarjana-sarjana Islam ini kemudiannya telah tersebar ke Eropah sekali gus memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan
keilmuan hingga melahirkan zaman Renaisans di Eropah.[9]

Kegiatan  pembukuan
    Pada peringkat  awal,  ilmu pengetahuan  dikumpulkan dalam bentuk lisan, hafalan,  dan ingatan individu.llmu  itu akan hilang jika individu tersebut  meninggal dunia.  Untuk mengelakkan perkara itu berlaku, penulisan  dan catatan  dilakukan pada kulit binatang dan kayu. Penyebaran  ilmu pengetahuan  turut berlaku secara lisan. Khalifah Harun al-Rasyid telah melakukan  satu pembaharuan,  iaitu menggalakkan  ilmu pengetahuan  dibukukan untuk kegunaan generasi  pada masa itu dan akan datang.
      Pada zaman pemerintahan  Khalifah Harun  al-Rasyid, munculnya ulama yang membukukan  ilmu pengetahuan berkenaan  dengan  sejarah  (tarikh),  kesusasteraan,  lughah, hadis,  fiqah, tafsir, dan lain-lain. Antara ulama yang  terkemuka ialah Imam Malik (menyusun  buku al-Muwatta'), Ibn Ishaq (menyusun  buku  al-Sirah),  dan Abu Hanifah (menyusun  buku Fiqah). Melalui proses pembukuan  ini, ilmu pengetahuan dapat berkembang  luas dalam pemerintahan Bani Abbasiyah.[x]

Penyusunan ilmu pengetahuan  Islam
Perkembangan dan kegiatan  penyusunan semula  ilmu pengetahuan Islam  yang berhubung dengan hukum-hakam telah bermula  sejak pemerintahan  Khalifah Abu
Jaafar al-Mansur  754 - 775 M. (1236 -158 H.).Apabila Khalifah  Harun  al-Rasyid memerintah  negara dan umat Islam  786 -  809 M. (170 -  193 H.), beliau menumpukan  perhatian  yang lebih terhadap perkembangan ilmu pengetahuan  Islam. Untuk tujuan  itu, penyusunan ilmu tersebut  sangat diperlukan  supaya  tidak terkeluar daripada konsep  al-Quran  dan Hadis. Penumpuan  dibuat  kepada ilmu tafsir,  hadis, faraid, usuluddin,  syariah, tauhid,  dan fiqah.
Kegiatan  terjemahan
Bagi memperkayakan  dan memperbanyakkan  sumber  bacaan dan khazanah ilmu pengetahuan,  Khalifah Harun  al-Rasyid menggalakkan  pakar bahasa menterjemahkan buku-buku asing seperti dari China,  India, Yunani,  dan Parsi. Penumpuan diberi kepada menterjemahkan  buku-buku  berkenaan ilmu perubatan, falsafah,  kesenian  dan menterjemahkan bukubuku agama dalam bahasa Arab kepada  bahasa asing untuk menyebarkan ilmu tersebut  di luar tanah  Arab. Contohnya  Jurjis bin Bakhitislu  menterjemahkan  buku Pancatanra,  Mahabhrata dan Sindhanta.

Untuk melicinkan kegiatan penterjemahan, Khalifah  Harun al-Rasyid telah melantik Yuhama bin Musaiwaih  sebagai Setiausaha  Institut  Terjemahan  dan golongan  penterjemah dikenali sebagai intelektualisme  Islam.Prof. Dr. Ahmad  Shalaby  dalam  Sejarah  Kebudayaan  Islam menyatakan  bagi menyebarkan  ilmu pengetahuan  berkenaan agama Islam, Khalifah Harun al-Rasyid mendirikan institusi pengajian  seperti masjid, maktab, dan sekolah.  Ini menjadikan Kota Baghdad  dikenali  sebagai gedung ilmu pengetahuan  dan
dikunjungi  oleh umat Islam dari  seluruh dunia.[10]
d)Memajukan bidang ekonomi
      Dalam bidang ekonomi, Khalifah Harun al-Rasyid telah menjadikan kota Baghdad sebagai pusat perdagangan Timur dan Barat yang terbesar dan tersibuk di dunia. Banyak aktiviti perdagangan dijalankan di situ dan ini menarik kedatangan ramai pedagang asing untuk berdagang di kota tersebut. Contohnya - pedagang dari India membawa kain dan rempah-ratus, pedagang dari China pula membawa teh dan sutera serta pelbagai barangan dagangan lain seperti dari Mesir, Turki, Afrika dan Syria.Selain kegiatan perdagangan, pertanian juga diutamakan. Untuk itu, baginda membuka banyak tanah-tanah pertanian yang baharu serta memberikan benih tanaman kepada para petani.[11]



[1]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,56.
[2]Institusi Khalifah”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),18.
[3]Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2,90.
[4] Ibid.
[5] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,57.
[6]Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2,93. 
[7] Ibid.
[viii]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,56.  
[8] Ibid.
[9] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2,102.
[10] ibid
[11] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini, 57.

Jumaat, 13 Februari 2015

Nik Aziz hembus nafas terakhir

Nik Aziz hembus nafas terakhir
 Oleh JULIA ISMAILjulia.ismail@kosmo.com.my
 
Pegawai perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia mengangkat Nik Aziz ke dalam ambulans untuk dibawa pulang ke kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bharu semalam.
Advertisement

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit kanser prostat tahap empat di kediamannya di Pulau Melaka di sini malam tadi.

Menurut anaknya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohd. Abduh, Mursyidul Am Pas itu meninggal dunia di sisi ahli keluarga kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian malam semalam.

“Ayahanda meninggal dunia di sisi ahli keluarga pukul 9.40 malam tadi. Saya akan maklumkan urusan seterusnya kemudian. Urusan sembahyang jenazah dan pengebumian akan dilakukan esok (hari ini). Insya-Allah.

“Saya berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan arwah ayahanda,” katanya ketika menemui wartawan di luar pekarangan rumah mereka di sini semalam.

Allahyarham dikatakan menghidap penyakit kanser prostat sejak lima tahun lalu.

Tinjauan Kosmo! mendapati tidak sampai setengah jam selepas beliau diberitakan meninggal dunia, kediaman bekas Menteri Besar Kelantan itu dibanjiri ribuan rakyat yang bersedih dengan pemergiannya.

Jalan-jalan menuju ke Pulau Melaka di sini mulai sesak sejak pukul 9 malam apabila orang ramai berpusu-pusu ke kediaman Allahyarham selepas men­getahui Ahli Dewan Undangan Negeri Chempaka selama lima penggal itu dibawa keluar dari HUSM kerana semakin tenat.

Tidak ketinggalan terdapat ramai orang yang sanggup berjalan kaki beberapa kilometer untuk ke Pulau Melaka kerana jalan yang terlalu sesak.

Terdahulu, Nik Mohamad Abduh pada sebelah petang menerusi laman Facebooknya turut memaklumkan kesihatan Nik Abdul Aziz semakin merosot.

“Tahap kesihatan ayahanda menurun selepas menjalani rawatan pada ulsernya semalam.

“Saya tidak pasti sama ada ayahanda akan dibenarkan pulang pada pagi esok sebagaimana dijadualkan,” katanya.

Nik Abdul Aziz merupakan antara tokoh pe­mimpin Pas yang paling dihormati apabila dilantik sebagai Mursyidul Am Pas sejak tahun 1995, malah menyandang jawatan Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun.

Allahyarham yang pernah mendapat pendidikan di Universiti Lahore, Pakistan dan Universiti Al-Azhar, Mesir meninggalkan seorang balu, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, 67, dan 10 orang anak.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3RcKzoknF Hakcipta terpelihara