Sabtu, 20 Januari 2018

Berakhirnya institusi tingkatan enam

ARKIB : 15/03/2009
zin mahmud
Pendidikan bukan saja pencapaian akademik. Ada dua komponen penting lain iaitu kokurikulum dan sukan.

Persatuan di sekolah akan mengajar tanggung jawab, bagaimana bekerja dalam satu pasukan, dan lebih penting lagi ialah semangat sukarela. Seseorang pekerja yang mempunyai semangat sukarela akan mampu membuat sesuatu atas dasar inisiatif sendiri tanpa mengira sama ada ganjaran akan diperoleh daripada syarikat.

Sukan di sekolah juga amat penting. Daripadanya ia boleh menyemai amalan hidup sihat di samping kelebihan yang diperoleh melalui permainan secara berpasukan, menghormati peraturan permainan yang juga memperkayakan keperibadian seseorang.

Namun begitu, sukan dan kokurikulum di sekolah hanya dapat cemerlang jika

persatuannya kuat dan dipimpin baik. Kalau persatuan tidak menampakkan aktiviti cergas di bawah kepimpinan pelajar sendiri, maka ia dianggap gagal. Lebih-lebih lagi jika ia terlalu bergantung kepada guru penasihat hingga peranan pelajar tidak cukup menyerlah.

Ini kerana guru wajar hanya membimbing dan tidak campur tangan dengan banyak hingga pelajar-pelajar itu tidak benar-benar memimpin.

Tetapi persatuan-persatuan sekolah hanya dapat bergerak dengan baik sekiranya ia dipimpin oleh pelajar-pelajar matang. Pelajar tingkatan empat kurang matang kalau berbanding dengan pelajar tingkatan enam. Sementara pelajar tingkatan lima terpaksa menumpukan kepada peperiksaan yang dihadapi.

Jika ada tingkatan enam, maka kepimpinan sekolah termasuk persatuan akan berada di tangan pelajar yang lebih matang dan bersedia untuk menjayakan pelbagai aktiviti. Sementara pelajar tingkatan empat akan menjadi pelapis yang akan belajar daripada senior dalam memimpin institusi-institusi sekolah.

Kejayaan tingkatan enam inilah merupakan penyumbang kepada kecemerlangan sekolah-sekolah dahulu seperti Victoria Institution, St John‘s Institution, Anderson School, King George School dan English College .

Tetapi sejak tahun 80-an, institusi tingkatan enam ini mula dilemahkan. Pelajar-pelajar baik akan dimasukkan ke dalam program matrikulasi.

Di kolej-kolej ini, pelajar-pelajar tidak berpeluang untuk memberi kepimpinan kepada persatuan yang besar dan merangkumi ahli pelbagai peringkat umur. Mereka hanya memimpin persatuan rakan sebaya. Tidak seperti kalau mereka berada di sekolah menengah yang pelajarnya merangkumi hingga ke tingkatan satu.

Sementara itu, sekolah menengah pula kehilangan pelajar cemerlang untuk memimpin persatuan. Yang tinggal berada di tingkatan enam adalah pelajar-pelajar sederhana.

Akhirnya tingkatan enam tidak lagi popular di kalangan pelajar yang mahu cepat-cepat meninggalkan sekolah. Maka kepimpinan persatuan sekolah jatuh kepada pelajar tingkatan empat yang masih kurang matang.

Maka tidak hairanlah para majikan juga mengeluh. Mengapakah kalangan generasi sekarang dari segi nilai bekerja dan kepimpinan amat rendah? Sikap tanggungjawab, inisiatif dan sukarela dirasakan merosot? Tumpuan hanya kepada berapa gaji yang diperoleh dan bukannya disebabkan minat dan keseronokan bekerja?

Penulis juga percaya kemerosotan sukan di negara ini juga berpunca daripada kegagalan sekolah untuk mewujudkan persekitaran kesukanan dan permainan yang tinggi. Kelemahan budaya kesukanan di sekolah-sekolah dipercayai berada dalam keadaan yang amat lemah. jaguh-jaguh sukan negara dahulu lahir dalam sistem persekolahan sebelum tahun 80-an.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_10.htm#ixzz54ll4x9T8

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 19 Januari 2018

Asma' melindungi bapanya

ARKIB : 11/03/2009
ASMA' binti Abu Bakar adalah anak kepada Khalifah Islam pertama, Abi Bakar as-Siddiq dan Qatilah binti Abdul Uzza. Adiknya, Siti Aishah adalah isteri kepada Nabi Muhammad SAW. Beliau dilahirkan pada 27 tahun sebelum hijrah dan adalah antara golongan pertama memeluk agama Islam.

Asma' juga diberi gelaran sebagai wanita yang mempunyai dua tali pengikat atau zat al-Nithaqain. Beliau diberi gelaran itu kerana membelah selendangnya kepada dua bahagian bagi dijadikan tali pinggang.

Peristiwa ini berlaku ketika Nabi Muhammad dan Abu Bakar keluar dari kota Mekah. Mereka bersembunyi di gua di puncak Gunung Thur kerana ancaman Quraisy yang mahu membunuh nabi.

Selama beberapa malam, Asma' meredah kegelapan malam dan menghadapi risiko bagi menghantar makanan kepada nabi dan ayahnya.

"Pada malam ini, ayah dan Rasulullah akan berangkat ke kota Madinah," jelas Abu Bakar kepada anaknya pada malam ketiga makanan dibawa kepadanya.

"Semoga perjalanan ayah dan Rasulullah dilindungi oleh Allah. Saya akan meletakkan makanan dan bekas air di atas kuda," balas Asma' sambil memandang wajah ayahnya dan Rasulullah yang akan memulakan perjalanan ke kota Madinah.

"Saya hanya ada sehelai kain selendang. Bagaimana saya boleh mengikat makanan dan bekas air pada pelana kuda? Oh, ya! Saya koyakkan kain selendang ini kepada dua bagi mengikat makanan dan bekas air," bisik hati kecil Asma'.

"Allah mengganti tali pengikat kamu dengan tali pengikat syurga," kata Nabi Muhammad sambil memberi isyarat kepada Asma' semasa mereka mahu berangkat.

Asma' pulang ke rumahnya selepas melihat ayahnya dan nabi hilang daripada pandangan menuju ke kota Madinah. Walaupun beliau selamat pulang dari gua itu, tetapi beliau masih menghadapi ancaman daripada golongan bangsawan Quraisy yang mahu mendapatkan maklumat tentang lokasi ayahnya dan Nabi Muhammad.

Pada suatu malam, Abu Jahal dan beberapa orang bangsawan Quraisy datang ke rumahnya bagi mencungkil rahsia daripada Asma' tentang lokasi ayahnya. Mereka menyangka Asma' akan memberitahu lokasi Abu Bakar dan Nabi.

"Di mana ayah kamu, Asma'?" tanya Abu Jahal dengan suara yang lembut kerana percaya Asma' akan memberitahunya.

"Saya tidak tahu di mana ayah saya sekarang," jawab Asma' yang tidak mahu menceritakan perkara sebenar kepada Abu Jahal dan sekutunya.

"Kamu jangan berpura-pura tidak tahu di mana ayah kamu berada!" Abu Jahal mula meninggikan suaranya. Dia menggertak Asma'.

"Kenapa saya perlu berbohong? Saya memang tidak tahu di mana ayah saya berada sekarang!" Asma' mempertahankan kata-katanya di hadapan Abu Jahal dan pembesar Quraisy lain. Mereka mula berpandangan antara satu sama lain.

"Jangan cuba menipu saya. Buruk padahnya sekiranya kamu masih mahu merahsiakan lokasi ayah kamu daripada saya," ugut Abu Jahal yang mula menggenggam erat tangannya kerana berasa geram dengan sikap berani Asma'.

"Berapa kali saya perlu nyatakan, saya tidak tahu di mana ayah saya berada sekarang. Tuan-tuan pulang sahaja dan jangan ganggu saya lagi," mohon Asma' yang berdiri di pintu rumahnya.

Abu Jahal berang

"Berani kamu menghalau kami!" Abu Jahal berang. Dia mengangkat tangannya lalu menampar Asma' yang sedikitpun tidak berganjak dari tempatnya.

"Pang!" Abu Jahal menampar wajah Asma' dengan kuat sehingga anting-anting yang dipakainya tercampak ke tanah.

"Tiada gunanya bercakap dengan kamu yang degil ini. Lebih baik kita pulang sahaja dan mencari maklumat Abu Bakar daripada orang lain," Abu Jahal gagal mendapatkan maklumat daripada Asma' walaupun dia menampar wajahnya.

Asma' mengambil semula anting-anting dari tanah dan masuk ke dalam rumahnya dengan hati yang lapang apabila Abu Jahal dan bangsawan Quraisy beredar meninggalkan kawasan rumahnya.

Pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah, anak Abdullah bin Zubir datang meminta nasihat daripada Asma' yang pada ketika itu berusia 100 tahun.

Ini kerana Khalifah Malik bin Marwan memerintahkan Hajaj bin Yusuf memerangi Abdullah supaya dia dapat menguasai Iraq, Hijaz dan Yaman.

Hajaj berjaya mengepung Abdullah di dalam kota Mekah. Dia mengirimkan sepucuk surat meminta Abdullah menyerah kalah dan mengaku Malik bin Marwan sebagai khalifah.

"Ibu, saya mahu minta pandangan ibu, sama ada mahu menerima tawaran Hajaj atau tidak.

"Saya akan dijamin jawatan dalam pemerintahan Bani Umaiyah sekiranya mengaku Malik bin Marwan sebagai khalifah dan menyerah kalah. Bolehkah saya mempercayai kata-kata mereka?" tanya Abdullah yang berlutut di hadapan ibunya.

"Teruskanlah perjuangan kamu sekiranya kamu berada di pihak yang benar. Jangan percaya dengan kata-kata Bani Umaiyah kerana mereka pasti menipu kamu.

"Jangan terpedaya dengan kesenangan dunia sehingga kamu hancur bersama-samanya," kata Asma'.

"Berapa lama lagi kamu akan hidup di atas dunia ini? Mati kerana mempertahankan kebenaran adalah lebih baik daripada segala-galanya.

"Demi Allah, mati di mata pedang adalah lebih terhormat daripada mati dipukul dengan tali cemeti dalam keadaan hina," Asma' menyambung lagi kata-katanya kerana tidak mahu anaknya terpedaya dengan janji kosong yang ditawarkan oleh Hajaj itu.

"Saya bimbang Hajaj akan menyeksa dan menyalib tubuh saya sekiranya berjaya membunuh diri saya nanti," Abdullah tidak mahu mayatnya diperlakukan kejam oleh pihak musuh sebagai membalas dendam.

"Seekor kambing yang sudah disembelih tidak akan berasa sakit apabila dibuang kulitnya. Pergilah berjuang atas nama kebenaran dan mohon bantuan daripada Allah," Asma' memberi kata-kata semangat kepada Abdullah.

"Saya akan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir," ucap Abdullah sambil mencium tangan ibunya. Dia beredar bagi menghadapi pasukan tentera Hajaj yang sudah mengepung kota Mekah.

"Sekiranya begitu, nahaslah kamu Abdullah !" balas Hajaj. Dia mengarahkan pasukan tentera menyerang Abdullah dan pengawalnya.

Akhirnya Abdullah terbunuh akibat serangan pasukan tentera Hajaj yang terlalu ramai. Hajaj mengarahkan salah seorang tentera menyalib mayat Abdullah pada sebatang tiang.

Asma' menulis surat kepada Malik bin Marwan meminta supaya mayat anaknya yang disalib itu diturunkan supaya dapat dikebumikan. Seminggu selepas pengebumian Abdullah, Asma' binti Abu Bakar menghembuskan nafas terakhirnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz54gI0AAfw

© Utusan Melayu (M) Bhd

Maulid: Antara sejarah dan amalan

ARKIB : 08/03/2009
Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi saw. Hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya.

Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda saw. Bagi yang berpendapat baginda lahir pada bulan Rabi'ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya.

Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya.

Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri. Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin 'Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah.

Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kelahiran Nabi saw adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud.

Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah. Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi saw antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi saw yang tidak merayakan tarikh tersebut.

Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi saw, namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina 'Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi saw, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan.

Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan.

Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya.

Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi 'politik mencorakkan Islam'. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.

Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri. Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi saw melainkan Kerajaan Syi'ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran.

Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh khalifah mereka al-Musta'la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.

Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi saw dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika bulan Rabi'ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi saw, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi saw, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda: "Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak" (Riwayat Muslim). Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda sama ada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya.

Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda saw Sabda baginda saw: "..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak". Mereka bertanya: "Apakah puak itu wahai RasululLah?" Jawab baginda: "Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya". (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi saw kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad saw.

Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka. Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi: "Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yang diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya" (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa'udiyyah).

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja'far bin Hasan bin 'Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku Al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut: "Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi saw) Asiah (isteri Fir'aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)". Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi saw yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut: "Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu'jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang.

Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu'jizat-mu'jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-'Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad saw Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz54dyQHY7A

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 18 Januari 2018

PERANAN GOLONGAN MUHAJIRIN DAN ANSAR DALAM PERKEMBANGAN MASYARAKAT ISLAM.

OLEH-AHMAD YAAKOB
       Nabi Muhammad SAW diutus bagi menyampaikan risalah kepada seluruh umat manusia tentang ajaran Islam. Baginda ialah Nabi dan Rasul terakhir.Hal ini bermakna tidak ada nabi dan rasul selepasnya. Baginda telah berjaya mernbentuk sebuah masyarakat (ummah) dan negara Islam di Madinah.Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, telah berlaku suatu perubahan besar dari sudut politik, ekonomi dan sosial umat Islam yang membawa kepada perkembangan budaya dan masyarakat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Peristiwa ini telah mencetuskan suatu fenomena baharu dalam sejarah umat Islam bermula dari era Khulafa' al-Rasyidin hinggalah kepada era-era selepasnya.[1]
Golongon Muhajirin
Golongan Muhajirin merupakan pengikut Nabi Muhammad SAW yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.Istilah Muhajirin berasal daripada perkataan hijrah, penghijrahan; orang yang berhijrah dipanggil al-Muhajir (secara jamak: al-Muhajirin).

       Golongan Muhajirin bukan orang pelarian; seperti mana anggapan sesetengah orientalis, tetapi mereka berpindah/berhijrah dari kota Makkah ke kota Madinah kerana mematuhi suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya derni masa depan Islam yang lebih cerah.Di Madinah, golongan Muhajirin mendapat pertolongan dari segi fizikal dan moral daripada golongan Ansar.

       Golongan Muhajirin diberitakan dalam al-Quran (surah al-Baqarah: 215, surah al-Imran: 191) mendapat rahmat dan pahala yang amat besar daripada Allah SWT kerana pengorbanan mereka berhijrah.Nabi Muhammad SAW telah mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansar untuk menjadi umat yang mulia dan kuat.Golongan Muhajirin dianggap sebagai golongan yang terawal memeluk agama Islam dan paling banyak berjasa dalam menegakkan ajaran tauhid.

Golongan Ansar
Golongan Ansar ialah penduduk Madinah, khususnya daripada kaum Aus dan Khazraj yang telah memeluk agama Islam.Mereka membantu Nabi Muhammad SAW sebelum dan selepas
berhijrah ke Madinah (622M).Golongan Ansar bersama Muhajirin telah menegakkan negara Islam Madinah.Golongan Ansar banyak berkorban, sama ada dari segi harta benda, tenaga dan jiwa raga untuk mengembangkan agama Islam.[2]

Peranan golongan Muhajirin dan Ansar.
Antara peranan Muhajirin di Mekah ialah menerima dan mempertahankan Islam walaupun menerima tentangan yang hebat daripada kaum musyrikin Mekah. Mereka adalah kelompok pertama menerima Islam dan mempertahankan keutuhan Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

      Mereka juga adalah golongan pertama yang melafazkan kesetiaan terhadap Islam dan berjuang bersama-sama dengan Nabi Muhammad S.A.W.Mereka sanggup menerima tentangan sama ada dalam bentuk fizikal dan mental. Mereka menerima pelbagai ejekan, penghinaan, kata nista, penyeksaa dan pembunuhan Sebagai contohnya, tokoh-tokoh seperti Abu Bakar alSiddiq, Zubair bin Awwam, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan lain-lain adalah pendukung Islam semasa dakwah secara sulit di Mekah. Tegasnya, mereka sanggup menghadapi segala rintangan dan penentangan daripada kaum musrikin Quraisy bagi memastikan Islam terus tertegak dan berkembang.[3]

      Selain itu, peranan golongan Ansar di Mekah ialah menerima dan menyokong ajaran Nabi Muhammad S.A.W. yang merintis penghijrahan ke Madinah. Mereka menyatakan kesanggupan menerima Islam dalam Perjanjian Aqabah 1 dan 2, dalam keadaan golongan musyrikin Mekah melancarkan penentangan yang keras. Mereka berikrar untuk berjuang bersama-sama Nabi Muhammad S.A.W. Buktinya, mereka bertanggungjawab membawa dan menyebarkan Islam di Madinah. Kesannya, agama ini telah berkembang di Madinah dan golongan Ansar saling berganding bahu dengan golongan Muhajirin dalam mepertahankan Islam.

      Disamping itu, peranan golongan Muhajirin di Madinah ialah membantu Nabi Muhammad S.A.W. dalam urusan keagamaan dan dakwah. Golongan Muhajirin merupakan pembantu utama Nabi Muhammad S.A.W. di Madinah khususnya dalam urusan keagamaan dan pentadbiran.Muhajirin berperanan dalam mengembangkan dakwah Islam. Mereka bersama Nabi Muhammad S.A.W. menjalankan dakwah secara terbuka di Madinah. Hasilnya umat Islam berjaya membina Masjid di tengah-tengah Kota Madinah dan dapat melakukan ibadat secara terbuka. Tegasnya, peranan golongan Muhajirin semasa dakwah Nabi Muhammad S.A.W. di Madinah dapat membantupenduduk Madinah mendalami ajaran Islam.

      Akhirnya, peranan golongan Ansar di Madinah ialah menyumbang harta benda dan buah fikiran. Sebagai penduduk tempatan, mereka turut menyumbangkan harta benda dan buah fikiran dalam menjayakan perjuangan dan perkembangan Islam termasuk menyertai perjuangan jihad.Golongan Ansar juga menyumbangkan harta benda dalam menghadapi serangan musuh Islam. Sebagai contoh, Salman al-Farisi mencadangkan pembinaan parit dalam Perang Khandak. Tegasnya, mereka telah memainkan peranan penting dalam merperjuangkan dan membangunkan negara Islam Madinah.

      Sebagai kesimpulan, golongan Muhajrin dan Ansar mempunyai peranan tersendiri dalam membantu Nabi Muhammad S.A.W. mempertahanjan dan mengembangkan risalah Islam. Masing-masing berperanan besar yang menjadi tulang belakang dan gandingan mantap bagi memastiksn kejayaan perjuangan Nabi Muhammad S.A.W di Mekah dan Madinah.[4]



[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini(Shah Alam:Oxford Fajar,2014),26.
[2] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),53.
[3] https://fastnote.files.wordpress.com/2016/05/modul-puncak-sejarah-stpm-p2-melaka-2016.pdf,4
[4] Ibid,6.

Selasa, 16 Januari 2018

1.5 Institusi Khalifah.

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Pemilihan Khalifah
Hasil Pembelajaran; Menghuraikan konsep dan ciri-ciri khalifah serta kaedah pemilihan khalifah.
Khalifah al-Rasyidin dan Umayyah abad ke-7-8M (601-799M)
a)Konsep khalifah
Pengertian khalifah dari segi bahasa dan istilah
Pengertian khalifah menurut al-Quran dan Hadis dan pandangan sejaahwan seperti Ibnu Khaldun, al Mawardi dan lain-lain.
Pelbagai gelaran khalifah- Amirul Mukminun, Imam dan lain-lain.
Sistem Khilafah
a)Sistem khilafah –isntitusi pemerintahan Islam berdasarkan al-Quran dan Hadis.
b)Hukum menegakkan khilafah
c)Jawatan penggantian khalifah.
d)Pelaksanaan sistem khilafah dengan sepenuhnya berlaku pada zaman Khulafa al-Rasyidin.
e)Institusi khilafah berakhir pada zaman Mustafa Kemal Attatuk apabila beliau mengistiharkan kerajaan Republik Turki pada tahun 1924.
Ciri-ciri Khalifah
Pelantikan khalifah memenuhi ciri-ciri kelayakkan tertentu
Tanggungjawab khalifah.
a)Pentadbian agama-menegakkan agama dan memimpin rakyat mengikut ajaran Islam untuk kebaikan dunia dan akhirat.
b)Pentadbi negara seperti mengetuai pentadbiran negara, membangunkan negara, memajukan ekonomi dan sebagainya.[1]




[1] “Intitusi Khalifah”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),17.

Malaysia ke suku akhir

 ke suku akhir
ke suku akhir
Daniel (kanan sekali) menjaringkan gol tunggal perlawanan sekaligus melayakkan pasukan kebangsaan ke peringkat suku akhir. - GAMBAR MEDIA SOSIAL
Fadhilul Izmel Ishak

16 Januari 2018 9:04 PM
KUNSHAN, China 16 Jan. - Pemain tengah skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan, Danial Amier Norhisham muncul wira negara apabila membantu Malaysia layak ke peringkat suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (B-23) selepas menewaskan Arab Saudi 1-0 di Stadium Kunshan, hari ini.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim turut menjadi pasukan pertama dari rantau Asia Tenggara layak ke suku akhir apabila Thailand terlebih dahulu tersingkir selepas menghuni tangga tercorot Kumpulan B, apabila tewas semua perlawanan.

Status Vietnam hanya dapat diketahui esok apabila mereka bakal bertemu Syria dalam aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Changshu esok. - UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-ke-suku-akhir-1.591484#ixzz54MBu69kY

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 15 Januari 2018

1.1 Masyarakat Islam

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
       Nabi Muhammad SAW diutus bagi menyampaikan risalah kepada seluruh umat manusia tentang ajaran Islam. Baginda ialah Nabi dan Rasul terakhir.Hal ini bermakna tidak ada nabi dan rasul selepasnya. Baginda telah berjaya mernbentuk sebuah masyarakat (ummah) dan negara Islam di Madinah.Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, telah berlaku suatu perubahan besar dari sudut politik, ekonomi dan sosial umat Islam yang membawa kepada perkembangan budaya dan masyarakat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Peristiwa ini telah mencetuskan suatu fenomena baharu dalam sejarah umat Islam bermula dari era Khulafa' al-Rasyidin hinggalah kepada era-era selepasnya.[1]
Nabi Muhammad SAW dan Khalifah al-Rasyidin di Semenanjung Tanah Arab (abad ke-6-7)
2.1 Pembinaan Masyarakat lslam di Makkah
Aktiviti Dakwah
Antara usaha Nabi Muhammad SAW untuk membentuk masyarakat Islam di Makkah adalah melalui dakwah. Langkah-langkah dakwah diambil sama ada secara sulit atau terang-terangan .
Secara sulit, baginda berdakwah kepada keluarga, anak-anak angkat, saudara-mara dan para sahabat.
Baginda menyeru mereka supaya beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta meninggalkan amalan menyembah berhala.Baginda juga menyeru mereka kepada kebaikan, iaitu ma'ruf  dan meninggalkan kejahatan, iaitu mungkar seperti minum arak,berjudi, berzina, mencuri dan membunuh.

       Dakwah yang dijalankan oleh baginda adalah secara lemah lembut.Hanya beberapa orang dalam kalangan penduduk Makkah yang memeluk agama Islam setelah kira-kira tiga tahun dakwah secara sulit dilakukan.
Lapan Orang yang pertama memeluk agama Islam ialah:
(a) Siti Khadijah (wanita).
(b) Ali bin Abu Talib (kanak-kanak).
(c) Abu Bakar al-Siddiq (lelaki dewasa).

       Peringkat dakwah secara sulit telah dilakukan secara berhati-hati melalui individu tertentu seperti Abu Bakar al-Siddiq dan al-Arqam bin Abi al-Arqam yang menghadiahkan rumahnya sebagai markas untuk menyebarkan agama Islam. Mereka yang memeluk Islam di Makkah terdiri daripada golongan miskin dan kaya, termasuk Abu Bakar al-Siddiq dan Uthman bin Affan. Namun begitu, bilangannya terlalu kecil berbanding dengan di Madinah selepas Hijrah.

       Setelah tiga tahun berdakwah secara sulit, turun wahyu supaya Nabi Muhammad SAW berdakwah secara terang-terangan.Walau bagaimanapun, sambutan daripada kaum keluarga baginda agak dingin, terutamanya tentangan oleh ayah saudaranya, Abu Lahab sehingga turun ayat al-Quran yang mengutuk perbuatan tersebut, iaitu surah al-Lahab, ayat l-5.

       Selepas turunnya ayat al-Quran, maka bermulalah aktiviti dakwah secara terang-terangan. Allah SWT mengarahkan baginda supaya memberikan peringatan dan amaran kepada kaum keluarga baginda supaya patuh dan setia kepada orang yang beriman.Namun begitu, Abu Lahab enggan menurut perintah Allah SWT dan Rasul-Nya serta terus menentang dan memusuhi baginda dan agama Islam.



[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini(Shah Alam:Oxford Fajar,2014),26.