Sabtu, 1 Februari 2020

Makam 10,000 sahabat


MyMetroAddin
 
Mohd Rizal Azman Rifin
mimbar@hmetro.com.my

JIKA di Tanah Suci Makkah, perkuburan atau makam al-Ma’la adalah makam yang terkenal dan dianggap lokasi wajib untuk ziarah.

Di Madinah pula, makam yang wajib untuk ziarah dikenali sebagai Makam Baqi’.

Makam Baqi’ yang terletak berhampiran Masjid Nabawi di bahagian tenggaranya berkeluasan sekitar 174,962 meter persegi.

Ia juga dikenali dengan namanya, Jannatul Baqi’ atau sebutan Melayunya, Taman Syurga.

Catatan sejarah menukilkan bahawa jenazah yang pertama disemadikan di perkuburan mulia ini ialah jenazah seorang golongan Ansar yang bernama Asa’ad bin Zararah manakala golongan Muhajirin pertama adalah Uthman Mahzun.

Selain itu, Makam Baqi’ memiliki keistimewaannya yang cukup menggamit jemaah tatkala menziarahinya memandangkan di sinilah disemadikan jenazah ahli keluarga dan sahabat Rasulullah SAW.

Dianggarkan lebih 10,000 sahabat Baginda SAW disemadikan di sini sekali gus mereka yang datang ke bumi Madinah al-Munawarrah pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menziarahinya.

Sekadar menyebut beberapa nama tersohor yang rapat hubungannya dengan Rasulullah SAW yang disemadikan jasad mereka di perkuburan mulia seperti Khalifah Amirul Mukminin Uthman bin Affan, isteri Rasulullah SAW, putera Baginda SAW yang bernama Ibrahim, malah, jasad Imam Mazhab Maliki iaitu Imam Malik bin Anas turut berada di sini.

Sesungguhnya, Makam Baqi’ begitu dekat di hati setiap umat Islam. Rata-rata apabila berada di bumi kecintaan Rasulullah SAW, Madinah akan sedaya upaya mahu menziarah makam berkenaan.

Begitulah penulis semasa mengendalikan sekumpulan jemaah umrah dari Syarikat Busyra ketika cuti persekolahan akhir tahun lalu memasang impian mahu membawa jemaah kumpulan bimbingan untuk sama-sama berada di perkuburan yang dimuliakan Rasulullah SAW itu.

Penulis menzahirkan rasa syukur bersama ahli rombongan jemaah umrah apabila berjaya melihat sendiri situasi di kawasan perkuburan berkenaan.

Semua jemaah berjalan penuh beradab melalui lorong pejalan kaki yang disediakan. Sesekali penulis sendiri seolah-olah berat kaki untuk meneruskan langkah kerana begitu sayu tambahan apabila mengetahui di makam ini bersemadinya ramai ahli keluarga besar Rasulullah SAW dan sahabatnya.

Lantas seketika itu juga fikiran jiwa seakan-akan terawang-awang ‘mengingati’ butiran fakta sejarah silam berkenaan detik penuh getir yang terpaksa dilalui oleh mereka semasa menegakkan syiar Islam.

Sesekali juga fikiran penulis membisik rindu kepada Allah SWT dan terbit niat di hati kecil untuk bersemadi di makam berkenaan bersama ahli keluarga Baginda SAW serta sahabat.

Semasa membawa jemaah umrah cuti persekolahan lalu juga penulis ‘kehilangan’ seorang daripada jemaah rombongan apabila seorang pesara berusia 66 tahun ‘dipilih Allah SWT’ untuk meninggal dunia di bumi penuh keberkatan ini.

Berbaki empat hari lagi mahu pulang ke tanah air selepas selesai menunaikan umrah dan ziarah di Makkah, rombongan jemaah mengunjungi pula Kota Kecintaan Rasulullah SAW, Madinah.

Di sinilah rupanya seorang ahli rombongan mengakhiri riwayat hidupnya. Penulis memanjat kesyukuran kerana jenazah Allahyarham diizinkan untuk dikebumikan di Makam Baqi’.

Penulis yang bertugas sebagai ketua rombongan umrah ketika itu terasa cukup sayu namun sedar, inilah ‘rezeki’ arwah yang tidak terhingga.

Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 7:30 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan