Khamis, 2 Mei 2019

'Selepas malam ini tiada lagi soalan'


 ABU HASSAN DIN AL-HAFIZ (tengah) bergambar dengan ahli jawatankuasa
ABU HASSAN DIN AL-HAFIZ (tengah) bergambar dengan ahli jawatankuasa surau selepas menyampaikan kuliah di Surau An-Nur Fasa 3 Bandar Seremban Selatan di Seremban malam tadi. - UTUSAN ONLINE/FB SURAU AN-NUR
Nazarudin Shahari

01 Mei 2019 1:43 PM

SEREMBAN 1 Mei - 'Selepas malam ini tiada lagi soalan' adalah ungkapan terakhir yang menjadi kenangan dalam kalangan 150 jemaah Surau An-Nur Fasa 3 Bandar Seremban Selatan dekat sini malam tadi.

Mereka sebelum itu mendengar kuliah bertajuk 'Di Ambang Ramadan' oleh almarhum pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, 72, yang datang ke surau berkenaan.


Pada akhir kuliah itu, Allahyarham telah meminta para jemaah surau itu mengajukan soalan kepadanya dan melafazkan ungkapan itu selepas tiada lagi pertanyaan dan menutup kuliahnya dengan bacaan doa.

Setiausaha surau itu, Allaudin Shah Maidin Syed berkata, Allahyarham tiba di surau berkenaan kira-kira pukul 8 malam dan menyampaikan kuliah sehingga pukul 9.30 malam.

Katanya, Allahyarham hanya mengadu mengenai kesesakan jalan raya yang terpaksa ditempuhnya selama dua jam dari Kuala Lumpur ke sini sehingga menyebabkan beliau lewat tiba.

"Kami semua mendengar kuliahnya yang sememangnya sentiasa menarik minat kepada sesiapa pun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, tiada yang aneh mengenai kuliah Allahyarham atau semasa para jemaah menemuinya dalam jamuan makan yang dihidangkan oleh surau selepas majlis tersebut.

"Allahyarham memberitahu beliau sudah lama tidak makan nasi dan hanya makan kuih.

"Kami bersalaman dengan beliau sebelum Allahyarham menaiki kereta untuk pulang," ujarnya.

Allaudin Shah memberitahu, para jemaah berasa terkejut dan sedih apabila mendengar berita pagi ini mengenai kematian Abu Hassan. - UTUSAN ONLINE 01 Mei 2019 1:43 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan