OLEH- AHMAD BIN YAAKOB.
Latar Belakang
Diponegoro merupakan putera sulung Hamengkubuwono III, seorang raja Mataram di Jogjakarta. Beliau lahir pada 11 November 1785 di Jogjakarta. Nama sebenarnya ialah Bendoro Raden Mas Ontowiryo.Apabila Hamengkubuwono III mangkat pada tahun 1814, Raffles telah melantik Djarot sebagai pemerintah Jogjakarta dengan gelaran Hamengkubuwono IV. Raffles berjanji akan melantik Diponegoro sebagai pemerintah Jogjakarta selepas kemangkatan Djarot.
Apabila Djarot mangkat pada 1822, Raffles tidak berada di Pulau Jawa lagi kerana Belanda telah kembali semula selepas tamatnya Perang Napoleon. Belanda melantik putera Djarot yang baru berumur dua tahun sebagai pengganti dengan gelaran Hamengkubuwono V.
Diponegoro dilantik sebagai penasihat sahaja. Diponegoro banyak menghabiskan masa beribadat di Tegalraja. Beliau mendapat ilham untuk menyelamatkan tanah Jawa serta masyarakatnya. Pada tahun 1825, beliau memimpin Perang Jawa untuk menentang kekejaman dan penindasan Belanda di Pulau fawa.
Peranan Diponegoro
Membela nasib masyarakat peribumi
(a) Pembatalan kontrak penyewaan tanah oleh Van der Capellan
(i) Masyarakat peribumi Jawa tidak puas hati dengan tindakan Van der Capellan membatalkan kontrak penyewaan tanah yang diperkenalkan oleh Raffles.
(ii) Peraturan pembatalan diluluskan pada tahun 1823 yang menyebabkan semua penyewaan tanah yang melibatkan orang Eropah dengan pemimpin tempatan di Jogjakarta dan Surakarta dibatalkan. Malah ditetapkan wang sewaan dan wang pendahuluan mesti dipulangkan.
(iii) Apabila kontrak penyewaan tanah diperkenalkan oleh Raffles, kaum tani yang paling ditindas. Ini disebabkan tuan tanah telah mendapat wang pendahuluan daripada penyewa bangsa Eropah. Melalui bayaran wang pendahuluan, pengusaha berkuasa ke atas
tanah dan petani. Seringkali, petani ditindas oleh penyewa yang berusaha memaksimumkan keuntungan.
(iv) Dengan pembatalan kontrak penyewaan tanah, kaum tani sekali lagi tertindas. Tuan tanah dikehendaki membayar balik wang pendahuluan kepada pengusaha. Tuan tanah memaksa petani bekerja lebih keras untuk mendapatkan hasil yang lebih agar mereka dapat membayar balik wang pendahuluan kepada pengusaha.
(v) Golongan bangsawan juga berasa tidak puas hati dengan pembatalan kontrak sewa tanah.
(b) Pelbagai jenis cukai dikenakan ke atas masyarakat Jawa
(i) Selain membatalkan kontrak sewa tanah, Belanda juga mengenakan cukai ke atas tanah orang Jawa. Pemungut cukai kebanyakannya terdiri daripada orang Cina yang mengenakan cukai yang lebih tinggi daripada kadar yang ditetapkan oleh kerajaan. Sekali lagi, masyarakat Jawa tertindas.
(ii) Kerajaan Belanda juga mengenakan tol ke atas orang tempatan yang melalui tanah kerajaan untuk pergi ke ladang mereka di kawasan pedalaman dan balik dari ladang ke tanah kerajaan.
(iii) Tindakan pemungut cukai yang mengenakan kadar tol sesuka hati telah menambahkan kesengsaraan dan kesulitan mereka.
(iv) Pelbagai jenis cukai yang membebankan rakyat, misalnya cukai tanah, cukai rumah, dan cukai binatang ternakan.
(c) Penindasan orang Cina
(i) Orang Cina memberi pinjaman wang kepada orang Jawa dengan kadar faedah yang tinggi.
(ii) Orang Cina menjadi orang tengah dalam perdagangan garam. Mereka membelinya dengan harga yang murah dan menjualnya dengan harga yang tinggi.
Mempertahankan kesucian agama Islam
(a) Pembinaan jalan raya
(i) Keputusan Belanda untuk membina jalan raya melalui tanah perkuburan nenek moyang Diponegoro menyebabkan beliau mengisytiharkan perang jihad terhadap Belanda.
(ii) Belanda enggan mengiktiraf beliau sebagai ketua agama di Jawa. Sebagai wali Allah, Diponegoro bertindak menghalau orang kafir dari tanah Jawa.
(iii) Diponegoro dan masyarakat Jawa menganggap usaha Belanda ini mencabuli adat resam tempatan, tatasusila, nilai-nilai sosial, dan agama Islam.
(b) Peranan Diponegoro sebagai Ratu Adil
(i) Diponegoro ialah seorang yang kuat agama dan berusaha mempertahankan kesucian agama Islam.
(ii) Diponegoro melancarkan Perang jihad untuk memulihkan pemerintahan Islam di Jawa.
(iii) Masyarakat Jawa menyokong Diponegoro kerana mempercayai beliau ialah seorang Ratu Adil yang akan membela nasib dan membebaskan mereka daripada segala penindasan.
(iv) Belanda tidak mengakui Diponegoro sebagai pemimpin Islam di Jawa. Bagi masyarakat Jawa, tindakan ini menunjukkan Belanda tidak menghormati kepercayaan agama Islam.
Perjuangan Diponegoro dalam Perang Jawa (1825 - 1830)
(a) Diponegoro berjaya mendapat sokongan kaum tani, para ulama,golongan bangsawan, dan para bupati. Pengikut Diponegoro ialah Kyai Mojo, Kyai Hasan Besari, Sentot, dan Mangku Bumi. Mereka melancarkan Perang gerila terhadap orang Belanda.
(b) Pada mulanya, Diponegoro berjaya dalam pertempuran berhampiran Lengkong dan Delanggu. Diponegoro dilantik menjadi Sultan dengan gelaran "sultan Abdulhamid Cokro Amirulmukminin Sayidin Panotogomo Khalifatullah Tanah Jowo'. Gelaran tersebut jelas menunjukkan pengaruh agama Islam dalam Perang Jawa.
(c) Perang Jawa berlarutan selama lima tahun. Tentera Diponegoro mengalami kemerosotan apabila ramai daripada mereka mati kebuluran dan diserang penyakit.
(d) Orang kanan Diponegoro iaitu Sentot dan Mangku Bumi berpaling tadahmemihak kepada Belanda. Ini melemahkan perjuangan Diponegoro. Akhirnya, beliau bersetuju berdamai dengan Belanda. Belanda enggan mengiktiraf Diponegoro sebagai Sultan Surakarta dan Ratu Adil.
Kesimpulan
Pada 3 Mei 1830, Diponegoro dan rombongannya diberangkatkan dengan kapal Pollux ke Manado dan ditawan di benteng Amsterdam. Kemudian, mereka dipindahkan ke benteng Rotterdam di Makassar, Sulawesi Selatan.Pada 8 Januari 1855, Diponegoro meninggal dunia dan dimakamkan di kampung Jawa Makassar.
Diponegoro berjuang untuk agama dan bangsa, membela nasib kaum tani dan bangsawan, serta mempertahankan agama Islam.Beliau seorang tokoh nasionalis yang memimpin orang Jawa ke arah satu perjuangan menyelamatkan tanah air (tanah Jawa) daripada penjajahan orang kafir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan