Dinobatkan sebagai Komunikator
Sains Terbaik Dunia
Mohd.
Khuzairi Ismail
13 Jun 2018 3:00 AM
PULAU PINANG 12 Jun - Pensyarah
Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siti Khayriyyah Mohd. Hanafiah
mengharumkan nama negara setelah dinobatkan sebagai Komunikator Sains Terbaik
Dunia dalam pertandingan FameLab International 2018 di The Arena, Cheltenham,
United Kingdom (UK), minggu lalu.
SITI KHAYRIYYAH MOHD. HANAFIAH
mengharumkan nama negara setelah dinobatkan sebagai Komunikator Sains Terbaik
Dunia dalam pertandingan FameLab International 2018 di UK, baru-baru ini.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains
Kajihayat USM itu berjaya menawan hati panel juri dan memukau beratus-ratus
penonton di The Arena melalui pembentangan bertajuk To Find a Hidden Killer
(Mencari Pembunuh Tersembunyi) berkenaan penggunaan pasangan antibodi-antigen
untuk diagnosis penyakit tuberculosis (tibi) atau batuk kering.
Dalam pusingan akhir, Siti
Khayriyyah menewaskan 11 finalis lain dari pelbagai negara termasuk Mesir,
Poland, Kazakhstan, UK, Afrika Selatan, Greece dan Cyprus.
Menurut beliau, kemenangan itu
membuka lembaran baharu iaitu menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia
juga mempunyai bakat dan kemampuan untuk cemerlang dalam bidang sains dan
teknologi.
Sambil melahirkan rasa terkejut,
terharu dan bersyukur, katanya, kemenangan itu juga pengalaman paling bermakna
dan berharga kerana dapat menarik perhatian penonton serta juri semasa membuat
persembahan serta mendapat maklum balas yang baik dan positif.
“Nasihat saya kepada penyelidik
dan pensyarah yang ingin menyertai pertandingan sebegini, baik tua atau muda,
jangan ragu-ragu pada diri, cuba dahulu.
“Selagi anda ada mesej untuk
disampai, berikan diri peluang untuk didengar khalayak ramai,” katanya yang
banyak didorong oleh suami, ibu, keluarga serta rakan-rakan dalam menyertai
pertandingan itu.
FameLab International adalah
pertandingan menguji kemahiran lisan saintis muda dalam menyampaikan teori dan
konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam bentuk
kreatif dan penyampaian yang mudah untuk difahami oleh khalayak dalam tempoh
tiga minit.
Setiap persembahan dinilai
berdasarkan kandungan, kejelasan dan karisma penyampai.
FameLab diperkenalkan di
Malaysia pada 2015 oleh British Council dengan kerjasama Malaysian
Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pulau-pinang/pensyarah-usm-banggakan-negara-1.690472#ixzz5IFgxHy6V
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan