Rabu, 1 April 2015

GST berkuat kuasa hari ini

OLEH JOHARDY IBRAHIM (EKONOMI@UTUSAN.COM.MY)   01 April 2015 2:07 PM
Pengarah GST, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Datuk T. Subromaniam (kanan) mengadakan taklimat bersa
Pengarah GST, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Datuk T. Subromaniam (kanan) mengadakan taklimat bersa
PENGARAH GST, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Datuk T. Subromaniam (kanan) mengadakan taklimat bersama pegawai JKDM dalam persiapan terakhir menjelangnya pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/RASHID MAHFOF

KUALA LUMPUR 31 Mac - Setelah pertama kali diumumkan pada pembentangan Bajet 2005, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mula berkuat kuasa esok di seluruh negara bagi menggantikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan.
Ketika itu, GST dicadang untuk dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2007. Dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan kerajaan, Bajet 2005 mencadangkan penyusunan semula sistem percukaian negara termasuk mengkaji peruntukan yang disediakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Ini bertujuan untuk menjadikan sistem percukaian negara lebih berkesan dan berupaya menjana hasil negara.
Fakta paling mustahak ialah rakyat tidak perlu takut atau khuatir pelaksanaan GST kerana model cukai yang diguna pakai tidak akan dikenakan terhadap barangan makanan asas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, GST yang berkuat kuasa mulai hari ini, pada kadar hanya sebanyak enam peratus berbanding dengan kadar cukai jualan iaitu lima dan 10 peratus, dan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.
Kadar GST ini merupakan yang terendah dalam kalangan negara ASEAN yang mana Indonesia, Vietnam, Kemboja, Filipina dan Laos mengenakan GST pada kadar 10 peratus dan Singapura serta Thailand pada kadar tujuh peratus.

Di peringkat global, lebih 160 buah negara di dunia telah pun melaksanakan GST. Ini menunjukkan GST adalah satu sistem percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan.
GST dilaksanakan setelah kerajaan mendapati cukai jualan dan cukai perkhidmatan semasa, mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport dan isu pindahan harga.
GST merupakan gantian kepada dua cukai yang akan dimansuhkan iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan dan bukanlah cukai tambahan baru.
Realitinya, kadar inflasi kini adalah pada tahap yang rendah di paras dua peratus. Kerajaan yakin, ini adalah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi adalah minimum dan terkawal.
Dengan pelaksanaan GST, kerajaan dapat menangani banyak kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada. Sebagai contoh, pada waktu ini, sekiranya membeli minuman berkarbonat di restoran, tanpa disedari pembeli telah membayar dua kali cukai iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan.
Selain itu, kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan manakala struktur cukai pendapatan individu akan disusun semula untuk menjadikan negara lebih kompetitif di samping mengekal dan menarik bakat serta tenaga mahir dalam negara.
Kadar cukai maksimum kini 26 peratus pula dikurangkan kepada 24, 24.5 dan 25 peratus. Langkah-langkah tersebut akan berkuat kuasa mulai tahun ini.
Selain daripada rakyat, syarikat perniagaan turut akan dibantu untuk memastikan pelaksanaan GST berjalan dengan lancar.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST, satu Jawatankuasa Pemantauan GST akan ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II dengan dianggotai oleh agensi kerajaan, wakil industri dan NGO.
Dalam pada itu, GST menjadi isu kerana ia dijadikan bahan politik oleh pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan mengelirukan orang ramai terhadap kefahaman GST.
Mereka mengatakan apabila GST dilaksanakan, kononnya semua harga barang akan melambung naik dan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah akan menanggung beban. Itu semua propaganda politik pembangkang.
Pengguna yang memerlukan bantuan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan GST boleh menyalurkan maklum balas dan pertanyaan ke portal dan talian hotline yang disediakan.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah menyediakan talian hotline bernombor 1-300-888-500 dan 03-8882 2111 serta laman web yang beralamat di http://gst.customs.gov.my, yang mana pengguna boleh memberi maklum balas dan menghubungi pejabat/kaunter bantuan yang terletak di negeri masing-masing.
Aduan dan cadangan yang berkaitan dengan jabatan tersebut pula boleh diajukan kepada alamat e-mel, ccc@customs.gov.my atau 03-7806 7200.
Untuk sebarang pertanyaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, orang ramai boleh menghubungi nombor hotline 1-800-886-800 atau membuat panggilan ke 03-8000 8000 dan 03-8882 5983.
Mereka juga boleh menurunkan maklum balas dan aduan di www.kpdnkk.gov.my atau portal eaduan.kpdnkk.gov.my, atau mereka boleh menghantar e-mel kepada eaduan@kpdnkk.gov.my.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/gst-berkuat-kuasa-hari-ini-1.75854#sthash.iu29gsjH.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan