Rabu, 21 Januari 2015

Semua kementerian akan dilengkapi kemudahan IT

ARKIB : 01/05/1998

Semua kementerian akan dilengkapi kemudahan IT
ABDUL Halim Ali menunjukkan buku bertajuk 'Perkhidmatan Awam Malaysia-Membudayakan Teknologi Malaysia' pada majlis pelancaran buku itu di INTAN di Bukit Kiara, semalam.

KUALA LUMPUR 30 April - Semua kementerian dan jabatan kerajaan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan Teknologi Maklumat (IT) tidak lama lagi, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali hari ini.

Beliau berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk menjadikan negara sebagai kerajaan elektronik yang serba canggih.

''Sebagai permulaan Jabatan Perdana Menteri akan menjadi peneraju dan seterusnya menjadi 'pengarah' kepada jabatan atau kementerian lain bagi memudahkan penyeragaman pelaksanaan.

''Sebelum itu, latihan menyeluruh teknologi IT akan diberikan kepada semua pegawai kerajaan dan surat pemberitahuan mengenainya telahpun diedarkan termasuk bagi membentuk satu Jawatankuasa Khas IT dan Internet Kerajaan (JITIK) di semua jabatan dan kementerian,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan Buku Perkhidmatan Awam Malaysia bertajuk 'Perkhidmatan Awam Malaysia-Membudayakan Teknologi Maklumat' di sini.

Halim berkata, bagi memastikan rancangan itu berjalan lancar, peruntukkan sebanyak RM150 juta telah dikeluarkan pada tahun ini.

Beliau menyeru agar semua ketua jabatan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap rancangan berkenaan untuk memastikan kakitangan mereka memperolehi pengetahuan sewajarnya.

Tambahnya, beberapa syarikat IT dalam dan luar negara beserta Perbadanan Pembangunan Multimedia (MSC) telah memberikan komitmen mereka untuk membantu kerajaan mencapai tujuan tersebut.

''Mereka berjanji akan berkongsi kepakaran dengan pegawai-pegawai kerajaan serta syarikat swasta tempatan terutama memendekkan masa perkhidmatan di semua jabatan kerajaan,'' katanya.

Sementara itu beliau berkata kerajaan sedang memikirkan cara untuk mengatasi masalah berhubung kewujudan unsur negatif seperti pornografi dalam Internet.

Beliau berkata, adalah penting difikirkan langkah-langkah yang dapat menyekat anak-anak daripada mengakses bahan-bahan seperti itu.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz3PS6bytdw © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan