4 November 2014
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
KUALA LUMPUR - Koleksi gambar
peribadi Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
bersama anggota keluarga dan pekerjanya antara koleksi terbaharu Arkib Negara
yang boleh diakses untuk tujuan penyelidikan.
Ketua Pengarahnya, Azemi Abdul
Aziz berkata, koleksi itu yang bertemakan 'Sebalik Tabir Kehidupan Di
Residensi' merangkumi 339 keping gambar hitam putih yang dirakamkan sekitar
kediaman rasmi Tunku Abdul Rahman di Jalan Dato Onn di sini, antara tahun 1959
hingga 1970.
"Gambar ini banyak dirakam
secara 'candid shot' oleh anggota keluarganya, Syed Abdullah Barakhbah Syed
Omar, yang mempunyai hobi mengambil gambar dan pernah dihantar Tunku untuk
belajar fotografi di London," katanya.
Bercakap pada sidang media
Majlis Promosi Bahan Arkib Terpilih di sini hari ini, Azemi berkata koleksi
gambar itu diperoleh daripada simpanan peribadi penerbit filem Mansor Puteh.
Antara yang menarik ialah
gambar kenangan pembantu peribadi Tunku Abdul Rahman bernama Ah Seong, Kalimutu
(pemandu) dan tiga pembantu rumah iaitu Kantan, Osman dan Ismail bersama Syed
Omar (bapa Syed Abdullah) dan saudaranya Syed Abu Bakar di hadapan residensi.
Turut dijadikan koleksi ialah
gambar anak-anak pekerja di hadapan kereta jenis Cadillac Fleetwood, iaitu
kereta rasmi Tunku Abdul Rahman pada tahun 1965 dan gambar-gambar spontan
isteri Tunku Abdul Rahman, Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah melayan tetamu
di kediaman itu.
Koleksi baharu itu juga
meliputi 25,000 helai dokumen berkaitan negara daripada simpanan National
Archives of India, melibatkan sejarah campur tangan Inggeris di Melaka, Negeri
Sembilan, Johor, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Kepulauan Borneo.
"Projek khas pendigitalan
di koleksi ini dijalankan menerusi tiga fasa bermula pada 5 Okt 2013 sehingga
awal tahun ini," kata Azemi.
Selain itu, koleksi itu turut
melibatkan 32 dokumen semasa pentadbiran British di Semenanjung Tanah Melayu,
antaranya surat-surat bertulis tangan berusia 185 tahun antara Secretary to
Government John Anderson dengan residen kaunselor Melaka, Samuel Garling
Esquire.
"Manuskrip ini antaranya
berkaitan urusan pejabat, permohonan laporan penyewaan premis pejabat, kekurangan
bekalan alat tulis dan kelengkapan tentera, laporan penahanan kepada sheriff
dan kelulusan bantuan untuk orang miskin dan bekalan selimut untuk
pesalah," katanya.
Azemi menambah koleksi baharu
itu juga meliputi dokumen-dokumen dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
Selangor, Kelantan, Terengganu, High Commissioner Office Malaya dan Federal
Secretariat yang telah dikelaskan semula daripada terperingkat kepada terbuka
yang berjumlah 1,055 rekod.
Ia antaranya meliputi maklumat
pelantikan Raja Uda Raja Mohamed sebagai Anggota Majlis Negeri Selangor, rekod
persetujuan Negeri-negeri Selat berhubung cadangan mengubah nama pasukan
'volunteer' udara 'Strait Settlement Air Force' (SSAF) kepada Malayan Volunteer
Air Force (MNVAF).
Turut dimuatkan dalam koleksi
itu ialah rekod berkaitan Public Services Salaries Commission yang
dipengerusikan Sir Harry Trusted, yang ditubuhkan bagi mencadangkan skim gaji
baharu kepada kakitangan di bawah pentadbiran kerajaan British. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 4.11.2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan