BUAT kali pertama, imej sebenar
Firaun Tutankhamun dikeluarkan sekumpulan saintis menggunakan kaedah
penggabungan imej. – AGENSI
Buat pertama kali, para saintis
berjaya melakar bentuk badan dan wajah sebenar Firaun Tutankhamun atau lebih
dikenali sebagai Raja Tut selepas 3,300 tahun beliau meninggal dunia.
Mail Online melaporkan, lakaran
yang dihasilkan melalui penggabungan lebih daripada 2,000 imej yang diimbas
menggunakan kaedah ‘autopsi maya’ itu menunjukkan Raja Tut memiliki saiz pinggul
yang kecil, bergigi jongang dan berkaki tempang.
Para saintis berpendapat, Raja
Tut yang memerintah Mesir pada tahun ke 14 sebelum Masihi dan gemarkan
perlumbaan kereta kuda, berjalan menggunakan tongkat sepanjang hayatnya.
Saintis dari Institut Mumia dan
Zaman Batu Itali, Albert Zink berkata, Raja Tut dilahirkan cacat kerana
mengalami masalah genetik dan berdasarkan kajian asid deoksiribonukleik (DNA)
mendapati, masalah itu wujud selepas bapanya iaitu Raja Akhenaten menjalinkan
hubungan kelamin bersama kakaknya sendiri.
Pensyarah Kolej Imperial
London, Hutan Ashrafian berkata, perbuatan sumbang mahram telah menyebabkan
bayi yang dilahirkan tidak sempurna.
“Ahli keluarga sebelum
kelahiran Raja Tut semuanya meninggal dunia pada usia yang lewat, berbanding
adik-beradik beliau yang meninggal dunia awal dan ini berkaitan rapat dengan
masalah genetik,” jelas Ashrafian.
Fakta berkenaan sekali gus
membuktikan bahawa Raja Tut meninggal dunia bukan disebabkan kemalangan ketika
menyertai perlumbaan kereta kuda tetapi disebabkan oleh masalah kesihatan.
Raja Tut mula popular selepas
mumianya dijumpai pada tahun 1922 bersama barang kemas dan artifak, termasuk
topeng emas di sisinya.
Beliau menjadi firaun ketika
berusia 10 tahun dan hanya sempat memerintah selama sembilan tahun sebelum
meninggal dunia pada usia 19 tahun.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/saintis-dedah-wajah-sebenar-tutankhamun-1.15148#sthash.LsVNUpZh.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan