Oleh ZAMRI RAMBLI dan
KHADIJAH MOHAMAD NOR
rencana@kosmo.com.my
Tiga adik-beradik Hussein dalam
susur galur kesu sasteraan dan seni budaya negara begitu masyhur. Datuk
Abdullah Hussein merupakan penulis dan novelis yang diangkat sebagai Sasterawan
Negara kelapan, manakala Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein pula seorang pelukis
tersohor yang mengharumkan nama Malaysia ke seanterio dunia.
Bagaimanapun, istimewanya
Profesor Emeritus Tan Sri Ismail dalam keluarga Hussein ialah beliau me
rangkumkan ranah kedua-dua adik-beradiknya iaitu jalur kesusasteraan, bahasa
dan kebudayaan untuk mendakap erat dalam dirinya.
Dalam seluruh hidupnya,
Allahyarham Ismail mengabdikan diri untuk memperjuangkan bahasa, kesusasteraan
dan budaya Melayu, bukan sahaja di Malaysia, bahkan nun jauh sampai ke tanah
Afrika.
Pemikiran Ismail cukup jelas
jika diamati daripada ungkapannya dalam pelbagai konvensyen, gagasan mahupun
penulisan iaitu memartabatkan kesusasteraan bahasa Melayu ke setiap penjuru
dunia.
Maka tidak hairanlah, gerakan
pemikiran beliau berjaya menyatupadukan rumpun bangsa Melayu menerusi gagasan
seperti Pertemuan Sasterawan Dunia, Pertemuan Sasterawan Nusantara dan
Pertemuan Penulis Asia Tenggara.
Handalan sastera
Selain itu, beliau turut
menganjurkan idea Simposium Kebudayaan Melayu di Vietnam, Yunan, China dan Cape
Town, Afrika Selatan selain Persidangan Dunia Melayu Dunia Islam yang
menggabungkan negara-negara seperti Indonesia, Kemboja, China, Thailand,
Filipina, Australia dan Madagaskar.
Kehebatan pemikiran Ismail
memperikat kukuh dan menghembus nafas baharu bahasa Melayu amat dikagumi dunia
Melayu yang menganugerahkan beliau dengan gelaran Pendeta pada Simposium Dunia
Melayu di Sri Lanka pada tahun 1985.
ALLAHYARHAM Ismail (depan kiri)
yang menghidap parkinson sejak tiga tahun lalu bergambar bersama keluarganya.
Foto ini dirakamkan pada Mei lalu.
Namun malam kelmarin, pencinta
kesusasteraan seluruh dunia tergamam hiba menerima perkhabaran duka pemergian
Ismail yang menghembus nafas terakhir pada usia 82 tahun di Pusat Perubatan
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Allahyarham meninggalkan
seorang balu, Puan Sri Rugayah Abdul Rashid, 76, empat orang anak dan lima
orang cucu.
“Dia adalah hero saya kerana
kehandalannya dalam dunia sastera. Allahyarham tidak pernah lokek ilmu.
“Hormatnya saya kepada Tan Sri,
sehinggakan saya tidak pernah bergurau senda dengannya kerana menganggap beliau
sebagai seorang guru,” ujar bekas Menteri Pertanian yang juga mantan Menteri
Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid ketika ditemui pada majlis pengebumian jena
zah Allahyarham di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Selain Sanusi, tokoh sasterawan
negara, A. Samad Said turut mengagumi dan menghargai ketokohan Allahyarham.
Ungkap Pak Samad, Ismail ialah
tokoh sastera, bahasa dan budaya yang sangat gemilang pada zamannya.
“Saya kehilangan seorang
sahabat. Dia seorang Bapa Persuratan Melayu dan sewajarnya Allahyarham diberi
penghargaan atas segala sumbangan hebat beliau,” ujar Pak Samad ketika ditemu
bual Kosmo! semalam.
Ternyata sebelum Ismail me
ngangkat gagasan idea sastera dan budaya Melayu di peringkat antarabangsa,
beliau terlebih dahulu memahat nama dan menyentuh hati segenap lapisan
masyarakat di dalam negara.
Dilahirkan di Sungai Limau
Dalam, Yan, Kedah pada tanggal 30 Januari 1932, Ismail mendapat pendidikan awal
di Sekolah Melayu Sungai Limau Dalam sebelum menyambung pelajaran di Sekolah
St. Michael, Alor Setar dan Maktab Sultan Abdul Hamid.
SULTAN ABDUL HALIM menyampaikan
sepersalinan baju Melayu kepada Ismail pada majlis penyampaian Anugerah Khas
Gapena Seri Cendekia Mulia di Alor Setar, Kedah pada tahun 2002.
Dibesarkan dalam keluarga yang
susah, Ismail hidup sama se perti anak-anak kampung lain yang gemar bermain
layang-layang, gasing atau melastik burung. Namun, ayahnya segera menangkap
minat Ismail yang gemar membaca buku sehingga ketajaman pengetahuannya membo
lehkan dia mendapat 5A dalam Pe periksaan Senior Cambridge (Tingkatan lima).
41 tahun mengetuai Gapena
Malah, beliau dikatakan
terlebih dahulu mengambil jurusan Sains, tetapi kemudian memilih Kesusaste raan
Melayu di Universiti Malaya (UM) dari tahun 1955 hingga 1959. Kepin taran
Ismail membolehkan dia menjadi anak Melayu pertama yang mendapat Ijazah Sarjana
Muda Pe ngajian Melayu Kelas Pertama.
Beliau menyambung pengajian di
pe ringkat Sarjana di UM pada tahun 1961 dan seterusnya ke peringkat Doktor
Falfasah di Universiti Leiden, Belanda.
Ismail kemudian menjadi
pensyarah di Universiti Malaya dan dilantik sebagai Profesor Kesusasteraan Me
layu pada tahun 1971. Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti
Sastera dan Sains Sosial dan kemudian menjadi Ketua Jabatan Pe ngajian Me layu
dari tahun 1978 hingga 1984.
Namun, salah satu jawatan yang
paling dekat di hati Ismail ialah Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis
Nasional Malaysia (Gapena) yang dipegang beliau selama 41 tahun dari 1971
sehingga 2012.
Sewaktu memegang jawatan itulah
selain selaku seorang tokoh akademik, Ismail berjaya mengembang dan me ngangkat
kesusasteraan serta budaya Melayu bukan sahaja di Malaysia, bahkan di pelosok
dunia.
Sekadar menyebut beberapa
pengiktirafan yang diterima Ismail antaranya Darjah Setia Diraja Kedah membawa
gelaran Datuk pada tahun 1980, Ijazah Kehormat Doktor Honoris Causa daripada
Universitas Indonesia pada tahun 1984, gelaran Pendeta pada Simposium Dunia
Melayu di Sri Lanka pada tahun 1985, Darjah Pang lima Setia Mahkota oleh Yang
Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri pada tahun 1993 dan anugerah
Profesor Emeritus daripada Universiti Malaya pada tahun 1997.
Namun, bagi mereka yang
mengenali Ismail secara dekat, susunan anugerah itu tidak pernah menjadikan
beliau individu yang bermegah atau meninggi diri.
Ujar anak kedua Allahyarham,
Ria Ismail, 47, bapanya mempunyai karakter happy go lucky tetapi tegas dalam
mendidik anak-anak. Beliau juga tidak pernah kisah mengenai status dan pangkat
sehinggakan mudah didekati sesiapa sahaja.
ALLAHYARHAM Ismail (dua dari
kiri) bersama rakan seperjuangan dalam dunia kesusasteraan ketika menghadiri
sebuah program penyair terkenal dan sasterawan negara, Datuk Dr. Ahmad Kamal
Abdullah atau Kemala di ibu negara. Turut kelihatan Pak Samad Said (kanan).
“Dari segi penampilan ayah
sangat ringkas. Ayah boleh keluar berjalan dengan baju T dan seluar panjang
sehinggakan orang mungkin tidak pernah menyangka dia seorang tokoh sasterawan
dan pendeta bahasa,” kata anak keduanya itu.
Sementara itu, anak saudara
Ismail, Roosmawaty Ibrahim 56, turut menceritakan bagaimana Allahyarham
merupakan seorang individu yang gemar menolong orang susah.
“Dulu bila Pak Anjang (gelaran
dalam kalangan anak saudara) pulang ke kampung, beliau akan pastikan but
keretanya dipenuhi dengan puluhan tin Milo, Ovaltin dan makanan lain untuk
diberikan kepada sanak saudara,” katanya sambil memberitahu Ismail gemarkan makanan
tradisi Kedah seperti gulai ikan Kedah, pulut durian dan ikan terubuk.
Mengimbau kenangan bersama
Allahyarham, kata Roosmawaty, bapa saudaranya itu sangat mementingkan
pendidikan sehingga sanggup menanggung segala perbelanjaan persekolahannya
sewaktu belajar di Sekolah Menengah Convent Assunta, Petaling Jaya.
Bahkan, Roosmawaty sukar
melupakan bagaimana hampir setiap hari Ismail akan menyuruh dia membaca akhbar
berbahasa Inggeris dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu.
“Mula-mula memang saya marah
bila kena buat macam itu, tapi hakikatnya itulah kehebatan beliau dalam
mendidik yang akhirnya membantu saya melanjutkan pelajaran peringkat A-Level di
Kolej Oxford dan Sarjana Muda dalam bidang Sains di Universiti Coventry, United
Kingdom,” kata Roosmawaty yang kini bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Hal
Ehwal Pelajar di Sekolah Menengah Sungai Kapar Indah, Klang, Selangor.
Yang pasti, kehebatan pemikiran
dan idea Allahyarham Ismail begitu mudah menyentuh hati sesiapa sahaja, bukan
hanya ahli keluarga, kawan, pelajar, pencinta sastera, para ilmuan, tokoh
politik, bahkan segenap lapisan masyarakat.
SUMBER-KOSMO ONLINE 22/10/14
Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1022&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3Guq0Da6C