Sabtu, 4 Januari 2014

SEMPADAN DIBAHAGI GARISAN LURUS

KAMPUNG Mentadak Baru, Pulau Sebatik, Sabah.
TIDAK hanya terbahagi kepada dua negara malah keunikan yang ada pada Pulau Sebatik terletak pada persempadanannya yang seolah-olah digaris menggunakan pembaris tanpa ada sebarang lekukan di dalam peta.
Jika ditanya bagaimana semua itu terjadi? Sejarahnya cukup panjang. Menurut Ketua Program Sejarah, Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Mosli Tarsat, Pulau Sebatik dipercayai mula dihuni pada awal abad ke-20 setelah masyarakat di sekitarnya terlebih dahulu memohon perkenan Sultan Bulungan pada 1900 untuk membuka wilayah tersebut.
Bagi memperkenan permohonan berkenaan, baginda mengenakan dua syarat untuk dipenuhi masyarakat di situ. Pertamanya perlu ada dalam kalangan mereka yang mampu memandikan jenazah dan kedua mesti ada dalam kalangan mereka yang boleh menjadi bidan kelahiran.
"Semua itu tercatat di dalam catatan sejarah versi Indonesia. Menurut catatan itu lagi, kampung pertama di Sebatik bergelar Setabu dan wujud pada 1913 dengan ketua kampungnya yang pertama bernama Sulaeman dari kaum Tidung, Sehingga kini, kampung itu masih wujud" katanya.
Dipendekkan cerita, pembahagian kepada dua negara bermula apabila Belanda menguasai Indonesia di mana mereka percaya sempadan jajahan Kesultanan Bulungan ke atas wilayah Borneo Utara menganjur sehingga ke Tawau.
Sementara itu, British North Borneo Chartered Company (BNBCC) yang mengadakan perjanjian dengan Sultan Brunei dan Sultan Sulu pula mendakwa kawasan itu milik Kesultanan Sulu sekali gus menyebabkan mereka mempunyai hak ke atasnya.
Untuk menenangkan keadaan, British dan Belanda bersetuju menubuhkan satu suruhanjaya yang menjadi asas kepada Konvensyen Sempadan Inggeris Belanda. Pembentukan konvensyen itu ditandatangani pada 1891 bagi menggariskan sempadan antara wilayah naungan kedua-dua kuasa besar tersebut.
Konvensyen itu menggariskan sempadan antara wilayah Belanda dengan wilayah milik negeri naungan British di kepulauan Borneo hendaklah bermula dari garis lintang 4 darjah 10' utara di Pantai Borneo serta memanjang ke timur melalui Pulau Sebatik. Keputusan itu menyebabkan sempadan kawasan dimiliki dua negara dibahagikan menerusi satu garisan lurus.
Setelah persetujuan dicapai, pesuruhjaya sempadan British dan Belanda menandatangani laporan disediakan juru ukur kedua-dua negara terlibat di Tawau pada 17 Februari 1912 sebelum persetujuan dicapai menerusi perjanjian yang ditandatangani wakil kedua-dua kerajaan di London pada 28 September 1915 bertujuan mengesahkan laporan berkenaan.
Sehinggalah Belanda dikalahkan Jepun pada 1942, Pulau Sebatik bahagian selatan yang sebelum ini milik Belanda diwariskan kepada Indonesia sementara bahagian utara yang menjadi milik British diperturunkan kepada Malaysia.
Secara keseluruhan, kawasan dimiliki Indonesia yang berada di wilayah tadbir Kalimantan Timur berkeluasan 247.7 kilometer persegi. Kawasan dikenali sebagai 'Kecamatan Sebatik' itu dianggarkan didiami sehingga 85,000 warga Indonesia ketika ini.
Manakala, di sebelah Sebatik Malaysia, keluasan kawasan yang berada di dalam daerah Tawau hanyalah 204.7 kilometer persegi dengan jumlah penduduknya dianggarkan tidak sampai satu per tiga daripada jumlah penduduk di kawasan Sebatik Indonesia.


sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140104/lk_01/Sempadan-dibahagi-garisan-lurus#ixzz2pR5WzeS3 © Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan