Jumaat, 10 Januari 2014

Sebelum tidur, ayah akan bercerita

 

RAMLI yang mewarisi bakat menjadi Awang Batil daripada Allahyarham bapanya, Mahmud Wahid.
IMPIANNYA untuk mempopularkan seni persembahan Awang Batil tidak pernah pudar meskipun pernah berhenti seketika akibat sikap sinis masyarakat seolah-oleh merendah-rendahkan seni warisan tersebut.

Selaku waris tunggal yang mewarisi seni persembahan tradisi negeri Perlis itu, Ramli Mahmud, nekad meneruskan legasi keluarga yang dipopularkan oleh ayahnya, Mahmud Wahid.

"Saya pernah terluka dalam memperjuangkan persembahan tradisi Awang Batil. Saya juga pernah berputus asa dan pernah terdetik di hati untuk tidak mempedulikan nasib persembahan itu kerana luka lama masih lagi terkesan dek ejekan dan sindiran orang terhadap seni itu.

"Namun atas rasa tanggungjawab dan sokongan rakan, saya kembali memukul batil dan meneruskan warisan keluarga ini," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pokok Sena, Chuping, baru-baru ini.

Secara jujur katanya, dia tidak diajar secara khusus untuk menjadi Awang Batil. Semuanya secara kebetulan.

Anak bongsu daripada lima adik beradik itu berkata, ketika berusia enam tahun, dia sering mengikuti ayahnya ke merata tempat mengadakan persembahan Awang Batil.

Selain itu, ujarnya, setiap malam sebelum tidur, ayahnya akan bercerita mengenai kisah Awang Batil sehingga dia terlena.

"Saya juga tidak diwasiatkan untuk menjadi waris kepada Awang Batil, sebaliknya saya yang mengambil tanggungjawab tersebut," ujarnya.

Perjuangan warisan perlu diteruskan biarpun terpaksa mengikut rentak dan peredaran zaman.

Pengalaman mengadakan persembahan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada tahun 2004, yang memperlihatkan penonton tertanya-tanya tentang persembahan itu memberi isyarat kepada mereka supaya membuat perubahan.

Lantaran itu persembahan Awang Batil diubah dan diolah mengikut cita rasa penonton semasa.

Meskipun sukar untuk melakukannya, namun ia harus dipertahankan agar warisan tersebut tidak lenyap ditelan arus modenisasi.

"Antara pembaharuan adalah kami sketsa dalam persembahan Awang Batil," katanya.

Perubahan itu berjaya memikat hati penonton selain tambahan lawak jenaka tanpa mengubah bentuk asal persembahannya.

"Sekiranya dibandingkan bentuk persembahan dahulu, hanya seorang sahaja yang bercerita dan memainkan kesemua watak dalam penceritaannya itu," jelasnya.

Selain itu, penggunaan bahasa yang mudah difahami turut diperkenalkan untuk kebaikan penonton.

"Kalau dahulu bahasa yang digunakan adalah dialek Perlis yang lebih mendalam menyukarkan penonton untuk memahami terutamanya penonton yang bukan berasal dari utara tanah air. Jadi, kami mengimbangi cara penggunaan bahasa mengikut keutamaan penonton.

"Sekiranya persembahan itu dibuat di Perlis, Kedah atau Pulau Pinang, saya masih lagi menggunakan bahasa dan loghat Perlis yang mudah difahami tetapi ada juga menggunakan bahasa Melayu biasa," jelasnya.

Kini, kisah penglipurlara itu mula mendapat perhatian dan permintaan terhadap seni persembahan itu juga tidak pernah putus.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140111/lk_05/Sebelum-tidur-ayah-akan-bercerita#ixzz2q3GB8QKL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan