Isnin, 16 Disember 2013

Faktor gagal raih sokongan Melayu tewaskan PKM

Faktor gagal raih sokongan Melayu tewaskan PKM

 
ANGGOTA komunis yang menyerah diri kepada pasukan keselamatan pada 16 Oktober 1958.
FAKTOR kegagalan Parti Komunis Malaya (PKM) melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu dikenal pasti kerana kesukaran dan kelemahan parti itu meraih sokongan orang Melayu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh pegawai komunis paling kanan dalam Jawatankuasa Pusat PKM dikenali sebagai Ah Su * dalam ceramahnya yang turut dihadiri oleh ketua Unit Penggempur Kelima PKM di Perak, Chong Chor pada Mac 1962.

Dalam fail sulit pengakuan Chong Chor yang pertama kali didedahkan, PKM berdepan tugas sukar untuk melancarkan 'perang rakyat' terhadap British disebabkan ketiadaan sokongan kaum Melayu yang merupakan lebih 50 peratus penduduk Tanah Melayu, dengan majoritinya tinggal di kawasan pendalaman.

Analisis kekalahan itu terkandung dalam ceramah Ah Su yang ditujukan kepada anggota-anggota komunis tegar semasa mereka berundur ke selatan Thailand kesan tindakan berkesan pihak keselamatan Malaysia ketika itu.

Ah Su menggariskan lima faktor kegagalan PKM meraih sokongan ramai kaum Melayu iaitu kononnya, orang Melayu terkongkong dan tertindas di bawah sistem feudal di negeri-negeri Melayu, mendapati mereka sukar memahami dan menerima konsep komunisme.

Faktor kedua: Orang Melayu sentiasa dibohongi penjajah British terutama menerusi dasar 'Pecah dan Perintah'. British mengambil kesempatan ke atas prinsip-prinsip agama Islam yang merupakan agama orang Melayu bagi menolak doktrin komunisme.

Faktor ketiga: Semasa PKM melancarkan perang anti-British, orang Melayu memberi sokongan terhadap Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama Malaysia) dan kerajaan campuran pimpinannya.

Faktor keempat: Majoriti kaum Melayu buta huruf dan pengetahuan mengenai politik adalah cetek. Oleh itu, kaum Melayu mudah diperdaya oleh kerajaan Tunku Abdul Rahman.

Faktor kelima: Dari sudut strategik, PKM gagal disebabkan mereka mengenepikan gerakan mempengaruhi kaum Melayu di kawasan pendalaman, semasa melancarkan perang bersenjata. Maka apabila PKM melancarkan perang, mereka tidak mendapat sokongan kaum Melayu sekali gus mengehadkan kawasan operasi PKM.

Menurut Chong Chor, pasukan pimpinannya yang terdiri daripada lebih 20 anggota komunis, berhimpun di kem Kampung Jok, Bannang Sata di Yala, selatan Thailand. Di situ, dia bertemu buat pertama kali dengan Rashid Maidin dan Abdullah CD. Kem tersebut menjadi markas latihan ideologi komunis.

Chong Chor menganggarkan lebih 100 anggota komunis dari Regimen Kelapan, Ke-10 dan Ke-12 berada di dalam kem tersebut.

Diistilahkan sebagai Sekolah Parti untuk menguatkan semula pegangan komunisme di kalangan anggota PKM, kem tersebut juga berperanan sebagai pusat untuk mereka mengkaji dasar baharu parti.

Dasar baharu PKM ketika itu ialah, parti akan meneruskan gerakan bersenjata sebagai wadah utama perjuangan dalam usaha mencapai kejayaan dalam revolusi membebaskan Tanah Melayu.

Bagi mencapai matlamat tersebut, PKM telah membatalkan keputusan awal untuk tidak melaksanakan tugas merekrut anggota di selatan Thailand. Ini adalah kerana dalam usaha membina semula kekuatan parti, PKM tidak peduli jika tindakan tersebut mencetuskan kemarahan kerajaan Thailand.

Bagi meluaskan kerja-kerja merekrut anggota baharu, dasar baharu tersebut secara mendalam menekankan peranan Unit Min Yuen dan kaedah meluaskan pengaruh PKM di kalangan masyarakat di selatan Thailand.

Dasar tersebut juga memberi penekanan kepada usaha melaksanakan pembaharuan ideologi di kalangan pegawai PKM bagi membentuk kesatuan untuk memulihkan parti.

Menurut Chong Chor, Sekolah Parti itu juga turut membincangkan dasar membenarkan anggota keluar dari PKM yang mengakibatkan semangat dan moral rendah di dalam parti.

Anggota-anggota komunis di kem tersebut turut diberikan ulang kaji mengenai sejarah PKM, latar belakang gerakan bersenjata, pergerakan komunis dunia dan sejarahnya, perbincangan mengenai keperluan seorang anggota revolusi komunis dan isu-isu semasa.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131216/re_02/Faktor-gagal-raih-sokongan-Melayu-tewaskan-PKM#ixzz2nh6CNu

Rabu, 11 Disember 2013

Kempen keganasan PKM dirancang teliti

Rejimen kelima PKM mengadakan perarakan dalam kem mereka di belantara Perak pada tahun 1950-an.
RAMAI lebih mengenali Chin Peng, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh sebagai pemimpin pengganas Parti Komunis Malaya (PKM). Hanya yang pernah hidup di zaman Darurat atau membaca buku sejarah zaman Darurat, nama Chong Chor atau Cheung Thian Thye (gambar) dikenali sebagai antara ketua pengganas PKM paling kejam dan licik mengelak diri daripada kepungan pihak berkuasa.
Chong Chor mengetuai Unit Penggempur Kelima PKM di Perak dan kemudiannya, Keenam PKM di Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan. Pasukan komando khas polis VAT 69 menjadikan Chong Chor sebagai sasaran utama paling dikehendaki dalam misi pemburuan mereka.

Ikuti pendedahan eksklusif Mingguan Malaysia mengenai Chong Chor, ketua pengganas komunis paling kejam yang dipetik daripada dokumen rahsia kerajaan yang tidak pernah disiarkan selama ini. - PENGARANG

PENTADBIRAN Tentera British (BMA) mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu pada 20 Jun 1948. Serentak dengan itu, kira-kira 1,000 anggota Parti Komunis Malaysia (PKM) dan pertubuhan-pertubuhan palsu yang didalangi PKM.

Bagaimanapun, mengikut fail sulit mengenai ketua unit penggempur (Assault Unit) yang sangat dikehendaki pihak berkuasa, Cheung Thian Thye atau lebih dikenali sebagai Chong Chor, mendedahkan ramai ketua utama PKM sudah pun masuk hutan’ seawal Mac tahun itu ekoran strategi parti untuk melancarkan perang untuk memastikan komunis menguasai Tanah Melayu.

Bagaimanapun, Chong Chor mengakui parti tersebut benar-benar tergamam dengan tindakan pantas dan drastik terhadap BMA.

‘‘Ini kerana sebelum parti itu sempat menyempurnakan penyusunan orang-orangnya termasuk kaedah komunikasi, operasi besar-besaran menangkap anggota komunis dilancarkan'.

Ramai daripada suspek dan anggota PKM diusir pulang ke China. Sebulan kemudiannya pada 20 Julai 1948, BMA mengisytiharkan pengharaman PKM.

Susulan daripada tindakan BMA tersebut, Setiausaha Agung PKM, Chin Peng memanggil mesyuarat di sebuah kampung di Batu 11, Air Kuning, Kampar di Perak bagi membentuk Regimen Kelima di negeri itu. Seramai enam pegawai kanan PKM peringkat Perak turut hadiri termasuk Chong Chor.

Pada mesyuarat itu, Chin Peng mengarahkan pembentukan Rejimen Kelima Tentera Rakyat Malaya Anti-British (MPABA) menerusi penyatuan tiga batalion yang sudah sedia wujud di negeri itu.

Menurut fail sulit, Chin Peng dipetik sebagai berkata, ‘‘MPABA hendaklah menyusun semula konsep taktikal PKM dan mengukuhkan struktur dalaman pasukan gerila dalam usaha melaksanakan strategi perang'.

Chin Peng juga menegaskan penggunaan strategi Maoist iaitu kawasan dibebaskan’ untuk membebaskan Tanah Melayu. Untuk mencapai matlamat tersebut, strategi revolusi PKM akan dilaksanakan mengikut tiga fasa iaitu:

1) Menguasai kawasan pendalaman kecil dan kemudian mewujudkan kawasan dibebaskan’ di wilayah yang dikuasai PKM;

2) Merencatkan sistem ekonomi BMA menerusi tekanan gerila dan meningkatkan bekalan dan peralatan gerila menerusi serang hendap dan serangan ke atas balai polis, tentera dan kawasan pasukan keselamatan lain.

3) Menambah unit gerila menerusi pengambilan orang di kawasan yang dikuasai atau dibebaskan, maka itu memaksa kerajaan keluar dari kawasan pendalaman.

‘‘Pelan strategi perang seumpamanya, telah terbukti berjaya dilakukan di China," kata Chin Peng, seperti dicatatkan dalam fail sulit ini.

Berikutan arahan terbaharu Chin Peng ini, pada 9 Julai 1948, Batalion Ketiga PKM melancarkan serangan pertama ke atas Balai Polis Langkap. Menurut Chong Chor, pasukan seramai 40 anggota yang diketuainya menggali semula kawasan persembunyian senjata di Batu 11, Jalan Air Kuning, Kampar.

Bagaimanapun, serangan tersebut berjaya dipatahkan oleh pasukan keselamatan. Chong Chor mengakui kesilapan daripada segi penyelarasan dan perancangan.

Satu lagi gerombolan diketuai rakan Chong Chor bernama Ah Lek berjaya menyerang hendap kenderaan pasukan keselamatan dan meletupkan jambatang di Air Kuning.

Pada 24 Julai 1948, satu lagi serangan dilancarkan ke balai polis Sungai Merbau di Tapah. Bagaimanapun, mereka hanya berjaya merampas satu raifel tetapi gagal meletupkan stesen janakuasa di situ.

Pergerakan Chong Chor berjaya dihidu oleh pasukan keselamatan. Semasa berkhemah dalam hutan Kuala Woh di Bidor, pasukan komunis ini telah diserang dan memaksa mereka berundur semula ke Batu 11, Jalan Air Kuning di Kampar.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131209/re_07/Kempen-keganasan-PKM-dirancang-teliti#ixzz2nCDEbEac

© Utusan Melayu (M) Bhd

PKM mengaku alami kekalahan teruk


Sekumpulan pengganas komunis berkumpul di dalam hutan menerima arahan daripada ketua mereka.
RANCANGAN Briggs yang diperkenalkan oleh penjajah British pada Jun 1950 benar-benar memberi tamparan hebat kepada gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menakluk Tanah Melayu.

Pengunduran Setiausaha Agung PKM, Chin Peng dan kumpulannya pada Julai 1953 dari hutan tebal di Pahang menuju ke selatan Thailand melalui Kelantan merupakan kejayaan besar Rancangan Briggs dan kegagalan besar PKM dalam perjuangan bersenjatanya.

Beberapa orang anggota Jawatankuasa Pusat PKM turut berundur ke selatan Thailand bersama-sama Chin Peng.

Pengunduran Chin Peng dan kumpulannya itu merupakan isyarat jelas kekalahan teruk PKM daripada segi ketenteraan, sejak PKM melancarkan perjuangan bersenjata pada 1948.

Akibat kekalahan daripada segi ketenteraan itu, PKM dalam arahan terbarunya pada lewat 1951 terpaksa mengubah strategi perjuangannya termasuk membentuk platun-platun yang lebih kecil dan berundur lebih jauh ke dalam hutan belantara bagi mengelak dikesan pasukan keselamatan.

Usaha PKM untuk menawan hati penduduk Orang Asli yang tinggal di dalam hutan di bawah program ASAL turut terjejas apabila pasukan keselamatan bertindak membina kubu-kubu di dalam hutan berhampiran kawasan kediaman Orang Asli.

Ini sekali gus memberi tekanan lebih hebat kepada PKM untuk mendapatkan sokongan Orang Asli dan juga mendapatkan bekalan makanan.

Tekanan demi tekanan yang dihadapi PKM dan kekalahan besar yang dihadapi mendorong PKM membuat persediaan untuk memanjangkan tempoh perang bagi membolehkan mereka berundur ke selatan Thailand dan beberapa kader kanan PKM seperti anggota Jawatankuasa Pusat parti itu, Ah Su telah dihantar untuk membuka pangkalan di Betong.

Ini disahkan oleh Chong Chor dalam laporan sulit yang mendedahkan bahawa dia terpaksa berada di dalam hutan dalam tempoh yang lama sehingga September 1955 untuk berlindung daripada pasukan keselamatan.

Pada masa yang sama kumpulan Min Yuen yang ditubuhkan PKM turut menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan makanan. Tanaman sayur-sayuran yang diusahakan oleh Min Yuen di dalam hutan dimusnahkan oleh pasukan keselamatan.

Kem-kem Min Yuen yang dibina di dalam hutan sering diserang pasukan keselamatan hingga mendorong mereka untuk berundur lebih jauh ke dalam hutan tebal.

Menjelang 1953 hingga 1955, hampir separuh kekuatan PKM yang dibina semasa Darurat berjaya dibunuh dengan hanya tinggal kira-kira 100 orang pengganas komunis dan selebihnya ditahan atau menyerah diri.

Selain mengetuai Unit Penggempur, Chong Chor turut diberi tugas mengetuai unit akhbar PKM Perak pada akhir 1953, ketika beroperasi di Pusing, Perak.

Dia bertanggungjawab mengendalikan penerbitan bahasa Cina. Selain mencetak bahan-bahan Hsueh Hsih. Unit akhbar itu turut menerbitkan Berita-berita Kemanusiaan, Berita-berita Semasa dan Berita-berita Lenin.

Beberapa orang pengganas komunis yang ditugaskan dengan Seksyen Percetakan Akhbar PKM Perak ini membina kem-kem mereka di beberapa lokasi di kawasan Rimba Panjang dan kawasan Sungai Bekor, barat Manong.

Chong Chor turut mengakui bagi memanjangkan tempoh perang dengan pasukan keselamatan mereka melaksanakan strategi berdasarkan konsep Mao Tze-Tung.

Serangan berterusan pasukan keselamatan ke atas kem-kem dan kubu-kubu komunis di Perak berjaya menumpaskan gerakan komunis di negeri itu sehingga Perak diisytiharkan kawasan putih pada 1959.

Ketika berdepan kekalahan teruk itulah, PKM pada 28 Disember 1955 bersetuju mengadakan rundingan damai dengan Kerajaan Perikatan di Baling dalam usaha untuk menamatkan perang.

Chong Chor mengakui walaupun rundingan Baling gagal, PKM telah lama mengalami kekalahan teruk dalam perang bersenjata.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131212/re_08/PKM-mengaku-alami-kekalahan-teruk#ixzz2nCACQovu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rancangan Briggs terencatkan Parti Komunis Malaya

PADA Jun 1950, kerajaan British di Tanah Melayu memperkenalkan 'Rancangan Briggs' dalam usaha menyekat pengganas komunis daripada mendapat bekalan makanan, penyokong, maklumat dan menyebar luas fahaman komunisme. Diilhamkan oleh bekas Komander Divisyen Ke-14 di Myanmar, Sir Harold Briggs yang kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Operasi menentang komunis di Tanah Melayu.

Menurut fail sulit mengenai ketua unit penggempur (assault unit) komunis yang sangat dikehendaki pihak berkuasa, Cheung Thian Thye atau lebih dikenali sebagai Chong Chor , Rancangan Briggs itu memberi kesan ketara daripada segi logistik PKM.

"Keadaan itu mengakibatkan kami kehilangan penguasaan ke atas penduduk pedalaman. Tanpa bekalan makanan mencukupi dan logistik, pasukan kami dipaksa mengurangkan lagi saiz keanggotaan unit.

"Unit kami tidak ada pilihan tetapi berundur jauh ke hutan belantara untuk mendapat bekalan makanan daripada Orang Asli dan bercucuk tanam sendiri," kata Chong Chor.

Rancangan Briggs itu juga memaksa pucuk pimpinan PKM mengeluarkan arahan baharu mengenai taktik operasi pada 1 Oktober 1951. Dasar baharu tersebut merubah taktik daripada perang terbuka keganasan-sabotaj kepada gerakan lebih terkawal dalam usaha meraih sokongan penduduk Tanah Melayu.

Anggota-anggota komunis diberi peringatan bahawa tugas utama mereka ialah meluas dan menggembleng sokongan, sekali gus mengetepikan matlamat ketenteraan asal PKM untuk menghapuskan musuh iaitu pasukan keselamatan. Tindakan keganasan, menakut-nakutkan dan pembunuhan bukan lagi strategi PKM.

Arahan baharu PKM itu ialah berhenti daripada merampas kad pengenalan dan kad catuan; membakar kampung, menyerang pejabat pos, kolam takungan, stesen jana kuasa dan sebagainya, mensabotaj landasan kereta api dengan letupan, membakar bangunan keagamaan dan lain-lain.

Menurut Chong Chor dalam fail sulit tersebut, pucuk pimpinan PKM mengerti masih wujud keperluan untuk meneruskan kegiatan bersenjata demi meningkatkan semangat anggota komunis. Namun, PKM menggariskan bahawa keutamaan diberikan kepada usaha penyusunan semula organisasi dan mengamalkan dasar 'menahan diri' bagi memenuhi perubahan keadaan semasa.

"Sama ada sesebuah unit perlu meneruskan pertarungan atau berundur untuk mengumpul semula anggota-anggota, haruslah bergantung kepada keadaan semasa," kata Chong Chor.

Berikutan keberkesanan Rancangan Briggs dan tindakan menggempur komunis yang cekap oleh pasukan keselamatan, anggota komunis diarahkan supaya menanam sendiri sayur-sayuran dan berbaik dengan Orang Asli untuk mendapatkan bekalan makanan.

"Namun unit-unit kecil akan tetap digunakan dalam misi-misi terhad ke atas pasukan keselamatan dan juga mendapatkan bekalan," ujarnya.

Pada Julai 1953, Setiausaha Agung PKM, Chin Peng meninggalkan kawasan persembunyiannya di hutan belantara Pahang menuju ke selatan Thailand, melalui Kelantan.

Chong Chor merumuskan pengunduran Chin Peng tersebut adalah petunjuk jelas bahawa peperangan terbuka PKM sejak 1948 telah menemui kekalahan.

Apa sahaja rancangan atau plot yang dilaksanakan oleh PKM, telah berjaya dikesan oleh pasukan keselamatan menerusi rondaan hutan dan juga pemantauan daripada udara. Kaedah menanam sendiri sayuran tidak mencukupi, kerana ketiadaan barangan keperluan lain seperti garam, minyak masak, pakaian, kasut, ubat, duit dan logistik lain.

Berdepan dengan tekanan yang hebat daripada pasukan keselamatan dan kekalahan teruk, PKM tidak ada pilihan selain terpaksa membuat persediaan untuk berundur ke selatan Thailand. Sebenarnya, seawal 1951, ramai pegawai kanan PKM telah dihantar ke Betong, selatan Thailand untuk membina kem.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131211/re_06/Rancangan-Briggs-terencatkan-Parti-Komunis-Malaya#ixzz2nC8SY3zq

© Utusan Melayu (M) Bhd

Versi baharu Perdana dilancar


 NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin menerima kereta Proton Perdana baharu untuk kenderaan rasmi kerajaan di lobi Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Mohd. Khamil Jamil (kanan). - BERNAMA
PUTRAJAYA 11 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan.

Proton Perdana berwajah baharu itu menampilkan dua varian iaitu Perdana 2.0 L dan 2.4 L dengan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan.

Dua unit edisi khas Proton Perdana berwajah baharu turut dikeluarkan untuk Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam majlis itu, Najib juga menerima kenderaan rasmi beliau dengan plat nombor W 11 N.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil dan menteri-menteri Kabinet.

Sebanyak 200 unit pertama Proton Perdana baharu akan diserahkan kepada kerajaan setiap bulan. - BERNAMA

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131212/dn_02/Versi-baharu-Perdana-dilancar#ixzz2nC2lucun © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 3 Disember 2013

Tun Abdul Ghafar bin Baba

Biodata Ghafar Baba
Tun Abdul Ghafar bin Baba (18 Februari 1925 - 23 April 2006) merupakan Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Abdul Ghafar bin Baba mula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 10 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993. Kehadiran beliau dilihat sebagai tokoh penstabil politik Malaysia, ikon 'tokoh politik kampungan' yang berjiwa Melayu tulen

Kehidupan awal
Beliau dilahirkan pada 18 Februari 1925 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.Adik-beradiknya seramai 10 orang dan beliau menjaja ubi kayu di Melaka untuk menambah pendapatan keluarga. Ketika usia 14 tahun beliau menjadi pemungut bola golf dan bola tenis golongan atasan seperti Yang di-Pertuan Agong pertama, Tunku Abdul Rahman. Ketika umur 34 tahun beliau menjadi Ketua Menteri Melaka dan duduk semeja dengan Tunku Abdul Rahman apabila menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.

Pendidikan
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Pilah (1931 - 1936) dan dan Sekolah Melayu Tangga Batu (1937 - 1940), Melaka. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris), Tanjung Malim (1946 - 1949). Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru (1949 - 1955) sebelum beralih sepenuhnya kepada kerjaya politik (1955 - 2004).

Keluarga
Beliau berkahwin dengan Allahyarhamah Toh Puan Hajjah Asmah binti Alang dan kemudian berkahwin dengan Dayang Heryati binti Abdul Rahim pada tahun 1992, tetapi bercerai pada tahun 2003. Beliau dikurniakan 11 orang anak. Antaranya ialah bekas ahli parlimen Batu Berendam , Dato Tamrin Abdul Ghafar dan anak bungsu Kartika Sri. Tiga anaknya telah meninggal dunia.

Politik
Tun Ghafar Baba mula mengorak langkah untuk memperjuangkan nasib bangsa dan negara Malaysia, apabila melibatkan diri dalam politik pada tahun 1940 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Melaka ketika berusia 15 tahun. Kemudian aktif dalam PKMM sejak 1945 hingga 1948.

Pada 1955 Tun Ghafar menyertai UMNO di Melaka. Kira-kira 11 tahun kemudian, bintang politik beliau semakin terserlah apabila memegang beberapa jawatan seperti Setiausaha UMNO Melaka, Pengerusi UMNO Melaka, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Presiden UMNO (1962-1987), Ketua Perhubungan UMNO Sabah (1991) , Pengerusi BN Sabah (1992), dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (1974-1993).

Beliau mula terbabit secara sepenuh masa dalam politik dengan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Melaka Luar pada pilihan raya umum pertama 1955. Kawasan pilihan raya terakhir yang diwakilinya ialah kawasan Parlimen Batu Berendam di Melaka yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1999. Beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka atau Ahli Parlimen Jasin selama 49 tahun berturut-turut, menerusi 11 pilihan raya umum sejak 1955 hingga 1999.

Beliau merupakan antara kepimpinan UMNO yang telah berkhidmat di bawah 3 Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir. Beliau keluar kabinet selama 10 tahun apabila Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Apabila Tun Dr. Mahathir dilantik Perdana Menteri beliau masih berada di luar kerajaan dan hanya masuk kembali pada tahun 1986 apabila Tun Musa Hitam meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

MARA
Ghafar Baba pernah menjadi pengerusi MARA yang pertama dari 1 September 1967 hingga 31 Oktober 1971 bagi meninggikan martabat ekonomi orang Melayu. Beliau juga merupakan pengasas Kolej MARA (1972),Institut Kemahiran Mara, Yayasan Pelajaran Mara dan ITM yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Bhd dan Kompleks Kewangan selama 10 tahun bermula 1 September 1976 hingga 1986 apabila dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Masalah kepimpinan MCA
Ghafar merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang diberi kepercayaan menerajui MCA sebagai pemangku Presiden MCA selama 10 bulan ketika parti berasaskan kaum Cina itu dilanda krisis akibat perebutan kuasa antara presidennya ketika itu, Tan Koon Swan dan bekas presiden Tan Sri Dr Neo Yee Pan.

Ketua Menteri Melaka
Seawal 1959 Tun Ghafar menolak tawaran jawatan Ketua Menteri Melaka sehingga memaksa Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mengancam untuk membiarkan negeri itu tanpa Ketua Menteri. Ghafar akhirnya akur dengan kehendak Tunku dan memegang jawatan itu selama lapan (1959-1967) tahun.

Menolak jawatan Menteri
Pada 1974 Tun Ghafar meninggalkan kabinet pimpinan Perdana Menteri Tun Hussein Onn . Pada 1981 menolak jawatan Menteri Pelajaran yang ditawarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara jawatan yang disandangnya ialah Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Pada 1989 Tun Ghafar memangku jawatan Perdana Menteri semasa Dr. Mahathir menjalani pembedahan jantung.

Timbalan Perdana Menteri
Dalam pemilihan Perhimpunan Agung UMNO 1987, beliau berjaya mengalahkan Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO dengan majoriti tipis, 40 undi.

Encik Ghafar Baba dilantik oleh Dr Mahathir Mohamad menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia selepas Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 1987.

Pada 1993 Tun Ghafar berundur daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri apabila kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dicabar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tujuannya bagi mengelak perpecahan dalam parti dan mempertahankan kestabilan negara. Surat perletakan jawatan ditulis pada kertas Penerbangan Malaysia di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Subang untuk berlepas ke Korea Selatan bagi tugas rasmi.


Jawatan
Setiausaha Kesatuan guru - guru 1949 - 1951,
Setiausaha UMNO Melaka 1951 - 1955
Pengerusi UMNO Melaka 1955 - 1973
Ketua Menteri Melaka 1959 - 1967
Ahli Majlis Tertinggi UMNO 1957 - 1993
Ketua Penerangan UMNO 1958 - 1962
Naib Presiden UMNO 1962 - 1987
Presiden de facto MCA pada tahun 1985 (MCA mengalami krisis kepimpinan pada 1985 dan 1986)
Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri 1986 - 1993

Penghargaan
Tun Ghafar Baba enggan menerima sebarang gelaran datuk atau pingat daripada mana-mana sultan . Tambahan pula Melaka tidak mempunyai sultan atau raja kecuali Yang diPertua Negeri Melaka. Sehingga akhir hayatnya beliau dipanggil Encik Ghafar sahaja. Beliau menerima gelaran Tun selepas bersara sepenuhnya daripada politik.

Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba di Masjid Tanah, Melaka juga dinamakan sempena nama beliau. Nama asal sekolah ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Masjid Tanah. Encik Abdul Ghafar bin Baba selaku Ketua Menteri Melaka telah meletakkan batu asas pada 24 September 1962.
MRSM Jasin ditukar nama kepada MRSM Tun Ghafar Baba pada 27 Julai 2006 selepas beliau meninggal dunia bagi mengenang jasa beliau. Majlis penjenamaan semula itu dilakukan oleh Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
Muzium Tun Abdul Ghafar merupakan rumah asal beliau di Jasin, Melaka.
Enam Felda di Melaka dinamakan semula sempena nama Tun Abdul ghafar iaitu Felda Tun Ghafar Machap, Felda Tun Ghafar Hutan Percha, Felda Tun Ghafar Menggong, Felda Tun Ghafar Kemendor, Felda Tun Ghafar Air Kangkong dan Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu pada 7 April 2007.

Meninggal dunia
Pada 23 April 2006. Beliau meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 7:35 pagi kerana komplikasi jantung, paru-paru dan buah pinggang. Beliau berusia 81 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya. Jenazah beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas isterinya Dayang Heryati binti Abdul Rahim.Sembahyang jenazah diketuai oleh Imam Besar Masjid Negara, Datuk Kamaruddin Zakaria dan pengkebumian diketuai oleh Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Wan Halim Wan Harun.

Tun Abdul Ghafar merupakan negarawan ke-4 disemadikan di bawah kubah Makam Pahlawan selepas Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn . Jenazah lain ialah Tan Sri Syed Jaafar Albar, Allahyarham Tun Syed Nasir Syed Ismail, Allahyarham Tun Sardon Jubir, Allahyarham Tan Sri Mohd Noah Omar dan Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof.

KAPTEN MOHD HALIM KHALID-PGB