Oleh Meja Sukan
30 Jun 2021, 11:45 am
CUIABA, BRAZIL: Ikon Argentina, Lionel Messi menjadi pemain terbanyak membuat penampilan buat negaranya ketika dia memimpin pasukannya untuk menang mudah 4-1 ke atas Bolivia dalam perlawanan kelima Kumpulan A, Copa America 2021 di Arena Pantanal, semalam.
Penampilan ke-148 itu menjadikan pemain berusia 34 tahun itu mendahului bekas kapten, Javier Mascherano yang juga bermain bersamanya di Barcelona dan mempunyai 147 penampilan buat Argentina.
Messi juga merupakan penjaring gol terbanyak Argentina sepanjang masa dengan 75 gol – melepasi rekod catatan lagenda, Gabriel Batistuta dengan 54 gol pada tahun 2016.
Walaupun cemerlang, penyerang itu bagaimanapun belum pernah memenangi kejohanan antarabangsa utama bersama negaranya, setelah tewas di peringkat akhir Piala Dunia 2014 dan edisi Copa America 2007, 2015 serta 2016.
Pemain itu yang mengulangi bahawa salah satu tujuan utamanya adalah untuk memimpin negaranya ke piala antarabangsa, mendapat liputan berita sejak setahun lalu mengenai masa depannya dengan Barcelona berikutan kontraknya sekarang berakhir Jun (hari ini).
“Dalam pasukan ini, hanya ada satu pemain yang mengesahkan tempat di kesebelasan utama dan semua orang tahu siapa dia. Selebihnya harus mendapatkannya.
“Bagi kami, adalah penting agar tidak ada yang santai dan mereka terus menunjukkan peningkatan permainan demi perlawanan. Mereka sangat mengetahuinya,” kata jurulatih Argentina, Lionel Scaloni.
Dalam perlawanan semalam, Argentina tidak perlu menunggu lama untuk membolosi benteng lawan apabila hantaran lambung Messi kepada Papu Gomez yang melakukan voli mengatasi penjaga gawang, Carlos Lampe untuk menjadikan 1-0 selepas lima minit perlawanan.
Tiga gol lagi menyusul pada minit 33, 41 dan 65. – AGENSI.1
______________________________________________
1https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/messi-cipta-rekod-penampilan-ke-148/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan