Rabu, 30 Jun 2021

Ratusan lembu mati kerana harimau ajar anak memburu

Rosli Ilham

am@hmetro.com.my



RAKAMAN harimau bersama empat anak dirakam melalui kamera Infrared Perhilitan. FOTO ihsan FB Dr Azman Ibrahim

Dungun: Sebanyak 240 ekor lembu milik penternak di Felda Kerteh 4, dekat sini, ditemui mati akibat serangan harimau sejak 2019 hingga 17 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya percaya tindakan harimau itu semata-mata untuk mengajar anak-anaknya memburu.

Menurutnya, sebahagian besar lembu yang ditemui mati terdapat banyak kesan cakaran di kepala, badan dan belakang tetapi tidak dimakan.

"Kamera infrared yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merakam ibu harimau bersama empat anaknya yang berusia sekitar dua tahun.

"Berdasarkan rakaman itu, kita percaya ibu harimau itu hanya mengajar memburu kepada anak-anaknya dan setakat ini tiada laporan haiwan itu menyerang peneroka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Azman berkata, di kawasan Felda Kerteh 4 itu terdapat kira-kira 1,000 ekor lembu membabitkan 60 penternak.

SEBAHAGIAN lembu yang diternak di kawasan Felda Kerteh 4. FOTO Rosli Ilham

"Kita percaya lembu yang diternak secara integrasi dalam ladang menarik kunjungan pak belang ke kawasan itu.

"Kawasan ternakan itu terletak berdekatan dengan hutan dan kita percaya ada berbelas ekor harimau di hutan itu," katanya.

Katanya, kesan daripada serangan harimau itu menyebabkan penternak mengalami kerugian yang besar.

"Saya bersama Perhilitan serta beberapa agensi kerajaan lain sudah mengadakan perjumpaan dengan penternak bagi mencari tindakan penyelesaian.

"Unit khas Perhilitan sudah mengambil langkah memantau kawasan ternakan 24 jam termasuk memasang kamera dan perangkap, "katanya.

Dr Azman berkata, hasil pertemuan dengan penternak terbabit, pihaknya mengambil keputusan mengehadkan kemasukan penduduk ke kawasan itu."Masyarakat luar juga dinasihatkan supaya tidak pergi berkelah ke kawasan air terjun yang terletak berhampiran dengan kawasan itu," katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap semua penternak dapat mengurung ternakan sebelum waktu senja.

"Kerajaan negeri juga bersetuju membantu penternak yang kerugian melalui Tabung Bencana Pertanian," katanya.

Disiarkan pada: Julai 1, 2021 @ 12:04pm.1

___________________________________

1https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/724979/ratusan-lembu-mati-kerana-harimau-ajar-anak-memburu

Kaya hanya 4 hari

 Agensi



WANG yang dimasukkan ke dalam akaun isteri James. FOTO Agensi

Baton Rouge: Seorang wanita di Louisiana menjadi bilionair segera apabila wang berjumlah AS$50 bilion (kira-kira RM207 bilion) dimasukkan secara tidak sengaja di dalam akaunnya.

Ini menjadikan isteri kepada Darren James sebagai individu ke-25 terkaya di dunia namun gelaran itu hanya bertahan selama empat hari.

Lelaki berusia 47 tahun dalam temu bual bersama Fox berkata, dia terkejut apabila mengetahui wang sebanyak itu didepositkan ke dalam akaun isterinya, awal bulan ini.

"Saya amat terkejut apabila isteri menunjukkan baki dalam akaun banknya. Kami menjadi bilionair sekelip mata," katanya.

Menurutnya, dia dan isteri terfikir mengenai pemilik duit berkenaan kerana tidak mengenali sesiapa yang mempunyai wang sebanyak itu.

Dia juga ada terfikir mungkin ini adalah peninggalan bapa saudara yang kaya kepadanya.

Jika benar, ini menjadikan dia sekeluarga berada di kedudukan lebih tinggi daripada bilionair yang juga pengasas Nike iaitu Phil Knight dalam senarai individu terkaya Forbes.

"Perasaan ini sesuatu yang menakjubkan kerana melihat banyak angka sifar di dalam akaun bank," katanya.

Isterinya kemudian menghubungi Chase Bank selepas wang itu terus berada di dalam akaunnya selama empat hari.

"Ia sangat mengujakan walaupun saya tidak dapat berbuat apa-apa dengan wang berkenaan," katanya.

Katanya, dia dan keluarga bagaimanapun sedar bahawa wang berkenaan bukan kepunyaan mereka.

Mereka juga boleh didakwa sebagai pencuri jika menggunakan wang berkenaan.

Dalam pada itu, Chase Bank memaklumkan isu berkenaan sudah selesai dan berlaku disebabkan masalah teknikal sistem.

"Kami menghadapi masalah teknikal minggu lalu menyebabkan beberapa kesilapan berlaku," katanya.

Disiarkan pada: Julai 1, 2021 @ 6:30am.1

___________________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/724873/kaya-hanya-4-hari

Messi cipta rekod penampilan ke-148



Oleh Meja Sukan

30 Jun 2021, 11:45 am

CUIABA, BRAZIL: Ikon Argenti­na, Lionel Messi menjadi pema­in terbanyak membuat penam­pilan buat negaranya ketika dia memimpin pasukannya untuk menang mudah 4-1 ke atas Bolivia dalam perlawanan kelima Kumpulan A, Copa Ame­rica 2021 di Arena Pantanal, sema­lam.

Penampilan ke-148 itu menjadikan pemain berusia 34 tahun itu mendahului bekas kap­ten, Javier Mascherano yang ju­ga bermain bersamanya di Bar­­celona dan mempunyai 147 pe­nampilan buat Argentina.

Messi juga merupakan penjaring gol terbanyak Argentina sepanjang masa dengan 75 gol – melepasi rekod catatan lagenda, Gabriel Batistuta dengan 54 gol pada tahun 2016.

Walaupun cemerlang, penye­rang itu bagaimanapun belum pernah memenangi kejohanan antarabangsa utama bersama ne­­garanya, setelah tewas di pe­ring­kat akhir Piala Dunia 2014 dan edisi Copa America 2007, 2015 serta 2016.

Pemain itu yang meng­ula­ngi bahawa salah satu tujuan utamanya adalah untuk me­mimpin negaranya ke piala antarabangsa, mendapat liputan be­rita sejak setahun lalu menge­nai masa depannya dengan Barcelona berikutan kontraknya sekarang berakhir Jun (hari ini).

Dalam pasukan ini, hanya ada satu pemain yang mengesahkan tempat di kesebelasan utama dan semua orang tahu siapa dia. Selebihnya harus men­­dapatkannya.

Bagi kami, adalah penting agar tidak ada yang santai dan mereka terus menunjukkan pe­ningkatan permainan demi perlawanan. Mereka sangat me­ngetahuinya,” kata jurulatih Argentina, Lionel Scaloni.

Dalam perlawanan semalam, Argentina tidak perlu menunggu lama untuk membolosi benteng lawan apabila hantaran lambung Messi kepada Papu Gomez yang melakukan voli mengatasi penjaga gawang, Carlos Lampe untuk menjadikan 1-0 selepas lima minit perlawanan.

Tiga gol lagi menyusul pada minit 33, 41 dan 65. – AGENSI.1

______________________________________________

1https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/messi-cipta-rekod-penampilan-ke-148/

Isnin, 28 Jun 2021

Messi pintas rekod Mascherano

Agensi



AKSI Messi menjaringkan penalti. FOTO EPA

Cuiabá, Brazil: Lionel Messi meledak dua gol dan membantu satu lagi jaringan ketika membantu Argentina menewaskan Bolivia 4-1 di Copa America pagi ini.

Messi turut mencipta sejarah apabila muncul pemain Argentina paling banyak tampil di pentas antarabangsa dengan 148 kap selepas memintas rekod bekas rakan sepasukan Javier Mascherano.

Di atas padang, Messi mempamerkan magis dengan meledak dua kali untuk menambah jumlah koleksi antarabangsanya kepada 75 gol selain membantu jaringan pembukaan pada aksi terakhir Argentina dalam Kumpulan A.

Messi melorongkan bola kepada Alejandro Gomez yang melakukan voli untuk gol pertama pada awal babak pertama sebelum pemenang enam kali Ballon d'Or itu menjaringkan penalti minit ke-33 dan kemudiannya menewaskan penjaga gol Carlos Lampe dengan melambungkan bola sembilan minit kemudian.

Erwin Saavedra merapatkan jurang untuk Bolivia pada minit ke-60 menerusi rembatan kencang namun Lautaro Martinez kembali melebarkan kedudukan dengan menolak mudah gol keempat Argentina tiga minit kemudian sekali gus mengesahkan mereka selaku juara kumpulan dan akan menentang Ecuador pada suku akhir.

Lagi berita berkaitan Copa America 2021

Disiarkan pada: Jun 29, 2021 @ 10:45am.1

_______________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/724046/messi-pintas-rekod-mascherano

Jumaat, 25 Jun 2021

Lebatnya kurma!

BERNAMA



ZULKIFLI memeriksa buah kurma jenis Ajwa yang hampir masak di kediamannya di Kampung Alor Hijau, Pasir Puteh.

Pasir Puteh: Percubaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selising Zulkifli Ali menanam 10pokok kurma jenis Ajwa sejak empat tahun lalu ternyata berbaloi apabila satu daripada pokok itu mula mengeluarkan hasil.

Lebih menarik, tempoh buah kurma itu dihasilkan sama seperti perkembangan pokok kurma di Madinah, ketika ini.

Bercakap kepada Bernama, Zulkifli, 54, berkata, benih pokok kurma itu dibeli dari Rantau Panjang sebelum disemai sebagai hiasan di halaman rumahnya.

"Pada tahun pertama dan kedua pokok ada mengeluarkan buah namun kesemuanya gugur. Tahun ini hasilnya lebih baik apabila lapan tandan daripada satu pokok kurma sedang berbuah dan sudah hampir boleh dituai.

"Kali ini juga saya mendapati proses pengeluaran buahnya selaras dengan perkembangan pokok kurma di Madinah yang juga sedang mengeluarkan buah dan hampir masak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Alor Hijau di sini, semalam.

Tinjauan mendapati pokok kurma berbuah lebat itu turut menarik perhatian penduduk setempat.

Bercerita lanjut, Zulkifli berkata, berdasarkan pengalamannya, beliau berpendapat pokok kurma boleh dikomersialkan di negara ini jika diberi penjagaan rapi seperti pembajaan yang cukup.

"Cuaca panas terik sangat sesuai bagi membantu proses mengeluarkan buah dan mengekalkan kualiti asalnya yang rangup dan manis.

"Hasil yang diperoleh tahun ini turut menyangkal pendapat bahawa pokok kurma tidak sesuai ditanam di negara ini," katanya.

Zulkifli berkata, apabila boleh dituai nanti, beliau bercadang menyedekahkan buah kurma berkenaan kepada penduduk setempat.

"Selebihnya, saya akan menyemainya untuk dijadikan benih bagi memperluaskan tanaman itu, terutama kepada penduduk di sekitar," katanya.

Disiarkan pada: Jun 26, 2021 @ 7:01am.1

_____________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/utama/2021/06/722759/lebatnya-kurma

Tupai berkelah dengan burung



Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA

25 Jun 2021, 12:12 pm

LONDON: Bukan sahaja manusia yang rindukan suasana bersantai dan berkelah seperti biasa tanpa dibimbangi pandemik Covid-19, haiwan juga merupakan penduduk dunia yang berhak mengecapi nikmat itu.

Namun, sekiranya golongan haiwan berkelah pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat, sudah pasti mereka bebas daripada sebarang pendakwaan mahupun hukuman akibat melanggar perintah sekatan pergerakan.

Sebuah gambar yang memaparkan seekor tupai dan burung sedang berkelah sambil menikmati kacang di atas kerusi kayu yang dilitupi salji menjadi tular dalam media sosial.

Perkongsian gambar dalam Twitter itu mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya.

Seorang pengguna berkata gambar tersebut sangat menakjubkan, sementara komen lain menyifatkan haiwan itu sangat comel.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan lokasi gambar itu dirakamkan. -AGENSI.1

_________________________________________________

1https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/06/tupai-berkelah-dengan-burung/

Khamis, 24 Jun 2021

Planet ‘comel’ dekati Bumi pada 2031

 DUNIA LENSA DUNIA TERKINI



Kali terakhir 2014 UN271 berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi adalah pada 612,190 tahun lalu. - NASA

Planet ‘comel’ dekati Bumi pada 2031

Oleh KOSMO!

23 Jun 2021, 6:30 pm

WASHINGTON – Sebuah planet minatur yang mengorbit setiap 600,000 tahun akan mendekati Bumi buat pertama kalinya dalam masa terdekat, lapor akhbar New York Post semalam.

Batu angkasa 2014 UN271 itu telah memasuki sistem suria dalaman dan akan mencapai titik terdekatnya dengan Bumi pada tahun 2031.

Badan cakerawala itu terlalu besar untuk disifatkan sebagai komet dan terlalu kecil untuk dianggap sebagai planet, menjadikan ia sangat eksentrik.

Objek tersebut sudah semakin hampir dengan matahari berbanding planet Neptun dan dalam masa sedekad, ia akan berada pada kedudukan yang sama seperti Saturn.

Kali terakhir 2014 UN271 berada begitu hampir dengan Bumi adalah 612,190 tahun lalu. Semenjak itu, ia menghabiskan waktu mengorbit Oort Cloud iaitu bahagian luar sistem solar.

Batu ruang angkasa itu dianggarkan hanya seluas 99 hingga 370 kilometer namun ukurannya dilaporkan lebih besar berbanding objek yang direkodkan di Oort Cloud.

Itu meletakkannya pada skala yang sama, jika tidak lebih besar daripada komet besar Sarabat C / 1729 P1 dan hampir pasti ia merupakan objek Oort Cloud terbesar yang pernah ditemui,” kata ahli astronomi, Sam Deen dalam satu hantaran di forum Senarai Mel Minor Planet (MPML).Dalam senario terbaik bagi ahli astronomi amatur, UN271 2014 akan menjadi terang seperti Pluto ketika menghampiri Bumi, sebelum kembali bergelap yang sejuk di pinggir luar sistem suria.

Jarak perjalanan pergi dan balik adalah 60.000 AU dan satu AU sama dengan jarak antara Bumi dan matahari iaitu 93 juta batu. -Agensi.1

_____________________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/06/23/planet-comel-dekati-bumi-pada-2031/

Nelayan jutawan sekelip mata selepas jumpa muntah paus

  DUNIA RAGAM GLOBAL



KANAK-KANAK melihat bangkai seekor paus sperma seberat sekitar 10 tan di sebuah pantai di Indonesia pada 18 Jun 2018. - AFP

Nelayan jutawan sekelip mata selepas jumpa muntah paus

Oleh WAN AZHAR WAN ABDULLAH

22 Jun 2021, 11:47 am

SANAA, Yemen – Sekumpulan nelayan di Yemen menjadi jutawan sekelip mata selepas mereka terjumpa bangkai seekor paus sperma semasa keluar menangkap ikan di tengah laut, baru-baru ini.

Mereka membelah perut bangkai paus tersebut dan menemui ambergris atau muntah paus seberat 127 kilogram. Bahan yang ditemui dalam perut paus itu amat berharga dan digunakan untuk menghasilkan minyak wangi.

Kumpulan nelayan itu menjual muntah paus tersebut kepada seorang ahli perniagaan Emiriyah Arab Bersatu pada harga AS$1.5 juta (RM6.2 juta) sekali gus jumlah yang amat besar kepada penduduk Yemen.

Kami mendapat banyak manfaat daripada muntah paus itu. Sesetengah kami menggunakan hasil jualan itu untuk membeli bot atau rumah,” kata seorang nelayan itu.

Bangkai paus itu ditemui oleh Fares Abdulhakeem dan 35 nelayan lain di perairan bandar Aden pada Februari lalu.

Sebahagian wang itu didermakan bagi membantu komuniti tempatan, manakala bakinya dibahagikan sesama mereka

Saya keluar menangkap ikan setiap hari dan pada hari tersebut kami menemui seekor paus mati. Bangkai haiwan itu sarat dengan ambergris

Hidup kami berubah selepas itu,” katanya.

Nelayan di Yemen mengetahui tentang kewujudan ambergris sejak dahulu lagi.

Kehidupan di Yemen adalah sukar di mana berjuta-juta orang kini diambang kebuluran disebabkan oleh perang saudara antara kerajaan yang disokong Arab Saudi dan pemberontak Houthi. – AFP .1

__________________________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/06/22/nelayan-jutawan-sekelip-mata-selepas-jumpa-muntah-paus/?utm_source=dable