BERNAMA
Mimbar di Masjid Losong Haji Mohd di sini berusia 211 tahun dengan motif Bunga Teratai pada gunungan mimbar dihasilkan oleh pengukir yang tersohor pada era tersebut. FOTO BERNAMA
Kuala Terengganu: Terletak kira-kira enam kilometer dari pusat bandar raya Kuala Terengganu, Masjid Losong Haji Mohd di sini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana di dalamnya terdapat sebuah mimbar yang masih utuh berdiri walaupun sudah berusia 211 tahun.
Ketua Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Dr Harleny Abd Arif berkata, berdasarkan kandungan inskripsi terdapat pada bahagian gunungan mimbar tersebut, ia dibina pada 1810 Masihi.
"Apa yang uniknya, pada gunungan mimbar tersebut terdapat ukiran angka 1225 Hijrah, tersembunyi di sebalik inskripsi seni khat Thuluth yang disusun secara bertindan. Ia diukir di dalam ruangan yang berbentuk seakan pohon budi. Apabila ditukar kepada tahun masihi ia bersamaan dengan 1810 Masihi yang dikenal pasti sebagai tahun pembuatan mimbar tersebut.
"Selain itu, pada ruangan berbentuk pohon budi itu juga terdapat kandungan inskripsi yang tertera perkataan 'Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam'," katanya kepada Bernama di Masjid Losong Haji Mohd di Kampung Losong Haji Mohd di sini.
Dr Harleny berkata, walaupun tidak tertera nama pengukir pada inskripsi tersebut, berdasarkan pengamatannya pada motif ukiran mimbar berketinggian lebih tiga meter itu ia dihasilkan oleh pengukir yang tersohor pada era tersebut.
Hal ini kerana, katanya, motif bunga teratai pada gunungan mimbar di Masjid Losong Haji Mohd turut mempunyai persamaan dengan olahan motif pada bahagian puncak panel gunungan pada bahagian gerbang dan pintu masuk Makam Tok Pelam di Kampung Ladang Titian di sini.
"Sheikh Abdullah Abdul Aziz atau dikenali sebagai Tok Pelam meninggal dunia pada 1819 dan dikebumikan di makam berkenaan. Jurang sembilan tahun antara pembuatan mimbar di Masjid Losong Haji Mohd dengan ukiran di Makam Tok Pelam ini meyakinkan saya bahawa kedua-dua khazanah yang mempunyai nilai sejarah tersebut dihasilkan oleh pengukir yang sama atau daripada pengukir sealiran lebih 200 tahun lalu.
"Sekiranya ia dihasilkan oleh pengukir yang sama, ini menggambarkan pengukir mimbar tersebut bukanlah calang-calang pengukir kerana beliau juga diberi kepercayaan membuat ukiran pada makam Tok Pelam iaitu seorang tokoh ulama yang sangat terkemuka," katanya.
Mimbar di Masjid Losong Haji Mohd di sini tertera angka 1225 Hijrah bersamaan 1810 Masihi itu tersembunyi di sebalik inskripsi seni khat Thuluth yang disusun secara bertindan, diukir di dalam ruangan yang berbentuk seakan pohon budi. FOTO BERNAMA
Mimbar di Masjid Losong Haji Mohd di sini tertera angka 1225 Hijrah bersamaan 1810 Masihi itu tersembunyi di sebalik inskripsi seni khat Thuluth yang disusun secara bertindan, diukir di dalam ruangan yang berbentuk seakan pohon budi. FOTO BERNAMA
Selain itu, Dr Harleny berkata, motif bunga teratai dan motif Langkasuka yang terdapat pada gunungan mimbar berkenaan turut ditemukan dalam ragam hias mimbar atau sejumlah artifak di Indonesia.
"Antaranya ialah pada gunungan mihrab Masjid Agung Sang Cipta Rasa atau dikenali sebagai Masjid Agung Cirebon di Jawa Barat, sejumlah gunungan mimbar tua di Acheh dan rehal yang menjadi alas mushaf al-Quran tulisan tangan milik seorang guru agama, Abdurrahman Stambul di Masjid Raya Sultan Riau Penyengat di Kepulauan Riau," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, rata-rata identiti mimbar di Tanah Melayu termasuk mimbar di Masjid Losong Haji Mohd mempunyai sulur di sisi kiri dan kanan pada bahagian gunungannya yang bersamaan dengan rata-rata reka bentuk gunungan di Alam Melayu.
Identiti tersebut turut ditemukan antaranya pada mimbar Masjid Agung Demak di Jawa Tengah, mimbar Masjid Tua Katangka di Gowa, Sulawesi Selatan dan mimbar Masjid Tgk Di Pucok Krueng di Pidie, Acheh.
Dr Harleny yang berpengalaman selama 12 tahun dalam bidang kajian ragam hias mihrab dan mimbar berkata, mimbar yang dipasang secara pasak dan diletakkan di atas binaan konkrit itu diukir menggunakan teknik Tebuk Tembus Bersilat dan teknik Tebuk Timbul Bersilat pada bahagian gunungan yang menyerlahkan lagi keindahannya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Losong Haji Mohd, Mohd Muda berkata, mimbar yang kini dicat warna keemasan itu pada suatu ketika dahulu terletak di tapak masjid yang lama iaitu kira-kira 50 meter dari masjid yang sedia ada kini.
"Apa yang saya tahu, masjid baharu ini dibina sekitar penghujung 1890-an dan apabila pembinaannya siap mimbar tersebut dibawa dan diletakkan di dalam masjid ini," katanya yang berasa bangga dengan mimbar yang sangat unik dan bersejarah itu.
Mohd berkata, ahli jawatankuasa masjid sentiasa berusaha menjaga mimbar itu antaranya dengan mengecat setiap dua atau tiga tahun sekali supaya keindahannya sentiasa terpelihara.
SUMBER-Disiarkan pada: April 22, 2021 @ 7:01am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan