Khamis, 25 Februari 2021

WARISAN ARKEOLOGI LENGGONG

MyMetroSantai

Zaitie Satibi

zaisa@hmetro.com.my



MUNGKIN ramai terutama generasi muda masih kurang tahu Lembah Lenggong yang terletak di Hulu Perak, Perak ini sebenarnya memiliki banyak tinggalan sejarah awal penempatan dan ketamadunan manusia.

Penempatan kira-kira 80 kilometer (km) dari bandar raya Ipoh ini mula mendapat perhatian masyarakat berikutan penemuan rangka manusia tertua di Malaysia dikenali sebagai Orang Perak. Tulang rangka Orang Perak berusia antara 10,000 hingga 11,000 tahun ini ditemui di dalam Gua Gunung Runtuh terletak di Bukit Kepala Gajah pada 1991.

Penemuan bersejarah dan turut menggemparkan dunia arkeologi ini adalah hasil penyelidikan yang dibuat Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia (MARC) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia.

PENGUNJUNG mencuba pengalaman ekskavasi

Perak Man adalah rangka tulang manusia dari zaman batu era Paleolitik hampir sempurna yang ditemui di Asia Tenggara dan juga tulang prasejarah yang mempunyai kecacatan sejak lahir. Selain Perak Man, banyak lagi kawasan di Lembah Lenggong yang kaya dengan gua dan bukit batu kapur menjadi tapak penemuan artifak penting.

Banyak bukti prasejarah hasil kajian dilakukan di Lembah Lenggong sejak 30 tahun lalu itu membolehkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mewartakan warisan arkeologi ditemui sebagai satu daripada Tapak Warisan Dunia pada 30 Jun 2012.

Ia satu pengiktirafan yang mengukir Malaysia dalam peta arkeologi dan pelancongan dunia. Malah, penyenaraian itu juga menjadikan kawasan berkenaan sebagai Tapak Warisan Dunia ke-953 dan Tapak Warisan Dunia keempat di negara ini.

Bagi meraikan sambutan ulang tahun Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama kerajaan negeri menganjurkan Karnival Lenggong pada setiap tahun yang padat dengan aktiviti kesenian dan kebudayaan membabitkan masyarakat setempat.

Antara objektif program adalah mempromosikan kepentingan dan keunikan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong secara berterusan, mempertingkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan pemeliharaan serta pemuliharaan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong kepada masyarakat umum.

Ini termasuk memberi gambaran kepada UNESCO berkenaan peranan yang dimainkan kerajaan pusat dalam penjagaan Tapak Warisan Dunia ini sekali gus mengangkat Warisan Arkeologi Lembah Lenggong sebagai produk pelancongan warisan utama negara.

DEBU gunung berapi Toba yang diterbangkan angin hingga Lembah Lenggong.

Baru-baru ini, penulis bersama rombongan media dan agensi pelancongan dibawa menyertai Kembara Warisan Arkeologi Lenggong oleh Tourism Perak bagi menyaksikan sendiri tinggalan artifak bersejarah. Antara lokasi dilawati adalah Gua Kajang, Bukit Jawa, Bukit Sapi, Bukit Bunuh dan Galeri Arkeologi Lembah Lenggong.

Destinasi pertama kami Gua Kajang terletak dalam kompleks batu kapur Bukit Kepala Gajah dan ia adalah gua pertama yang dijalankan proses ekskavasi di negara ini. Dalam kajian ekskavasi itu ditemui pecahan tembikar, alat batu, sisa makanan dan rangka manusia.

Kajian seterusnya dijalankan USM mendapati Gua Kajang digunakan sejak 5,000 hingga 11,000 tahun lalu sebagai penempatan dan kawasan pengebumian membabitkan zaman Paleolitik dan Neolitik.

Lokasi seterusnya, kami dibawa ke Bukit Jawa yang berusia sekitar 100,000 hingga 200,000 tahun. Bukit ini adalah tapak terbuka yang mendedahkan bukti kebudayaan Paleolitik pernah berlaku dan ia ditemui dalam kajian USM pada 1996.

Berdasarkan keterangan, Bukit Jawa adalah bandar pelabuhan disebabkan bukti kajian menyatakan kawasan ini termasuk dalam Sungai Perak sehingga menjadi tumpuan kapal-kapal untuk berlabuh. Bagaimanapun, kesan letusan gunung berapi Toba di Indonesia yang amat dahsyat turut menjejaskan Lembah Lenggong.

Selain itu, Bukit Jawa turut dikesan sebagai kawasan bengkel alat batu apabila masyarakat pada ketika itu menggunakan batu pelandas, batu teras dan batu pemukul untuk membuat alat pebel dan alat repehan.

RANGKA Orang Perak berusi 11,000 tahun di galeri arkeologi.

Kami kemudian dibawa ke Bukit Sapi iaitu lokasi longgokan debu larva gunung berapi Toba yang meletus 75,000 tahun lalu. Debu ini direkodkan di lembah Sungai Perak dan taburannya di Lembah Lenggong setebal tujuh hingga 10 meter.

Berikutnya rombongan dibawa ke kawasan ladang kelapa sawit di Bukit Bunuh. Ia adalah lokasi batu meteorit terhempas dan menghentam Lenggong kira-kira 183 juta tahun lampau. Ia dibuktikan menerusi penemuan batu suevit di sekitar kawasan berkenaan sekaligus menjadikan Bukit Bunuh satu daripada 28 tapak impak meteorit dun

ANTARA artifak dipamerkan galeri arkeologi.

Lokasi terakhir kami adalah Galeri Arkeologi Lembah Lenggong yang ditubuhkan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Iamempamerkan semua artifak dan maklumat daripada ekskavasi arkeologi prasejarah yang ditemui khususnya tumpuan kepada sekitar Lembah Lenggong dalam bentuk medium yang menarik dan berinformatif.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 12:07 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan