MyMetroUtama
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sekumpulan saintis Universiti Malaya (UM) menemui fosil gajah purba Stegodon pertama di dalam negara dengan anggaran kasar usia geologi antara 30,000 hingga 80,000 tahun di dalam sebuah gua batu kapur terletak di Gopeng, Perak.
Fosil itu ditemui hasil penyelidikan diketuai oleh saintis dari Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Dr Ros Fatihah Muhammad bersama Lim Tze Tshen, ahli paleontologi vertebrat dan zooarkeologi dari Persatuan Paleontologi Malaysia.IHSAN UM
Tambahnya, proses pengimejan dilakukan dua pakar gigi dari Fakulti Pergigian UM iaitu Prof Madya Dr Norliza Ibrahim dan Dr Mohd Azmi Abdul Razak mendapati fosil ditemui itu berkemungkinan Stegodon.
"Diharap, kawasan penemuan diwartakan oleh kerajaan negeri supaya dilindungi daripada pencerobohan dan boleh dicadangkan sebagai satu geotapak baru Geopark Lembah Kinta.
"Di samping jenis haiwan yang masih hidup, ada bukti dari lokasi penemuan Stegodon dan tapak paleontologi lain yang menunjukkan tinggalan haiwan yang sudah pupus pernah wujud di Semenanjung Malaysia seperti Orang Utan, badak sumbu Sumatera, badak raya Java, beruang hitam Asia dan satu spesies tikus kuno yang sudah lama pupus dari seluruh dunia.
Menurut Dr Ros Fatihah, penemuan itu hasil maklumat kumpulan peneroka gua, Kinta Valley Watch selain tinjauan serta kajian pasukan penyelidik.
"Kajian setakat ini menunjukkan tinggalan hidupan ini tidak berasosiasi dengan manusia purba.
"Namun amat penting dalam kajian berkaitan sejarah migrasi fauna kuno dan juga perubahan alam sekitar di rantau Asia Tenggara," katanya.
Menurut Dr Ros Fatihah, Stegodon merupakan salah satu genus Proboscidea daripada famili Stegodontidae yang sudah lama pupus.
Katanya, gajah purba itu berbeza dengan spesies moden Asia (Elephas maximus) yang masih wujud di Malaysia dari segi morfologi, ekologi dan taksonomi.
"Tiada penemuan fosil Stegodon di Malaysia sehingga kini. Justeru, perkara ini amat penting dari segi biogeografi dengan implikasi terhadap pembinaan semula sejarah laluan migrasi biota zaman Pleistosen, termasuk manusia.
"Perak mempunyai kepelbagaian spesimen dan spesies Proboscidea yang paling tinggi di Malaysia, iaitu sekurang-kurangnya dua atau tiga jenis Proboscidea yang berlainan pernah hidup di Semenanjung Malaysia seperti Stegodon sp, Elephas maximus dan berkemungkinan juga Palaeoloxodon namadicus.
"Fosil dikenal pasti sebagai Stegodon oleh Lim Tze Tshen dan juga hasil dari perkongsian pakar dari seluruh dunia iaitu antaranya 5th Earl of Cranbrook, Datuk Seri Gathorne Gathorne-Hardy dari Natural History Museum (London), Dr John de Vos dari Naturalis Biodiversity Center (Leiden), Dr Gert van den Bergh dari Universitin Wollongong, Australia, dan Dr Gerrell Drawhorn dari Universiti California (Sacramento), Amerika Syarikat," katanya.
FOSIL Stegodon yang ditemui saintis UM di dalam sebuah gua batu kapur di Gopeng. FOTO IHSAN UM
"Dengan kesedaran awam tentang pentingnya memelihara bukit batu kapur daripada ancaman pengkuarian dan penemuan fosil ini sebab kukuh untuk pemeliharaan berterusan," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UM, Datuk Abdul Rahim Hashim merakamkan ucapan tahniah kepada penyelidik yang menemui fosil itu dan berterima kasih kepada semua pihak terbabit.
PROSES mengeluarkan fosil gigi Stegodon daripada dinding gua. FOTO IHSAN UM
"Penemuan fosil ini satu tonggak sejarah dalam bidang kajian paleontologi kuaterner di Malaysia.
"Setakat ini, hanya ada dua sarjana kedoktoran dianugerahkan dalam bidang ini iaitu yang pertama berkenaan fosil dan paleo-ekologi mamalia besar manakala satu lagi berkenaan fosil dan paleo-ekologi tikus.
"Selain itu, beberapa penerbitan dihasilkan mengenai penemuan tapak fosil mamalia baru yang berpotensi tinggi di Semenanjung Malaysia dan penentuan umur geologi tapak lama dengan menggunakan kaedah yang terkini.
"Syabas dan tahniah saya ucap kepada Dr. Ros Fatihah dan pasukan beliau yang berjaya membuka lembaran baru bidang kajian ini.
"Setinggi-tinggi penghargaan juga diucap kepada Pejabat Menteri Besar Negeri Perak, Jabatan Mineral dan Geosains Perak dan Perbadanan Taman Negeri Perak kerana memberikan kerjasama bagi menjalankan kajian lanjutan di tapak penyelidikan," katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 6:40 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan