Rabu, 22 Mei 2019

Kehilangan besar negara - Azzuddin

 KENDERAAN yang membawa jenazah Allahyarham Sultan Ahmad Shah beredar
KENDERAAN yang membawa jenazah Allahyarham Sultan Ahmad Shah beredar dari Institut Jantung Negara (IJN) ke Istana Negara di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Fadhilul Izmel Ishak

22 Mei 2019 11:20 AM

KUALA LUMPUR 22 Mei - Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Azzuddin Ahmad menyifatkan kemangkatan Sultan Ahmad Shah sebagai kehilangan besar dalam bola sepak negara.

Sultan Ahmad Shah mangkat pada pukul 8.50 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.


Mendengar berita kemangkatan baginda, Azzuddin tidak dapat menyembunyikan rasa sedih memandangkan beliau mempunyai hubungan yang rapat bersama Sultan Ahmad.

“Saya berasa amat sedih di atas kemangkatan baginda, di atas jasa baginda terhadap bola sepak Malaysia. Sepanjang berada di bawah bimbingan tuanku, baginda merupakan seorang yang tegas dan berhati mulia.

“Baginda juga amat menitikberatkan kebajikan serta kemajuan dalam bola sepak negara,” kata Azzuddin.

Azzuddin berkhidmat sebagai Setiausaha Agung FAM dari 2007 hingga 2013 dan kemudiannya menggalas jawatan baharu sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean berkuatkuasa 1 Jun 2013 hingga 2019. – SUMBER UTUSAN ONLINE 22 Mei 2019 11:20 AM

Khamis, 2 Mei 2019

'Selepas malam ini tiada lagi soalan'


 ABU HASSAN DIN AL-HAFIZ (tengah) bergambar dengan ahli jawatankuasa
ABU HASSAN DIN AL-HAFIZ (tengah) bergambar dengan ahli jawatankuasa surau selepas menyampaikan kuliah di Surau An-Nur Fasa 3 Bandar Seremban Selatan di Seremban malam tadi. - UTUSAN ONLINE/FB SURAU AN-NUR
Nazarudin Shahari

01 Mei 2019 1:43 PM

SEREMBAN 1 Mei - 'Selepas malam ini tiada lagi soalan' adalah ungkapan terakhir yang menjadi kenangan dalam kalangan 150 jemaah Surau An-Nur Fasa 3 Bandar Seremban Selatan dekat sini malam tadi.

Mereka sebelum itu mendengar kuliah bertajuk 'Di Ambang Ramadan' oleh almarhum pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, 72, yang datang ke surau berkenaan.


Pada akhir kuliah itu, Allahyarham telah meminta para jemaah surau itu mengajukan soalan kepadanya dan melafazkan ungkapan itu selepas tiada lagi pertanyaan dan menutup kuliahnya dengan bacaan doa.

Setiausaha surau itu, Allaudin Shah Maidin Syed berkata, Allahyarham tiba di surau berkenaan kira-kira pukul 8 malam dan menyampaikan kuliah sehingga pukul 9.30 malam.

Katanya, Allahyarham hanya mengadu mengenai kesesakan jalan raya yang terpaksa ditempuhnya selama dua jam dari Kuala Lumpur ke sini sehingga menyebabkan beliau lewat tiba.

"Kami semua mendengar kuliahnya yang sememangnya sentiasa menarik minat kepada sesiapa pun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, tiada yang aneh mengenai kuliah Allahyarham atau semasa para jemaah menemuinya dalam jamuan makan yang dihidangkan oleh surau selepas majlis tersebut.

"Allahyarham memberitahu beliau sudah lama tidak makan nasi dan hanya makan kuih.

"Kami bersalaman dengan beliau sebelum Allahyarham menaiki kereta untuk pulang," ujarnya.

Allaudin Shah memberitahu, para jemaah berasa terkejut dan sedih apabila mendengar berita pagi ini mengenai kematian Abu Hassan. - UTUSAN ONLINE 01 Mei 2019 1:43 PM