SABTU, 28 MAC 2015 @ 12:02 AM
Oleh Khairul Azran Hussin Dan Suzaini Sulaiman-khaiazr@bh.com.my
KUALA SELANGOR: "Apa sudah jadi dengan Bukit Malawati? Sedih hati saya melihat tempat yang asalnya sangat cantik, tetapi kini suasananya seolah-olah 'sudah mati'," kata Abd Samad Abd Rahim, 63.
Abd Samad yang dahulunya tinggal dan membesar di rumah kakitangan Jabatan Parit dan Tali Air (sekarang Jabatan Pengairan dan Saliran) kira-kira 50 tahun lalu, mengakui terkejut apabila meninjau keadaan di sekeliling bukit itu.
Beliau berkata, pihak bertanggungjawab perlu segera melakukan sesuatu untuk menyelamatkan warisan sejarah itu sebelum ia lenyap ditelan zaman, sekali gus membolehkan ia diwarisi dari generasi akan datang.
Tangga Seratus yang menuju ke puncak Kota Malawati terbiar tanpa penyelenggaraan. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
"Dahulu ramai pelancong barat datang ke sini, tempat yang aman dan menarik untuk pelancong, malangnya ia tidak diselenggara dan tidak dijaga. Contoh rumah rehat, kalau tengok keadaannya, rumah ini hanya sesuai buat penggambaran cerita hantu, bukan untuk pelancong.
"Begitu juga bangunan lama yang mempunyai sejarah unik seperti rumah polis, timbalan pegawai daerah, ..semuanya diabaikan. Tengok kayu rumah ini dicuri sebab kayu untuk bina rumah ini tinggi kualitinya dan sekarang harganya berkali ganda.
"Kalau tengok lokasi muzium permainan, sekarang tidak dibuka lagi. Saya lihat seolah-olah tiada perancangan untuk bangunkan tempat bersejarah ini sehingga menyebabkan ia semakin dilupakan," katanya kepada BH di Bukit Malawati di sini.
Abd Samad juga mengimbau pelbagai kisah pelik dan misteri yang berkait dengan Bukit Malawati, termasuk penemuan seekor buaya putih di muara sungai Kuala Selangor dan jelmaan seekor harimau di atas bukit berkenaan.
Bekas penduduk Bukit Malawati, Abd Samad Abd Rahim kecewa dengan keadaan bukit itu yang terbiar seolah-olah sudah mati dengan pelbagai monumen sejarah tidak mendapat penyelenggaraan sewajarnya. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
"Cerita buaya putih ini disampaikan oleh Datuk Ibrahim Ismail, iaitu Datuk Penggawa kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, yang juga Orang Besar Daerah Kuala Selangor kepada bapa saya. Datuk Penggawa cakap buaya ini adalah penunggu sungai.
"Ada juga kisah sekumpulan pemuda yang sedang berlatih silat dikejutkan dengan kilat menyambar, sebelum menjelma seekor harimau berhampiran mereka," katanya.
Sementara itu, sumber berkata, kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan kira-kira RM250,000 kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) bagi tujuan pemuliharaan warisan sejarah di pusat pelancongan itu pada 2010, namun tidak pasti apa jadi dengannya.
Abd Samad menunjukkan bekas tapak perumahan dan kawasan sekitar Bukit Malawati yang terbiar seperti sudah dilupakan. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
"Ke mana hilangnya peruntukan ini. Setahu saya sudah diluluskan, tetapi kerja baik pulih tiada. Masyarakat hanya salahkan pihak muzium Kuala Selangor, tetapi mereka tidak tahu muzium tiada peruntukan untuk selenggara warisan sejarah ini, sebab itu banyak yang uzur.
"Masyarakat tidak boleh salahkan pihak muzium, kena tanya juga Majlis Daerah Kuala Selangor," katanya.
Pengurus Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi ketika dihubungi BH, berkata beliau akan meninjau sendiri tempat bersejarah itu dalam tempoh terdekat, termasuk akan mengambil tindakan segera jika keadaan memerlukan.
Replika meriam dan harimau jadian dikhabarkan menjadi penunggu dan mengawal Bukit Malawati daripada ancaman, manakala buaya putih di muara sungai menghalang kemasukan elemen jahat ke Selangor suatu ketika dahulu. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE 28.3.2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan