Kesesatan agama dalam kalangan masyarakat jahiliah mempunyai hubungan rapat dengan ketiadaan petunjuk dan pedoman daripada kitab suci dan rasul pada waktu itu sehingga mereka tunduk kepada kuasa berhala dan menganut agama berhala (wathani).
Di samping agama berhala, terdapat juga
agama-agama lain seperti agama Majusi, Nasrani dan Yahudi yang telah
diselewengkan,tetapi bilangan penganutnya amatlah kecil.Pengaruh asing menjadi
faktor pendorong penyebaran pelbagai agama di Semenanjung Tanah Arab kerana
hubungannya dengan dunia luar melalui perdagangan, hubungan diplomatik dankegiatan-kegiatan
agama. Dua kuasa besar, iaitu Parsi dan Byzantine berlumba-lumba untuk
menyebarkan agama masing-masing. Parsi menyebarkan agama Majusi sementara
Byzantine menyebarkan agama Nasrani.[1]
Walau bagaimanapun, sebahagian besar
kaum Badwi di kawasan tengah Semenanjung Tanah Arab masih menyembah berhala.
Terdapat lima golongan beragama dalam kalangan masyarakat
Arab, iaitu:
(a) menyembah berhala wathani.
(b) menyembah api/Majusi.
(c) Nasrani/Kristian.
(d) Yahudi.
(e) Hanif/Samawi.
Agama menyembah berhala
merupakan agama yang dominan dalam kalangan masyarakat Arab.Orang yang
mula-mula memperkenalkan agama menyembah berhala ialah Umar bin Luai. Berhala
tersebut dibawa dari Syam lalu diletakkan di sekeliling Kaabah dan disembah.
Berhala-berhala yang disembah diperbuat daripada batu, kayu dan logam sama ada
berbentuk asli atau replika. Berhala-berhala itu dibuat daripada pelbagai jenis
seperti dari kayu, batu, gangsa, perak, emas, gandum dan buah tamar. Abdullah
Yusuf Ali dalam The Holy Quran telah membahagikan berhala kepada al-Wad iaitu
berhala menyerupai seorang lelaki. Al-Suwa berhala menyerupai wanita. Patung
ini melambangkan kecantikan wanita. Al-Yaghuth berhala berbentuk singa atau
lembu jantan. Al-Tauq iaitu berhala berbentuk kuda yang melambangkan kekuatan
dan ketangkasan berlari dan al-Nasr iaitu berhala berbentuk burung helang yang
melambangkan ketajaman penglihatan atau pandangan.[2] Pusat agama berhala terletak di kota Makkah.
Pada waktu itu di sekeliling Kaabah terdapat kira-kira 360 buah
berhala.Berhala-berhala yang terkenal di Makkah ialah al-Uzza, al-Latta dan
al-Manat.[3]
Agama Majusi berasal dari Parsi.Mereka
tidak mempunyai kitab dan tidak mengakui nabi yang diutus oleh Allah
SWT.Penganut agama Majusi mempercayai dua tuhan, iaitu tuhan yang baik dan
tuhan Yang jahat.Mereka juga percaya kepada dua konsep api, iaitu api sebagai
penerang dan api sebagai pemusnah. Agama ini terbahagi kepada tiga mazhab yang
besar, iaitu Kayumarthiyah, Zarwaniyah dan Zaradusshitiyah.[4]
Agama Yahudi ialah agama yang dibawa
oleh Nabi Musa a.s. yang diutus kepadanya kitab Taurat.penganut agama Yahudi,
iaitu Bani Israel telah mengubah isi kandungan kitab Taurat dan Allah SWT telah
melaknat mereka. Agama Yahudi yang berasal dari Palestine ini bertapak di Kota
Yathrib atau Madinah apabila masyarakat Palestin memasuki dan mendiami Hijaj
dan Yaman pada masa Raja Zul Nuwas memerintah Yaman. Di Yathrib agama Yahudi
dianuti oleh Bani Nadhir, Bani Qainuqa danQuraizah.[5]
Pengkaji sejarah berpendapat agama
Kristian mula bertapak di kota Mekah pada abad ke-14 M.Agama Nasrani (Kristian)
dibawa oleh Nabi Isa a.s. yang diturunkan kepadanya kitab suci Injil.Kaumnya
juga telah mengubah isi kandungan kitab ini..Agama Nasrani dikembangkan ke
utara Semenanjung Tanah Arab menerusi penduduk Ghassan dan Hirah, di sebelah
selatan pula menerusi penduduk Habsyah pada abad ke-6 M.[6] Agama
Kristian mula bertapak di Kota Mekah apabila kerajaan Rom meluaskan pengaruh
dan kuasanya di Yaman. Agama Kristian pada mulanya dianuti oleh penduduk di
Bahagian Selatan Tanah Arab iaitu Yaman, seperti suku kaum Taghlih, Ghassan dan
Qudhah.[7]
Segelintir orang Arab menganut agama
Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s.. Mereka digelar Hunafa (Muslim) dan
mentauhidkan Allah SWT. Golongan ini tidak mengamalkan mana-mana agama dan
kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat jahiliah. Mereka meninggalkan amalan
tradisi jahiliah seperti minum arak, berjudi, makan bangkai, makan darah dan
sebagainya. Golongan ini menentang agama dan kepercayaan yang dianuti dan
diamalkan oleh masyarakat Jahiliah sebelum Islam.[8]
Kepercayaan animisme
Bentuk kepercayaan masyarakat
jahiliah terbahagi kepada dua, iaitu kepercayaan beragama dan kepercayaan
animisme.Sebahagian masyarakat jahiliah yang tidak beragama mengamalkan
kepercayaan animisme.Antara amalan animisme masyarakat jahiliah ialah memuja
roh, penunggu atau kuasa ghaib, menyembah objek-objek seperti batu atau
pokok-pokok yang besar, api dan sebagainya.
Masyarakat jahiliah juga memuja
matahari, bulan dan bintang kerana menganggap cakerawala mempunyai kuasa dalam
kehidupan mereka. Mereka percaya bahawa matahari membolehkan tumbuh-tumbuhan
hidup, manakala bulan dan bintang pula menjadi petunjuk dalam perjalanan pada
waktu malam.
Golongan masyarakat jahiliah
yang menyembah Tuhan Padang Pasir pula dikenali sebagai ahl al-Saf.Amalan yang
dilakukan oleh golongan ini ialah berjalan-jalan di padang pasir pada waktu
malam sambil menyanyi, bergendang dan membawa unggun api.
Selain itu, terdapat juga masyarakat
jahiliah yang mengamalkan ajaran sihir dengan menyembah jin dan
dewa-dewa.Manakala ada pula segolongan masyarakat jahiliah yang
menyembah malaikat lelaki dan
perempuan kerana dianggap sebagai perantara.Masyarakat jahiliah juga mempunyai
kepercayaan tradisi yang berunsur tahayul seperti menilik nasib,sangka baik dan
sangka buruk dengan isyarat-isyarat tertentu, mempercayai kuasa azimat tangkal
dan ahli nujum.Kedatangan Islam telah mengubah corak kehidupan masyarakat jahiliah
bukan sahaja dari segi agama tetapi juga dari segi ketamadunan fizikal dan
mental.[9]
[1] Ibid,9
[2]
Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan
Pelangi Sdn.Bhd,2013),18.
[3]Mahayudin
Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,9.
[4] Ibid,9.
[5] Mahdi
Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan
Pelangi Sdn.Bhd,2013),20.
[8] Ibid.,21.
[9] Mahayudin
Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,10.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan