POLITIK
Pada zaman jahiliah, tidak terdapat
kerajaan yang mempunyai struktur pemerintahan yang teratur dan
berkuasa.Kedudukan politik masyarakat pada zaman jahiliah dilihat
tergugat akibat penjajahan kuasa-kuasa asing. Zaman ini dikenali sebagai zaman
penjajahan kerana sebahagian besar Semenanjung Tanah Arab dijajah oleh
Byzantine dan Parsi. Masyarakat Quraisy Makkah turut tergugat dengan ancaman-ancaman
kuasa asing. Contohnya, serangan tentera bergajah oleh tentera Habsyah pimpinan
Abrahah yang datang dari Yaman pada tahun 570 M (dikenal sebagai Tahun Gajah),
iaitu tarikh keputeraan Nabi Muhammad SAW.
Masyarakat jahiliah sering berperang
sesama sendiri dan hidup berpuak-puak untuk mendapatkan restu dan perlindungan
daripada pemerintah. Pada zaman penjajahan, mereka tidak lagi berupaya untuk
membela diri kerana berasa rendah diri, kalah dan patah semangat
untuk terus berjuang. Akibatnya,
mereka menyerah kalah kepada kuasa-kuasa asing yang
telah mendirikan
kerajaan-kerajaan boneka di Ghassan (naungan Parsi), Hirah (naunganByzantine)
dan Yaman (naungan Habsyah).
Walaupun tempat-tempat tersebut
mempunyai pentadbiran dan pemerintahan sendiri, tetapi ini tidak boleh dianggap
sebagai sebuah pemerintahan yang maju dan bertamadun kerana masing-masing
terletak di bawah kuasa penjajah.[11]
EKONOMI
Walaupun kehidupan masyarakat Arab di
Yaman agak mewah,beragama dan bermoral pada suatu ketika dahulu yang disifatkan
dalam al-Quran sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur,tetapi berikutan
keruntuhan Empangan Ma'arib dan kekufuran, kehidupan mereka bertukar menjadi
mundur, papa kedana serta sesat.
Selepas keruntuhan Empangan Ma'arib dan
penjajahan ke atas Semenanjung Tanah Arab, keadaan politik dan ekonomi semakin
meruncing. Kawasan utara Semenanjung Tanah Arab juga turut terjejas akibat
penjajahan Byzantine dan Parsi, bukan sahaja dari segi politik,tetapi juga dari
segi ekonomi dan sosial.
Ramai penduduk di selatan Semenanjung
Tanah Arab berhijrah ke utara dan menjalankan aktiviti perdagangan. Namun,
kegiatan perdagangan tidak menguntungkan kerana pelbagai halangan seperti
pertelagahan sesama kabilah Arab. Perhijrahan ini juga disebabkan kemerosotan
hasil pertanian yang berlaku di selatan Semenanjung Tanah Arab pada ketika itu.
Kerajaan Himyar mencari alternatif
dengan melaksanakan dasar penaklukan untuk mengumpulkan kekayaan.Pada mulanya,
mereka berjaya mengumpulkan harta yang banyak
melalui penaklukan, tetapi
selepas tahun 300 M, kerajaan ini mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk
hingga kejatuhan Habsyah pada tahun 534 M. Sejak itu, pertumbuhan ekonomi di
Semenanjung Tanah Arab semakin lembap.
Peristiwa percubaan tentera Habsyah
menawan kota Makkah telah memburukkan lagi situasi perdagangan antara kedua-dua
buah kawasan ini.Makkah tersepit di antara Byzantine dengan Parsi hingga
menyekat perkembangan perdagangannya.Konflik
ekonomi yang wujud dalam masyarakat jahiliah menyebabkan ekonomi masyarakat
Arab pada waktu itu tidak
dapat berkembang.
Pada dasarnya ketidakstabilan politik
sanenanjung Tanah Arab merupakan asas kepada pelbagai masalah ekonomi dalam
kalangan masyarakat Arab.
Sosial
Susun lapis masyarakat Arab bermula
daripada 'a'ilah (family), dikuti fasilah (gabungan dua a'ilah atau lebih),
bani (gabungan dua failah atau lebih), fakhidh (gabungan dua bani atau
lebih),batn (gabungan dua fakhidh atau lebih), imarah (gabungan dua batn atau
lebih), qabilah (gabungan dua imarah atau lebih) dan yang terbesar sya'b (iaitu
bangsa Arab).
Setiap individu bermegah-megah dengan
kabilahnya dan memandang hina kabilah-kabilah yang lain.Semangat setia kawan atau asabiyah menyebabkan
persengketaan sering berlaku sesama mereka walaupun hanya disebabkan perkara
kecil.
Mereka sering berperang sesama sendiri
untuk mencari nama, kuasa, pengaruh dan harta benda sebagai lambang kemegahan
kabilah mereka.Tawanan perang dijadikan hamba abdi jika tiada siapa yang
menebus atau melindungi mereka.
Pada zaman jahiliah, wanita tidak
mempunyai tempat yang sewajarnya dalam masyarakat dan sering dibawa
bersama-sama dalam peperangan untuk memberikan perangsang kepada tentera.Mereka
juga sanggup menanam bayi perempuan hidup-hidup kerana menganggap anak
perempuan akan memberikan masalah sosial dan ekonomi kepada mereka.
Masyarakat jahiliah berkahwin tanpa had
dan batas.Hamba dipandang hina dan mempunyai status terendah dalam masyarakat
serta sering diperlakukan dengan perkara-perkara di luar nilai
kemanusiaan.Keadaan ini wujud kerana kehidupan mereka bercirikan unsur-unsur
gasar yang berlawanan dengan ketamadunan.
Secara umumnya sistem sosial masyarakat
jahiliah tidak menjadikan teras perpaduan sesama kabilah sebagai tunjang
kekuatan bangsa mereka.
Ilmu Pengetahuan
Penyebaran ilmu pengetahuan dan
peradaban pernah berlaku di Selatan Semenanjung Tanah Arab pada zaman
kegemilangannya,sehingga terdirinya beberapa buah kerajaan Arab seperti
kerajaan Qataban, Ma'in, Saba' dan Himyar. Namun begitu, ketamadunan itu runtuh
akibat kekufuran, kemaksiatan, kejahilan dan kedudukan ekonomi mereka turut
musnah akibat keruntuhan Empangan Ma'arib yang menjadi pemangkin kepada ekonomi
pertanian.
Sejak itu, kira-kira 300 tahun
sebelum Islam, masyarakat Arab mula memasuki zaman jahiliah dan zaman
penjajahan.
Dalam tempoh tersebut, masyarakatArab
telah mengalami Zaman Gelap dan mundur bukan sahaja dari segi agama dan akhlak,
tetapi juga dari segi ilmu pengetahuan.Masyarakat jahiliah tidak mempunyai ilmu
pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai bidang seperti agama, politik,
ekonomi,perniagaan dan perdagangan.
Sejak sebelum zaman jahiliah, penyebaran
ilmu pengetahuan telah berlaku di kawasan pinggir bahagian Selatan dan Barat Laut
Semenanjung Tanah Arab kerana hubungan perdagangan dengan bangsa
asing.Penyebaran ilmu amat terbatas dalam masyarakat jahiliah kerana minat
mereka kepada perdagangan mengatasi minat untuk menuntut ilmu pengetahuan.
Ketiadaan pewarisan ilmu menyebabkan
mereka gagal membina semula Empangan Ma'arib yang sudah runtuh.Di Semenanjung
Tanah Arab pada waktu itu hanya terdapat 17
orang kaum Quraisy yang pandai
membaca dan menulis. Jumlah ini amat kecil berbanding saiz masyarakat Arab pada
waktu itu.Jadi, masyarakat tersebut boleh dianggap sebagai masyarakat yang buta
huruf
Masyarakat Arab menumpukan kepada daya
ingatan dan hafalan kerana mereka tidak tahu membaca dan menulis. Jika sesuatu
data atau maklumat tidak diminati, ia akan luput begitu sahaja.Dalam bidang
kesusasteraan, sebahagian masyarakat Arab tahu bersyair, bersajak dan
berkhutbah.
Karya-karya kreatif yang dihasilkan
berbentuk semula jadi, iaitu karya yang lahir daripada kreativiti dan bakat
semula jadi. Karya yang dihasilkan hanya untuk berseronok-seronok dan bukannya
karya berbentuk ilmiah.
Berdasarkan keterangan-keterangan yang
diberikan, jelas bahawa sebelum kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad
SAW, wujud masyarakat jahiliah di Semenanjung Tanah Arab.Justeru, Allah SWT
mengutuskan Nabi Muhammad SAW dan menurunkan al-Quran untuk menjadi panduan dan
rujukan kepada manusia. Al-Quran bukan hanya mengandungi ajaran-ajaran
berbentuk akidah, syariah dan akhlak, tetapi juga bidang-bidang lain seperti
politik, ekonomi, sosial, perundangan, perubatan, sains dan bidang-bidang
pendidikan yang lain.
Akidah dan ilmu pengetahuan amat penting
dan tidak boleh dipisahkan. Melaluinya manusia membina tamadun, mengenali dan
mengingati Allah SWT.Kesan dan pengaruh pendidikan Islam yang disampaikan oleh
Nabi Muhammad SAW kepada manusia mengenai ilmu pengetahuan dan tamadun Islam
amat mendalam.
Sekiranya dibandingkan sumbangan
masyarakat Islam dengan masyarakat jahiliah dari segi ilmu pengetahuan, sudah
tentu perbezaannya amat ketara. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa
masyarakat jahiliah tidak memberikan apa-apa sumbangan dalam aspek ilmu
pengetahuan.
Dengan perkataan lain, pencapaian ilmu
pengetahuan pada zaman jahiliah amat rendah. Apatah lagi ramai dalam kalangan
mereka tidak berminat dengan ilmu pengetahun, bahkan kebanyakan mereka
dikategorikan sebagai golongan buta huruf.[12]
[11] Mahayudin
Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,11.