Rabu, 31 Disember 2014

1.3 Sistem pemerintahan

Sistem pemerintahan Nabi Muhammad SAW (abad ke.7) STPM 2012

 Pengenalan
Nabi Muhammad SAW telah meletakkan batu asas yang cukup kukuh dalam pemerintahan dan pentadbiran negara dengan memberikan contoh teladan yang baik untuk dijadikan panduan dan ikutan umat manusia.
       Nabi Muhammad SAW telah mengasaskan negara Islam di Madinah berteraskan wahyu yang telah diturunkan olehAllah SWT untuk menjadi garis panduan mengenai asas-asas pemerintahan bagi seluruh manusia. Al-Quran menegaskan konsep keadilan dalam pemerintahan Islam kerana keadilan akan melahirkan kesetiaan rakyat terhadap pemerintah.
       Keadilan yang dimaksudkan bukan merujuk kepada rakyat biasa sahaja, tetapi juga kepada golongan atasan dan pemerintah supaya berlaku adil dalam semua hal serta dalam semua keadaan bagi mencetuskan keadilan dan kesejahteraan dalam sesebuah negara.Al-Quran sememangnya tidak menerangkan secara terperinci tentang prinsip pembentukan negara, namun al-Quran mengingatkan umatnya supaya bermesyuarat dalam melakukan sebarang urusan.[1]
       Justeru, langkah-langkah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan Khulafa' al-Rasyidin merupakan contoh terbaik bagi umat Islam.Islam mengarahkan umatnya patuh kepada ketua pemerintah (ali al-amr) supaya tidak berlaku huru-hara dan perpecahan dalam
masyarakat.
       Umumnya, langkah-langkah yang diambil oleh Nabi Muhammad SAW dan para Khulafa' al-Rasyidin boleh dijadikan asas pemerintahan dan pentadbiran negara yang adil bagi generasi selepas mereka supaya mereka dapat menghadapi sebarang rintangan dan cabaran yang mendatang.
       Sebelum ketibaan Nabi Muhammad SAW ke Madinah, tidak terdapat sebuah pemerintahan dan pentadbiran yang teratur serta berlandaskan undang-undang perlembagaan sepertimana yang berlaku pada zaman baginda. Masyarakat Madinah berpecah sesama mereka, khususnya antara orang Yahudi dengan orang Arab.Nabi Muhammad SAW telah menegakkan sebuah negara Islam selepas peristiwa Perjanjian Aqabah atau selepas peristiwa Hijrah ke Madinah. Baginda telah merangka struktur untuk menegakkan sebuah negara.[2]


[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),27.
[2] Ibid,27.

Ahad, 28 Disember 2014

2.3 Konsep Ummah

Menurut Kamus Dewan, ummah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud umat.[1]Ummah bererti masyarakat atau umat manusia.Dalam konteks Islam umat ialah pemeluk, penganut, pengamal dan pengikut agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.Inbu Hisham dalam As-Sirah menyatakan bahawa umat (ummah) Islam yang pertama ialah As-Sabiqun al-Awwalun,[2] iaitu golongan pertama yang memeluk Islam di Mekah. Dalam konteks ummah pada zaman Nabi Muhammad SAW,masyarakat yang mematuhi Piagam Madinah termasuk umat Islam dan bukan Islam seperti kaum Yahudi di Madinah.[3]

       Penyebaran Islam di Madinah lebih mudah berbanding di Makkah kerana keadaan dan suasana yang berbeza antara kedua-dua kota tersebut.Sebelum ketibaan Nabi Muhammad SAW ke Madinah, Islam telah tersebar di sana menerusi usaha mereka yang menyertai Perjanjian Aqabah I dan Aqabah II, serta 12 orang naqib yang dilantik oleh baginda.
       Usaha ke arah mendaulatkan agama Islam di Madinah bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak rintangan telah dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.Umat Islam berupaya untuk mendirikan sebuah masjid di tengah-tengah kota Madinah dan dapat melakukan amal ibadat secara terbuka.
       Nabi Muhammad SAW telah menyatupadukan umat Islam Madinah dan membentuk negara Islam.Selepas Hijrah, masyarakat Islam terbahagi kepada dua golongan, iaitu Muhajirin dan Ansar. Kedua-dua golongan ini telah dipersaudarakan bagi tujuan membentuk umat Islam yang kuat di kota Madinah.[4]
Golongon Muhajirin
Golongan Muhajirin merupakan pengikut Nabi Muhammad SAW yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.Istilah Muhajirin berasal daripada perkataan hijrah, penghijrahan; orang yang berhijrah dipanggil al-Muhajir (secara jamak: al-Muhajirin).
       Golongan Muhajirin bukan orang pelarian; seperti mana anggapan sesetengah orientalis, tetapi mereka berpindah/berhijrah dari kota Makkah ke kota Madinah kerana mematuhi suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya derni masa depan Islam yang lebih cerah.Di Madinah, golongan Muhajirin mendapat pertolongan dari segi fizikal dan moral daripada golongan Ansar.
       Golongan Muhajirin diberitakan dalam al-Quran (surah al-Baqarah: 215, surah al-Imran: 191) mendapat rahmat dan pahala yang amat besar daripada Allah SWT kerana pengorbanan mereka berhijrah.Nabi Muhammad SAW telah mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansar untuk menjadi umat yang mulia dan kuat.[5]Golongan Muhajirin dianggap sebagai golongan yang terawal memeluk agama Islam dan paling banyak berjasa dalam menegakkan ajaran tauhid.[6]
Golongan Ansar
Golongan Ansar ialah penduduk Madinah, khususnya daripada kaum Aus dan Khazraj yang telah memeluk agama Islam.Mereka membantu Nabi Muhammad SAW sebelum dan selepas
berhijrah ke Madinah (622M). Golongan Ansar telah menjemput Nabi SAW dan para sahabat datang ke Madinah.Golongan Ansar bersama Muhajirin telah menegakkan negara Islam Madinah.Kaum  Ansar banyak berkorban, sama ada  harta benda, tenaga dan jiwa raga untuk mengembangkan agama Islam.Mereka dianggap sebagai golongan yang terawal memeluk agama Islam dan yang paling banyak berjasa dalam menegeakkan ajaran tauhid.[7]


[1] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad Wan Sulong, Teks Pra-U STPM Sejarah Islam,(Petaling Jaya : Sasbadi, 2014),12.
[2] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),32.
[3] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),21.
[4] Ibid,21.
[5] Mahayudin Yahaya, Tamadun Islam, (Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti,1998),53.
[6] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,22.
[7] Mahayudin Yahaya, Tamadun Islam,53.

Jumaat, 26 Disember 2014

Masyarakat Islam

1.1  Masyarakat Islam

       Nabi Muhammad SAW diutus bagi menyampaikan risalah kepada seluruh umat manusia tentang ajaran Islam. Baginda ialah Nabi dan Rasul terakhir.Hal ini bermakna tidak ada nabi dan rasul selepasnya. Baginda telah berjaya mernbentuk sebuah masyarakat (ummah) dan negara Islam di Madinah.Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, telah berlaku suatu perubahan besar dari sudut politik, ekonomi dan sosial umat Islam yang membawa kepada perkembangan budaya dan masyarakat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Peristiwa ini telah mencetuskan suatu fenomena baharu dalam sejarah umat Islam bermula dari era Khulafa' al-Rasyidin hinggalah kepada era-era selepasnya.[1]
Nabi Muhammad SAW dan Khalifah al-Rasyidin di Semenanjung Tanah Arab (abad ke-6-7)
2.1 Perkembangan Masyarakat lslam di Mekah
Aktiviti Dakwah
Antara usaha Nabi Muhammad SAW untuk membentuk masyarakat Islam di Makkah adalah melalui dakwah. Langkah-langkah dakwah diambil sama ada secara sulit atau terang-terangan .Secara sulit, baginda berdakwah kepada keluarga, anak-anak angkat, saudara-mara dan para sahabat.Baginda menyeru mereka supaya beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta meninggalkan amalan menyembah berhala.Baginda juga menyeru mereka kepada kebaikan, iaitu ma'ruf  dan meninggalkan kejahatan, iaitu mungkar seperti minum arak,berjudi, berzina, mencuri dan membunuh.
       Dakwah yang dijalankan oleh baginda adalah secara lemah lembut.Hanya beberapa orang dalam kalangan penduduk Makkah yang memeluk agama Islam setelah kira-kira tiga tahun dakwah secara sulit dilakukan.Khadijah binti Khuwailid, Saidina Ali bin Abu Talib, Zaid Harithah, Saidina Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Zubair al-Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Saad Abu Waqas, Talhah bin Ubaidillah dan al-Arqam bin Abu Arqam.[2]
       Peringkat dakwah secara sulit telah dilakukan secara berhati-hati melalui individu tertentu seperti Abu Bakar al-Siddiq dan al-Arqam bin Abi al-Arqam yang menghadiahkan rumahnya sebagai markas untuk menyebarkan agama Islam. Mereka yang memeluk Islam di Makkah terdiri daripada golongan miskin dan kaya, termasuk Abu Bakar al-Siddiq dan Uthman bin Affan. Namun begitu, bilangannya terlalu kecil berbanding dengan di Madinah selepas Hijrah.
       Setelah tiga tahun berdakwah secara sulit, turun wahyu supaya Nabi Muhammad SAW berdakwah secara terang-terangan.Walau bagaimanapun, sambutan daripada kaum keluarga baginda agak dingin, terutamanya tentangan oleh ayah saudaranya, Abu Lahab sehingga turun ayat al-Quran yang mengutuk perbuatan tersebut, iaitu surah al-Lahab, ayat l-5.
       Selepas turunnya ayat al-Quran, maka bermulalah aktiviti dakwah secara terang-terangan. Allah SWT mengarahkan baginda supaya memberikan peringatan dan amaran kepada kaum keluarga baginda supaya patuh dan setia kepada orang yang beriman.Namun begitu, Abu Lahab enggan menurut perintah Allah SWT dan Rasul-Nya serta terus menentang dan memusuhi baginda dan agama Islam.[3]
TENTANGAN DAN CABARAN
       Kaum Quraisy menentang usaha dakwah Nabi Muhammad SAW dan mencabar baginda supaya menunjukkan mukjizat seperti nabi-nabi terdahulu. Tujuan mereka semata-mata untuk menghina Nabi Muhammad SAW dan kerasulan baginda. Kaum Quraisy mula berasa terhina kerana Nabi Muhammad SAW menyelar agama berhala, iaitu agama nenek moyang mereka.
Mereka meminta agar Abu Talib menasihati anak saudaranya,tetapi Nabi Muhammad SAW tetap meneruskan seruan Islam.
       Sikap dan pendirian Abu Talib yang memihak kepada Nabi Muhammad SAW menyebabkan kaum Quraisy bertambah marah dan meminta agar Nabi Muhammad SAW diserahkan kepada mereka. Setelah usaha tersebut gagal, mereka cuba memujuk Nabi Muhammad SAW dengan menawarkan perempuan, harta dan pangkat dengan syarat baginda meninggalkan seruan Islam, tetapi tawaran ini ditolak.
       Kaum Quraisy kemudiannya menggunakan cara kompromi dengan mencadangkan agar Nabi Muhammad SAW menyembah berhala dan mereka akan menyembah Tuhan Nabi Muhammad SAW.Tawaran ini juga ditolak oleh baginda berdasarkan perintah Allah SWT dalam surah al-Kaafirun,ayat 1-6 yang bermaksud "terdapat pemisahan mutlak antara agama Islam daripada agama berhala".Kaum Quraisy tidak mahu beralah kerana tidak mahu kuasa yang ada pada mereka tergugat.
       Setelah gagal dengan pelbagai cara, akhirnya kaum Quraisy mengambil tindakan keras dengan menyeksa orang Islam. Walaupun orang Islam diseksa dengan dahsyat, namun bilangan orang yang memeluk Islam terus bertambah.Umat Islam telah berpindah ke Habsyah bagi mengelakkan penyeksaan kaum Quraisy, di samping berdakwah. Untuk menyebarkan agama Islam. Peristiwa tersebut berlaku pada bulan Rejab tahun 615 M.
Mereka selamat tiba di Habsyah dan diberikan perlindungan oleh rajanya,Najasyi. Nabi Muhammad SAW pula terus berdakwah di Makkah.Bilangan orang Islam yang berhijrah ke Habsyah pada peringkat awal ialah seramai 12 orang lelaki dan empat orang wanita. Bilangan
tersebut bertambah sehingga mencapai 82 orang, tidak termasuk wanita dan kanak-kanak.
       Kaum Quraisy masih tidak berpuas hati dan menghantar dua orang utusan meminta agar Raja Najasyi memulangkan orang Islam.Namun, usaha tersebut gagal kerana Raja Najasyi sendiri telah tertarik dengan agama Islam.Berita pengislaman Umar bin al-Khattab pada bulan Zulhijah tahun 616 M yang juga merupakan seorang pemimpin yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat di Makkah menyebabkan orang Islam kembali ke Makkah.
       Kaum Quraisy semakin berpecah kerana Umar bin al-Khattab merupakan orang kuat mereka.Kaum Quraisy telah merancang taktik baharu untuk melemahkan umat Islam dengan memulaukan Bani Hasyim dan Bani Muttalib, iaitu kaum keluarga Nabi Muhammad SAW.
Pemulauan yang berlangsung selama kira-kira tiga tahun itu merangkumi larangan melakukan urusan jual beli, perkahwinan dan memberikan pertolongan kepada kaum keluarga Nabi Muhammad SAW.
       Mereka hanya dibenarkan keluar pada musim haji. Peluang ini digunakan oleh Nabi Muhammad SAW untuk menyebarkan agama Islam kepada jemaah haji yang datang dari seluruh Semenanjung Tanah Arab.


[1]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),15.
[2] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),29.
[3] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal  2,17.

Khamis, 25 Disember 2014

Artifak sejarah miliki nilai komersil

Wartawan Sinar Harian

7 Jun 2012
Salah sebuah bangunan konkrit dikenali sebagai stockpiles digunakan untuk <br>menyimpan bijih besi yang masih berdiri utuh.
Salah sebuah bangunan konkrit dikenali sebagai stockpiles digunakan untuk <br>menyimpan bijih besi yang masih berdiri utuh.    Salah sebuah bangunan konkrit dikenali sebagai stockpiles digunakan untuk menyimpan bijih besi yang masih berdiri utuh.
BUKIT BESI, DUNGUN - Kesan sejarah perlombongan bijih besi yang masih ada boleh dikomersilkan dan menjadi nilai pelancongan tinggi sehingga mewujudkan banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan jika ada usaha secara bersungguh-sungguh dilakukan ke arah itu, demikian kata setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu Kawasan Dungun, Wan Mohd Rosli Wan Ngah.
Merujuk kepada laporan Sinar Harian yang mendedahkan terdapat beberapa artifak sejarah yang kini dalam keadaan terbiar, Wan Rosli berkata, jika pihak berkenaan tidak berkemampuan melakukan usaha pemeliharaan, proses berkenaan boleh diserahkan kepada pihak swasta yang mungkin akan melihatnya dari sudut komersial.
“Sejarah Bukit Besi sebenarnya boleh menjadi lebih popular berbanding sejarah A Famosa di Melaka.
“Ini berikutan hasil peninggalan sejarah yang ada di sini lebih tersergam indah selain banyak yang masih utuh dan mempunyai nilai komersil yang tinggi jika ia dibaik pulih,” katanya.
Menurut Wan Rosli, jika penduduk tempatan mendapat peluang pekerjaan hasil kemajuan industri perlombongan bijih besi suatu ketika dahulu, usaha membaik pulih semua monumen sejarah boleh menjadikan Bukit Besi sebagai destinasi pelancongan yang popular di negeri ini.
“Selain kita ada artifak sejarah, Bukit Besi juga mempunyai tasik yang boleh dimajukan dengan pelbagai sukan riadah.
“Pada masa sama, kita ada kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), jadi tidak ada sebab kenapa tempat bersejarah ini seharusnya terus di pandang sepi,” katanya.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE  7 Jun 2012

Rabu, 24 Disember 2014

Struktur Masyarakat Jahiliah

POLITIK

        Pada zaman jahiliah, tidak terdapat kerajaan yang mempunyai struktur pemerintahan yang teratur dan berkuasa.Kedudukan  politik  masyarakat pada zaman jahiliah dilihat tergugat akibat penjajahan kuasa-kuasa asing. Zaman ini dikenali sebagai zaman penjajahan kerana sebahagian besar Semenanjung Tanah Arab dijajah oleh Byzantine dan Parsi. Masyarakat Quraisy Makkah turut tergugat dengan ancaman-ancaman kuasa asing. Contohnya, serangan tentera bergajah oleh tentera Habsyah pimpinan Abrahah yang datang dari Yaman pada tahun 570 M (dikenal sebagai Tahun Gajah), iaitu tarikh keputeraan Nabi Muhammad SAW.
       Masyarakat jahiliah sering berperang sesama sendiri dan hidup berpuak-puak untuk mendapatkan restu dan perlindungan daripada pemerintah. Pada zaman penjajahan, mereka tidak lagi berupaya untuk membela diri kerana berasa rendah diri, kalah dan patah semangat
untuk terus berjuang. Akibatnya, mereka menyerah kalah kepada kuasa-kuasa asing yang
telah mendirikan kerajaan-kerajaan boneka di Ghassan (naungan Parsi), Hirah (naunganByzantine) dan Yaman (naungan Habsyah).
       Walaupun tempat-tempat tersebut mempunyai pentadbiran dan pemerintahan sendiri, tetapi ini tidak boleh dianggap sebagai sebuah pemerintahan yang maju dan bertamadun kerana masing-masing terletak di bawah kuasa penjajah.[11]
EKONOMI
     
      Walaupun kehidupan masyarakat Arab di Yaman agak mewah,beragama dan bermoral pada suatu ketika dahulu yang disifatkan dalam al-Quran sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur,tetapi berikutan keruntuhan Empangan Ma'arib dan kekufuran, kehidupan mereka bertukar menjadi mundur, papa kedana serta sesat.
       Selepas keruntuhan Empangan Ma'arib dan penjajahan ke atas Semenanjung Tanah Arab, keadaan politik dan ekonomi semakin meruncing. Kawasan utara Semenanjung Tanah Arab juga turut terjejas akibat penjajahan Byzantine dan Parsi, bukan sahaja dari segi politik,tetapi juga dari segi ekonomi dan sosial.
       Ramai penduduk di selatan Semenanjung Tanah Arab berhijrah ke utara dan menjalankan aktiviti perdagangan. Namun, kegiatan perdagangan tidak menguntungkan kerana pelbagai halangan seperti pertelagahan sesama kabilah Arab. Perhijrahan ini juga disebabkan kemerosotan hasil pertanian yang berlaku di selatan Semenanjung Tanah Arab pada ketika itu.
       Kerajaan Himyar mencari alternatif dengan melaksanakan dasar penaklukan untuk mengumpulkan kekayaan.Pada mulanya, mereka berjaya mengumpulkan harta yang banyak
melalui penaklukan, tetapi selepas tahun 300 M, kerajaan ini mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk hingga kejatuhan Habsyah pada tahun 534 M. Sejak itu, pertumbuhan ekonomi di Semenanjung Tanah Arab semakin lembap.
       Peristiwa percubaan tentera Habsyah menawan kota Makkah telah memburukkan lagi situasi perdagangan antara kedua-dua buah kawasan ini.Makkah tersepit di antara Byzantine dengan Parsi hingga menyekat perkembangan perdagangannya.Konflik  ekonomi yang wujud dalam masyarakat jahiliah menyebabkan ekonomi masyarakat Arab pada waktu itu tidak
dapat berkembang.
       Pada dasarnya ketidakstabilan politik sanenanjung Tanah Arab merupakan asas kepada pelbagai masalah ekonomi dalam kalangan masyarakat Arab.
Sosial
       Susun lapis masyarakat Arab bermula daripada 'a'ilah (family), dikuti fasilah (gabungan dua a'ilah atau lebih), bani (gabungan dua failah atau lebih), fakhidh (gabungan dua bani atau lebih),batn (gabungan dua fakhidh atau lebih), imarah (gabungan dua batn atau lebih), qabilah (gabungan dua imarah atau lebih) dan yang terbesar sya'b (iaitu bangsa Arab).
       Setiap individu bermegah-megah dengan kabilahnya dan memandang hina kabilah-kabilah yang lain.Semangat  setia kawan atau asabiyah menyebabkan persengketaan sering berlaku sesama mereka walaupun hanya disebabkan perkara kecil.
       Mereka sering berperang sesama sendiri untuk mencari nama, kuasa, pengaruh dan harta benda sebagai lambang kemegahan kabilah mereka.Tawanan perang dijadikan hamba abdi jika tiada siapa yang menebus atau melindungi mereka.
      Pada zaman jahiliah, wanita tidak mempunyai tempat yang sewajarnya dalam masyarakat dan sering dibawa bersama-sama dalam peperangan untuk memberikan perangsang kepada tentera.Mereka juga sanggup menanam bayi perempuan hidup-hidup kerana menganggap anak perempuan akan memberikan masalah sosial dan ekonomi kepada mereka.
    
     Masyarakat jahiliah berkahwin tanpa had dan batas.Hamba dipandang hina dan mempunyai status terendah dalam masyarakat serta sering diperlakukan dengan perkara-perkara di luar nilai kemanusiaan.Keadaan ini wujud kerana kehidupan mereka bercirikan unsur-unsur gasar yang berlawanan dengan ketamadunan.
       Secara umumnya sistem sosial masyarakat jahiliah tidak menjadikan teras perpaduan sesama kabilah sebagai tunjang kekuatan bangsa mereka.
Ilmu Pengetahuan
       Penyebaran ilmu pengetahuan dan peradaban pernah berlaku di Selatan Semenanjung Tanah Arab pada zaman kegemilangannya,sehingga terdirinya beberapa buah kerajaan Arab seperti kerajaan Qataban, Ma'in, Saba' dan Himyar. Namun begitu, ketamadunan itu runtuh akibat kekufuran, kemaksiatan, kejahilan dan kedudukan ekonomi mereka turut musnah akibat keruntuhan Empangan Ma'arib yang menjadi pemangkin kepada ekonomi pertanian.
Sejak itu, kira-kira 300 tahun sebelum Islam, masyarakat Arab mula memasuki zaman jahiliah dan zaman penjajahan.
       Dalam tempoh tersebut, masyarakatArab telah mengalami Zaman Gelap dan mundur bukan sahaja dari segi agama dan akhlak, tetapi juga dari segi ilmu pengetahuan.Masyarakat jahiliah tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai bidang seperti agama, politik, ekonomi,perniagaan dan perdagangan.
       Sejak sebelum zaman jahiliah, penyebaran ilmu pengetahuan telah berlaku di kawasan pinggir bahagian Selatan dan Barat Laut Semenanjung Tanah Arab kerana hubungan perdagangan dengan bangsa asing.Penyebaran ilmu amat terbatas dalam masyarakat jahiliah kerana minat mereka kepada perdagangan mengatasi minat untuk menuntut ilmu pengetahuan.
      
       Ketiadaan pewarisan ilmu menyebabkan mereka gagal membina semula Empangan Ma'arib yang sudah runtuh.Di Semenanjung Tanah Arab pada waktu itu hanya terdapat 17
orang kaum Quraisy yang pandai membaca dan menulis. Jumlah ini amat kecil berbanding saiz masyarakat Arab pada waktu itu.Jadi, masyarakat tersebut boleh dianggap sebagai masyarakat yang buta huruf
       Masyarakat Arab menumpukan kepada daya ingatan dan hafalan kerana mereka tidak tahu membaca dan menulis. Jika sesuatu data atau maklumat tidak diminati, ia akan luput begitu sahaja.Dalam bidang kesusasteraan, sebahagian masyarakat Arab tahu bersyair, bersajak dan berkhutbah.
       Karya-karya kreatif yang dihasilkan berbentuk semula jadi, iaitu karya yang lahir daripada kreativiti dan bakat semula jadi. Karya yang dihasilkan hanya untuk berseronok-seronok dan bukannya karya berbentuk ilmiah.
       Berdasarkan keterangan-keterangan yang diberikan, jelas bahawa sebelum kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, wujud masyarakat jahiliah di Semenanjung Tanah Arab.Justeru, Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW dan menurunkan al-Quran untuk menjadi panduan dan rujukan kepada manusia. Al-Quran bukan hanya mengandungi ajaran-ajaran berbentuk akidah, syariah dan akhlak, tetapi juga bidang-bidang lain seperti politik, ekonomi, sosial, perundangan, perubatan, sains dan bidang-bidang pendidikan yang lain.
       Akidah dan ilmu pengetahuan amat penting dan tidak boleh dipisahkan. Melaluinya manusia membina tamadun, mengenali dan mengingati Allah SWT.Kesan dan pengaruh pendidikan Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada manusia mengenai ilmu pengetahuan dan tamadun Islam amat mendalam.
       Sekiranya dibandingkan sumbangan masyarakat Islam dengan masyarakat jahiliah dari segi ilmu pengetahuan, sudah tentu perbezaannya amat ketara. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa masyarakat jahiliah tidak memberikan apa-apa sumbangan dalam aspek ilmu pengetahuan.
       Dengan perkataan lain, pencapaian ilmu pengetahuan pada zaman jahiliah amat rendah. Apatah lagi ramai dalam kalangan mereka tidak berminat dengan ilmu pengetahun, bahkan kebanyakan mereka dikategorikan sebagai golongan buta huruf.[12]


[11] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,11.
[12] Ibid,13.

Sabtu, 20 Disember 2014

AGAMA DAN KEPERCAYAAN MASYARAKAT ARAB JAHILIAH

Kesesatan agama dalam kalangan masyarakat jahiliah mempunyai hubungan rapat dengan ketiadaan petunjuk dan pedoman daripada kitab suci dan rasul pada waktu itu sehingga mereka tunduk kepada kuasa berhala dan menganut agama berhala (wathani).

       Di samping agama berhala, terdapat juga agama-agama lain seperti agama Majusi, Nasrani dan Yahudi yang telah diselewengkan,tetapi bilangan penganutnya amatlah kecil.Pengaruh asing menjadi faktor pendorong penyebaran pelbagai agama di Semenanjung Tanah Arab kerana hubungannya dengan dunia luar melalui perdagangan, hubungan diplomatik dankegiatan-kegiatan agama. Dua kuasa besar, iaitu Parsi dan Byzantine berlumba-lumba untuk menyebarkan agama masing-masing. Parsi menyebarkan agama Majusi sementara Byzantine menyebarkan agama Nasrani.[1]
       Walau bagaimanapun, sebahagian besar kaum Badwi di kawasan tengah Semenanjung Tanah Arab masih menyembah berhala. Terdapat lima golongan beragama dalam kalangan masyarakat
Arab, iaitu:
(a) menyembah berhala wathani.
(b) menyembah api/Majusi.
(c) Nasrani/Kristian.
(d) Yahudi.
(e) Hanif/Samawi.
Agama menyembah berhala merupakan agama yang dominan dalam kalangan masyarakat Arab.Orang yang mula-mula memperkenalkan agama menyembah berhala ialah Umar bin Luai. Berhala tersebut dibawa dari Syam lalu diletakkan di sekeliling Kaabah dan disembah. Berhala-berhala yang disembah diperbuat daripada batu, kayu dan logam sama ada berbentuk asli atau replika. Berhala-berhala itu dibuat daripada pelbagai jenis seperti dari kayu, batu, gangsa, perak, emas, gandum dan buah tamar. Abdullah Yusuf Ali dalam The Holy Quran telah membahagikan berhala kepada al-Wad iaitu berhala menyerupai seorang lelaki. Al-Suwa berhala menyerupai wanita. Patung ini melambangkan kecantikan wanita. Al-Yaghuth berhala berbentuk singa atau lembu jantan. Al-Tauq iaitu berhala berbentuk kuda yang melambangkan kekuatan dan ketangkasan berlari dan al-Nasr iaitu berhala berbentuk burung helang yang melambangkan ketajaman penglihatan atau pandangan.[2]  Pusat agama berhala terletak di kota Makkah. Pada waktu itu di sekeliling Kaabah terdapat kira-kira 360 buah berhala.Berhala-berhala yang terkenal di Makkah ialah al-Uzza, al-Latta dan al-Manat.[3]
       Agama Majusi berasal dari Parsi.Mereka tidak mempunyai kitab dan tidak mengakui nabi yang diutus oleh Allah SWT.Penganut agama Majusi mempercayai dua tuhan, iaitu tuhan yang baik dan tuhan Yang jahat.Mereka juga percaya kepada dua konsep api, iaitu api sebagai penerang dan api sebagai pemusnah. Agama ini terbahagi kepada tiga mazhab yang besar, iaitu Kayumarthiyah, Zarwaniyah dan Zaradusshitiyah.[4]
       Agama Yahudi ialah agama yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. yang diutus kepadanya kitab Taurat.penganut agama Yahudi, iaitu Bani Israel telah mengubah isi kandungan kitab Taurat dan Allah SWT telah melaknat mereka. Agama Yahudi yang berasal dari Palestine ini bertapak di Kota Yathrib atau Madinah apabila masyarakat Palestin memasuki dan mendiami Hijaj dan Yaman pada masa Raja Zul Nuwas memerintah Yaman. Di Yathrib agama Yahudi dianuti oleh Bani Nadhir, Bani Qainuqa danQuraizah.[5]
       Pengkaji sejarah berpendapat agama Kristian mula bertapak di kota Mekah pada abad ke-14 M.Agama Nasrani (Kristian) dibawa oleh Nabi Isa a.s. yang diturunkan kepadanya kitab suci Injil.Kaumnya juga telah mengubah isi kandungan kitab ini..Agama Nasrani dikembangkan ke utara Semenanjung Tanah Arab menerusi penduduk Ghassan dan Hirah, di sebelah selatan pula menerusi penduduk Habsyah pada abad ke-6 M.[6] Agama Kristian mula bertapak di Kota Mekah apabila kerajaan Rom meluaskan pengaruh dan kuasanya di Yaman. Agama Kristian pada mulanya dianuti oleh penduduk di Bahagian Selatan Tanah Arab iaitu Yaman, seperti suku kaum Taghlih, Ghassan dan Qudhah.[7]
       Segelintir orang Arab menganut agama Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s.. Mereka digelar Hunafa (Muslim) dan mentauhidkan Allah SWT. Golongan ini tidak mengamalkan mana-mana agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat jahiliah. Mereka meninggalkan amalan tradisi jahiliah seperti minum arak, berjudi, makan bangkai, makan darah dan sebagainya. Golongan ini menentang agama dan kepercayaan yang dianuti dan diamalkan oleh masyarakat Jahiliah sebelum Islam.[8]
Kepercayaan animisme
Bentuk kepercayaan masyarakat jahiliah terbahagi kepada dua, iaitu kepercayaan beragama dan kepercayaan animisme.Sebahagian masyarakat jahiliah yang tidak beragama mengamalkan kepercayaan animisme.Antara amalan animisme masyarakat jahiliah ialah memuja roh, penunggu atau kuasa ghaib, menyembah objek-objek seperti batu atau pokok-pokok yang besar, api dan sebagainya.
       Masyarakat jahiliah juga memuja matahari, bulan dan bintang kerana menganggap cakerawala mempunyai kuasa dalam kehidupan mereka. Mereka percaya bahawa matahari membolehkan tumbuh-tumbuhan hidup, manakala bulan dan bintang pula menjadi petunjuk dalam perjalanan pada waktu malam.
Golongan masyarakat jahiliah yang menyembah Tuhan Padang Pasir pula dikenali sebagai ahl al-Saf.Amalan yang dilakukan oleh golongan ini ialah berjalan-jalan di padang pasir pada waktu malam sambil menyanyi, bergendang dan membawa unggun api.
       Selain itu, terdapat juga masyarakat jahiliah yang mengamalkan ajaran sihir dengan menyembah jin dan dewa-dewa.Manakala ada pula segolongan masyarakat jahiliah yang
menyembah malaikat lelaki dan perempuan kerana dianggap sebagai perantara.Masyarakat jahiliah juga mempunyai kepercayaan tradisi yang berunsur tahayul seperti menilik nasib,sangka baik dan sangka buruk dengan isyarat-isyarat tertentu, mempercayai kuasa azimat tangkal dan ahli nujum.Kedatangan Islam telah mengubah corak kehidupan masyarakat jahiliah bukan sahaja dari segi agama tetapi juga dari segi ketamadunan fizikal dan mental.[9]


[1] Ibid,9
[2] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),18.
[3]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,9.
[4] Ibid,9.
[5] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),20.
[6] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,9.
[7]Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, 20.
[8] Ibid.,21.
[9] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,10.