Selasa, 14 Ogos 2018

3. Jelaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan di Malaysia.

A. Pengenalan.
Ketua negara Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Baginda merupakan Raja Berperlembagaan dan tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia. Jawatan baginda diwujudkan sejak tahun 1957 mengikut Perlembagaan Malaysia. YDPA merupakan lambang kedaulatan dan ketertinggian kuasa negara. Baginda menjadi tumpuan taat setia seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan kaum. YDPA dipilih oleh Majlis Raja – Raja dalam kalangan sembilan orang sultan Melayu mengikut peraturan pemilikan yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia. Jawatan YDPA dipegang secara bergilir – gilir dan bukan diwariskan mengikut keturunan. Jawatan YDPA dipegang selama lima tahun oleh setiap raja yang dipilih untuk memegang jawatan tersebut. YDPA tidak memiliki kuasa mutlak kerana baginda terikat dengan kuasa Perlembagaan Persekutuan. YDPA menjalankan kuasa pemerintahan negara berdasarkan nasihat Perdana Menteri.

B. Isi-isi.
YDPA merupakan ketua negara. Antara peranan atau tugas yang dilaksanakan oleh YDPA ialah pemerintah tertinggi angkatan tentera bersenjata Persekutuan Malaysia. Baginda merupakan lambang kedaulatan dan menjadi penaung kepada kekuatan negara. Majlis Angkatan Tentera dibawah kuasa am YDPA bertanggungjawab untuk memerintah, menjaga tatatertib, mentadbir dan menguruskan segala perkara yang berhubung dengan angkatan tentera. Baginda juga berkuasa untuk menjatuhkan hukuman, mengampunkan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan dalam mahkamah tentera. YDPA juga berkuasa mengampunkan kesalahan – kesalahan lain di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan dan segala hukuman dijatuhkan dalam mahkamah syariah di Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
Dari aspek agama, YDPA ialah ketua agama Islam bagi negeri - negeri yang tidak beraja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. YDPA merupakan pelindung dan penaung agama Islam di kawasan – kawasan tersebut. YDPA juga menjadi ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri.
Dalam bidang perundangan, YDPA bertanggungjawab untuk memperkenankan rang undang – undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diisytiharkan menjadi undang – undang yang sah. Semua perlaksanaan undang – undang yang diluluskan oleh Parlimen memerlukan pengiktirafan baginda sebelum dikuatkuasakan. Baginda mestilah mengiktiraf undang – undang yang baharu dalam tempoh 30 hari selepas diluluskan oleh Parlimen. Sekiranya baginda tidak bersetuju dengan rang undang – undang, baginda boleh merujuknya kepada Parlimen untuk dibincangkan semula.
Selain itu, YDPA mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri, Hakim dan Jemaah Menteri. Baginda juga berkuasa melantik dan mewujudkan jawatan Jemaah Menteri atas nasihat Perdana Menteri. Baginda berkuasa melantik anggota Jemaah Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja – Raja. YDPA juga bertanggungjawab untuk melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Agong  dan hakim – hakim mahkamah tinggi. YDPA turut bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa masyarakat Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Seterusnya, YDPA juga berkuasa untuk memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri. Tiada orang lain yang berhak melaksanakan tanggungjawab tersebut. Baginda juga boleh menolak permintaan untuk membubarkan Parlimen jika belum cukup tempoh lima tahun. Baginda boleh memberikan ucapan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Di samping itu, YDPA boleh meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja – Raja tentang keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja – Raja Melayu.
Di samping itu, YDPA juga bertanggungjawab mentauliahkan duta – duta yang dihantar ke luar negara dan menerima tauliah duta dari negara asing. Baginda juga perlu menyambut tetamu luar negara yang setaraf dengan baginda seperti Ratu England atau Maharaja Jepun. Baginda juga berperanan menganugerahkan pingat kehormat kepada orang yang telah berjaya atau berjasa kepada negara.
Baginda juga mempunyai kuasa mengisytiharkan Undang-undang Darurat di bawah “Undang-undang X” jika didapati keselamatan negara terancam. YDPA juga bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan rakyat secara menyeluruh.

C. Kesimpulan
 YDPA sebagai ketua negara memikul peranan dan tanggungjawab tidak terhad di dalam dan luar negara. Namun dalam menjalankan kuasa eksekutif, baginda bertindak atas nasihat Perdana Menteri. YDPA adalah simbol keunikan sistem pemerintahan beraja berpelembagaan yang diamalkan di negara kita sejak mencapai kemerdekaan sehingga hari ini.
SUMBER-SKEMA 
PERCUBAAN SEJARAH STPM P3 NEGERI PAHANG 2016




JELASKAN SISTEM PEMERINTAHAN DEMOKRASI BERPARLIMEN DI MALAYSIA SELEPAS 1957.

A. Pengenalan 
Selepas Perang Dunia Kedua tamat, kerajaan British telah memperkenalkan Perlembagaan Malayan Union pada 1 April 1946. Butir-butir perlembagaan Malayan Union mendapat tentangan daripada orang Melayu lalu digantikan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perlembagaan ini menjadi teras sistem demokrasi berparlimen berdasarkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.
B. Isi-Isi:
Sistem Kerajaan Demokrasi Berparlimen
1.      Yang Dipertuan Agong
-          Sistem kerajaan Malaysia berasaskan perlembagaan yang banyak persamaan dengan perlembagaan di Britain dan India. Mengikut perlembagaan Malaysia, ketua negara ialah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Baginda ialah seorang raja berperlembagaan.
-          Dalam menjalankan kuasa pemerintahan di bawah perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
-          Mengikut undang-undang parlimen Malaysia yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara (wakil dari perkhidmatan awam), Dewan Rakyat (wakil yang dipilih) dan badan kehakiman.
-          Perlembagaan boleh diubah dengan keizinan sekurang-kurangnya dua per tiga ahli Dewan Rakyat.
-          Satu perbezaan dalam perlembagaan yang tidak ada di negara-negara lain ialah Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-raja daripada kalangan 9 orang Sultan Melayu.
-          Sebagai ketua negara, baginda mempunyai kuasa mengampunkan kesalahan-kesalahan lain dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan segala hukuman yang dijatuhkan dalam mahkamah Syariah di Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
-          Baginda juga memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.
-          Baginda juga boleh mengisytiharkan undang-undang tentera dan darurat.

2.      Badan Legislatif/Parlimen

2.1 Dewan Negara
-          Adalah majlis tertinggi Parlimen. Tugas utamanya ialah membahas rang undang-undang yang dikemukakan oleh Dewan Rakyat.
-          Dewan Negara mengandungi 69 orang ahli yang dipilih dan dilantik. 26 orang ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri, dan 43 orang ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
-          Ahli Dewan Negara berkhidmat sebagai anggota Dewan selama 3 tahun dan tertakluk sama ada dia akan dilantik dan dipilih semula.

2.2  Dewan Rakyat
-          Dewan Rakyat terdiri daripada 222 wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya.
-          Tugas utama Dewan Rakyat ialah menggubal undang-undang dan meluluskan undang-undang.

3.      Badan Eksekutif 
-          Badan eksekutif memainkan peranan menjalankan dasar-dasar pentadbiran kerajaan mengikut perlembagaan dan undang-undang yang ada.
-          Pentadbiran kerajaan terbahagi kepada peringkat Persekutuan, Negeri dan Tempatan.
-          Pentadbiran peringkat Persekutuan dijalankan oleh Kabinet atau Jemaah Menteri
-          Jemaah Menteri diketuai oleh Perdana Menteri dengan dibantu oleh Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri  lain sebagai ahli.
-          Bagi menjalankan tugas-tugas eksekutif Kerajaan Persekutuan, beberapa buah kementerian, jabatan, dan badan berkanun diwujudkan.
-          Setiap kementerian diketuai oleh seorang Menteri dan dibantu oleh Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Setiausaha Politik, Ketua Setiausaha Kementerian, Pegawai Kementerian, dan kakitangan yang dikenali sebagai pegawai kerajaan.

4.      Badan Kehakiman
-          Mahkamah merupakan badan bebas yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.
-          Terdiri daripada Mahkamah Agung atau Persekutuan, Mahkamah Tinggi Mahkamah Rendah, Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri Sabah dan Sarawak yang mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam menjalankan kuatkuasa undang-undang sama ada kes sivil dan kes jenayah.
C. Kesimpulan.

Sebagai kesimpulannya, sistem pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1957 hingga tahun 2000 adalah melalui proses demokrasi. Prinsip-prinsip yang menentukan bentuk kerajaan yang boleh didirikan dan kuasa yang digunakan ditentukan oleh perlembagaan. Jelaslah doktrin pengagihan kuasa tiga badan yang telah ditentukan mesti dipatuhi supaya tidal berlaku penyalah gunaan kuasa. 
SUMBER-

JPN PAHANG SKEMA PERCUBAAN STPM P3 940

Soalan 3 : Bincangkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia selepas mencapai kemerdekaan.

A. PENGENALAN 
1.       Selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 , Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dengan prinsip Raja Berperlembagaan di mana Yang Di Pertuan Agong merupakan ketua negara
2.      Demokrasi berparlimen ialah satu sistem kerajaan yang dipilih secara bebas oleh rakyat. Salah satu ciri sistem Demokrasi Berparlimen ialah Doktrin Pengasingan Kuasa iaitu pembahagian kuasa kerajaan  kepada tiga cabang pemerintahan iaitu badan eksekutif , legislatif dan Judisiari

B. ISI
Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen
1. Badan legislatif
i)   Yang Di Pertuan Agong 
a)      Raja Berpelembagaan merupakan Ketua Negara.
b)      Dipilih secara bergilir-gilir pada setiap lima tahun sekali oleh Majlis Raja-raja dalam  kalangan 9 orang sultan negeri-negeri di Malaysia.
c)      Yang Di Pertuan Agong dalam melaksanakan kuasa pemerintahan bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
Kuasa Yang Di Pertuan Agong :
a.       Melantik Perdana Menteri
b.      Mengisytiharkan pembubaran parlimen atau tidak memperkenankan pembubaran parlimen
c.       Berkuasa memanggil parlimen supaya bersidang
d.      Mengisytiharkan undang-undang tentera atau darurat dengan persetujuan Jemaah Menteri
e.       Bertanggungjawab melindungi dan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak
f.       Mengadakan mesyuarat Majlis Raja-raja untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan keistimewaan,kehormatan,kedudukan dan kemuliaan Raja-raja Melayu
g.      Mempunyai kuasa mengampunkan kesalahan-kesalahan lain dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan segala hukuman yang dijatuhkan dalam Mahkamah Syariah di Melaka,Pulau Pinang,Sabah,Sarawak dan Wilayah Persekutuan
h.      Pemerintah tertinggi angkatan tentera dan ketua agama Islam bagi Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan ,Sabah dan Sarawak.
i.        Memperkenankan rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
ii )        Dewan Rakyat 
Dewan Rakyat adalah badan perundangan tertinggi negara
a.       Dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya umum
b.      .Dewan Rakyat adalah majlis bagi wakil rakyat
c.       Setiap ahli mewakili satu kawasan pilihanraya parlimen
d.      Bilangan ahli dewan Rakyat ialah seramai 222 orang yang dipilih melalui pilihanraya
e.       Bilangan keanggotaan ahlinya boleh diubah melalui undang-undang yang diluluskan oleh parlimen
f.       Jawatan berakhir apabila parlimen dibubarkan
g.      Tempoh jawatan seseorang ahli Dewan Rakyat ialah lima tahun
h.      Ahli Dewan Rakyat mestilah mengangkat sumpah taat setia kepada Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan sebelum mengambil tempat dalam dewan
i.        Tugas utama Dewan Rakyat ialah menggubal dan meluluskan rang undang-undang
j.        Seseorang ahli boleh berhenti bila-bila masa daripada menjadi ahli Dewan Rakyat dengan mengemukakan surat perletakan jawatan kepada Yang Di Pertua Dewan Rakyat
k.      Jika berlaku kekosongan dalam Dewan Rakyat yang disebabkan oleh perletakan jawatan,kematian atau hilang kelayakan,maka kekosongan tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari mulai tarikh berlaku kekosongan itu di Semenanjung Malaysia atau 90 hari di Sabah dan Sarawak.
l.        Satu pilihanraya kecil akan diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut
iii)    Dewan Negara
 Di Malaysia Dewan Negara merupakan Majlis Tertinggi parlimen
a.       Anggota Dewan Negara dikenali sebagai senator
b.      Mempunyai 69 orang ahli yang dipilih dan dilantik
c.       26 dipilih oleh Dewan-dewan Undangan Negeri
d.      43 orang ahli dilantik oleh Yang Di Peruan Agong
e.       Sama taraf dengan ahli Dewan Rakyat dan boleh dilantik sebagai menteri
f.       Ahli biasanya terdiri daripada warganegara yang telah berkhidmat dengan cemerlang atau mencapai taraf kegemilangan dalam pelbagai lapangan seperti perkhidmatan awam,perdagangan,perusahaan,pertanian, dan perkhidmatan masyarakat.
g.      Dewan Negara tidak mempunyai kuasa menolak sesuatu rang undang- undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat
h.      Hanya berkuasa menangguhkan sesuatu rang undang-undang yang telah diluluskan itu daripada dikemukan kepada Yang Di Pertuan Agong.
j.        Rang undang-undang kewangan hanya boleh ditangguhkan selama satu bulan. Rang undang-undang lain selama satu tahun
k.      Bertindak sebagai badan penyemak undang-undang

2. Badan Eksekutif
 i) Jemaah Menteri atau Kabinet
a.       Badan pembuat dasar tertinggi negara yang menjalankan kuasa eksekutif.
b.      ·Tugas utama ialah menggubal dasar-dasar kerajaan semua perkara dan memberi arahan kepada jentera kerajaan di peringkat persekutuan melaksanakan dasar-dasar tersebut
c.       .Diketuai oleh seorang Perdana Menteri iaitu seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan daripada sebahagian besar ahli-ahli dewan.
d.      Tugas utama Perdana Menteri ialah mengetuai kabinet,memimpin kerajaan,menjalankan pentadbiran dan menggubal dasar-dasar kerajaan · Perdana Menteri boleh melantik Timbalan Perdana Menteri,Menteri-menteri,Timbalan-Timbalan Menteri dan setiausaha-setiausaha parlimen untuk membantu beliau dalam melicinkan urusan pentadbiran negara
e.       Tugas Timbalan Perdana Menteri ialah membantu Perdana Menteri menjalankan tugas-tugas itu semasa Perdana Menteri bercuti atau berada di luar negara.
f.       Kementerian diketuai oleh seorang Menteri yang akan dibantu oleh Timbalan Menteri,Setiausaha Parlimen,Setiausaha Politik,Ketua Setiausaha Kementerian,pegawai kementerian dan kakitangannya yang dikenali sebagai pegawai kerajaan
g.      Kementerian lazimnya mempunyai bahagian pusat,negeri dan daerah. · Selain itu terdapat kementerian yang mempunyai badan tertentu misalnya Arkib Negara Malaysia dan Muzium di bawah Kementerian Kebudayaan,Kesenian dan Pelancongan dan mempunyai Ketua Pengarah.
h.      Perlantikan pegawai dan menjaga disiplin pegawai beberapa Suruhanjaya dilantik, misalnya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Suruhanjaya Undang-undang dan kehakiman.
 3. Badan Kehakiman
i) Mahkamah Agong/Persekutuan
a.       Mahkamah Agong merupakan mahkamah yang tertinggi di Malaysia
b.      Mengandungi Ketua Hakim Negara, kedua-dua Hakim Besar Malaya dan Borneo serta tujuh orang hakim Mahkamah Agong
c.       Biasanya Mahkamah Agong bersidang di dalam panel mengandungi tiga orang hakim yang dipilih oleh Ketua Hakim Negara
d.      Antara bidang kuasa Mahkamah Agong ialah mendengar dan menentukan rayuan-rayuan kes jenayah dan sivil terhadap keputusan Mahkamah Tinggi,menentukan sah undang-undang yang digubal oleh Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, memutuskan pertikaian di antara kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan atau di antara negeri-negeri dan menasihati Yang Di Pertuan Agong dalam soal menguatkuasa mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan
ii) Mahkamah Tinggi
a.       Terdiri daripada Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo
b.      Mempunyai kuasa pengadilan asal,rayuan dan pengawasan.Mempunyai kuasa yang tidak terhad dalam menjalankan pengadilan ke atas kes jenayah asal.
c.       Biasanya kes-kes jenayah yang terletak di luar bidang kuasa pengadilan Mahkamah Rendah sahaja dibawa kepada Mahkamah Tinggi untuk pengadilan
d.      Mahkamah Tinggi mendengar rayuan bagi kes-kes sivil dan jenayah dari Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen.
e.       Mempunyai kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas keputusan semua kes sivil dan jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah.Keputusan sivil dan jenayah Mahkamah Tinggi boleh dikemukakan untuk rayuan kepada Mahkamah Agong.
 iii) Mahkamah Rendah
a.       Terdiri daripada Mahkamah Sesyen,Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu.
b.      Mahkamah Sesyen dipengerusikan oleh seorang pegawai yang digelar hakim
c.       Beliau mempunyai kuasa pengadilan jenayah bagi semua kesalahan kecuali kesalahan yang membawa hukuman mati dan penjara seumur hidup
d.      Mempunyai kuasa membicarakan kes-kes sivil yang melibatkan jumlah wang yang tidak dituntut tidak melebihi seratus ribu ringgit
e.       Mahkamah Majistret pula ditugaskan untuk mengendalikan kes-kes jenayah dan sivil.
f.       Dipengerusikan oleh seorang majistret yang dilantik oleh Raja atau Yang Di Pertua Negeri bagi negeri tempat majistret itu berkhidmat
g.      Terbahagi kepada dua peringkat iaitu Mahkamah Majistret Kelas Satu dan Majistret Kelas Dua.
h.      Mahkamah Majistret kelas satu boleh membicarakan kes sivil yang nilai harta dalam perbicaraan tidak lebih daripada RM25,000.00
i.        Dalam kes jenayah,mempunyai kuasa untuk membicarakan semua kes yang hukuman maksimum bagi kesalahan itu tidak melebihi 10 tahun penjara atau dihukum denda sahaja
j.        Majistret Kelas Dua menjalankan tugas-tugas kecil seperti menyebut kes-kes dan membenarkan jaminan.
k.      Boleh mengadili kes-kes jenayah yang hukuman bagi kesalahan itu tidak lebih daripada 12 bulan penjara atau dengan denda sahaja.
l.        Kuasa untuk menjatuhkan hukuman juga terhad iaitu tidak lebih daripada enam bulan atau denda tidak lebih daripada RM1000 atau kedua-dua sekali
C. KESIMPULAN
1.      Secara amnya sistem pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1957 hingga 1963 adalah melalui proses demokrasi.
2.      Perlembagaan digubal untuk menjaga kepentingan dan keistimewaan semua kaum yang ada. Prinsip-prinsip yang menentukan bentuk kerajaan yang boleh didirikan dan kuasa yang boleh digunakan oleh kerajaan semuanya ditentukan seharusnya dipatuhi agar tidak berlaku penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana badan tersebut.


 SUMBER-
SKEMA PEPERIKSAAN  PERCUBAAN  STPM SEJARAH PENGGAL 3 2017 TERENGGANU




Isnin, 13 Ogos 2018

Pembentukan Malaysia 16 September 1963

FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN MALAYSIA
OLEH- AHMAD BIN YAAKOB
Hasil pembelajaran-membincangkan faktor-faktor pembentukan Malaysia
Pembentukan Malaysia
Latar belakang.
Idea pembentukan Malaysia telah dicadangkan sejak awal kurun ke-19 oleh beberapa orang pegawai British.. Pada 27 Mei 1961, Tuanku Abdul Rahman bersetuju dengan pembentukan Malaysia. Beliau telah mengumumkan dalam majlis makan tenga hari anjuran Persatuan Wartawan Luar Negeri di Hotel Adelphi, Singapura.Pembentukan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura menjadi kenyataan pada 16 September 1963.[1]

Faktor-Faktor Pembentukan Malaysia
1.Politik
i.Ancaman komunis di Singapura,
Komunis menyusup masuk ke dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew sejak 1959.Pengaruh komunis semakin kuat apabila bekas anggota PAP berhaluan kiri menubuhkan menubuhkan Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong.Kekalahan calon PAP dalam dua pilihanraya kecil tahun  1961 bagi kawasan Hong Lim dan Anson memperlihatkan pengaruh komunis semakin merebak di Singapura.[2]
ii.Ancaman komunis di Sarawak.
iii.Ancaman komunis di Indonesia dan Brunei.
iv.Mempercepatkan proses kemerdekaan.
2.Ekonomi
i.Kerjasama ekonomi.
3.Sosial
i.Keseimbangan kaum.
Reaksi pembentukan Malaysia
i.Dalam negeri
1.Persekutuan Tanah Melayu.
2.Singapura
3.Sabah.
4.Sarawak

ii.Luar negeri
1.British
ii.Filipina
iii.Indonesia
Isi-isi Perjanjian Malaysia 1963
1.Urusan hal-ehwal luar di bawah kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur.
2.Agama Islam agama rasmi Persekutuan , kecuali sabag dan Sarawak. Agama lain bebas diamalkan.
3.Bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Bahasa lain bebas digunakan.
4.Bahasa rasmi Sabah dan Sarawak ialah Bahasa Inggerissehingga 10 tahun selepas hari Malaysia.
5.Sabah dan Sarawak diberi kuasa mengawal hal ehwal imigresen dan perkhidmatan awam sendiri.
6.Perwakilan parlimen.
Sarawak24 kerusi, Sabah 16 dan Singapura 15 kerusi.
7.Bumiputera Sabah dan Sarawak mendapat taraf yang sama dengan orangMelayu di Persekutuan Tanah Melayu.[3]


[1]Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),193.
[2]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf,AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3  Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford Fajar,2013) ,201.  
[3]“Perjuangan Mencapai Kemerdekaan”, dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah Penggal 3,82.