Selasa, 23 Februari 2021

Saksi ketua platun mati ditembak komunis

MyMetroMutakhir



Mohd Amin Jalil

am@hmetro.com.my

Seremban: Pengalaman bertempur dengan komunis dan menyaksikan ketua platun sendiri maut ditembak komunis dalam serang hendap, sukar dilupakan sepanjang hayat buat bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH), Mohd Noh Mansor.

Mohd Noh, 71, berkata kejadian itu berlaku berhampiran Sungai Batang Rajang di Sarikei, Sarawak pada awal tahun 1971, ketika beliau bersama Platun 10 PPH berpangkalan di Sungkai Perak, sedang mengadakan operasi memburu komunis di sepanjang pinggir sungai itu.

"Saya bersama 36 anggota dalam Platun 10 diberi tugas mengawal kawasan di situ selepas mendapat maklumat terdapat saki baki anggota komunis berkeliaran di kawasan terbabit.

"Bagaimanapun dalam operasi itu, platun kami diserang hendap sekumpulan komunis dengan ketua platun ketika itu yang dikenali sebagai Sarjan Lee, mati apabila terkena tembakan di bahagian dahi.

"Saya bersama rakan dalam platun ketika itu tergamam atas kejadian yang berlaku di depan mata dan kemudian bertindak balas menembak kembali ke arah kumpulan komunis berkenaan," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Hari Bersama Pesara/Bekas Polis anjuran Persatuan Bekas Anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PB Skuad 69) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, hari ini.

Mohd Noh yang kini menetap di Taman Panchor Jaya Paroi, di sini, berkata kejadian itu membakar semangat rakan lain untuk terus berjuang memburu komunis.

Bapa kepada dua anak itu berkata, selepas kejadian itu beliau tidak ketinggalan menyertai pelbagai operasi membanteras komunis di beberapa tempat di Sabah dan Sarawak selain di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Menurutnya, peristiwa lain yang turut dikenang sehingga sekarang termasuk platun dianggotainya diserang hendap komunis yang berlaku di kawasan Sungai Bidut Sibu, Sarawak, pada petang menjelang sambutan Aidilfitri pada 1971.

"Ketika itu kami sedang membuat persiapan untuk balik ke unit bagi menyambut Aidilfitri keesokannya, tetapi kami diserang hendap kumpulan komunis pada jam 5 petang, menyebabkan hasrat untuk pulang terpaksa dilupakan."Sebaliknya kami diarah terus bertahan di lokasi berkenaan sehingga kawasan itu selamat daripada saki baki komunis.

"Syukur ketika itu tiada kalangan anggota pasukan yang menjadi sasaran atau ditembak oleh komunis," katanya yang memasuki PPH pada 8 Jun 1969.

Beliau yang berkhidmat dalam PDRM selama 36 tahun termasuk dalam PPH selama 26 tahun dan bakinya sebagai anggota polis biasa selama 10 tahun, akui pengalaman bertempur dengan komunis adalah detik sukar yang tidak mungkin dilupakan.

"Sepanjang perkhidmatan dalam PPH, tidak kurang 15 operasi dan pertempuran melawan komunis yang saya sertai dengan kebanyakannya di Sabah dan Sarawak, bagi menjaga keselamatan tanah air," katanya.

Menurut Mohd Noh, atas segala perjuangan dan sumbangannya dalam perkhidmatan itu, beliau menerima beberapa anugerah antaranya Pingat Jasa Pahlawan Negara yang diterimanya sebelum bersara pada 2005.

Beliau berkata, Sultan Pahang ketika itu, Allahyarham Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'azzam Shah menyampaikan anugerah berkenaan pada satu majlis yang berlangsung di Kuantan.

"Semua pengalaman itu amat berharga. Saya juga berterima kasih kepada rakan seperjuangan dahulu yang tidak pernah gentar dalam menjalankan tugas," katanya yang menamatkan perkhidmatan sebagai Lans Koperal di IPK Seremban pada 2005.

Beliau kini aktif dalam persatuan pesara polis berkenaan sebagai ahli jawatankuasa bagi mengisi masa lapang selepas bersara.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 3:47 PM

Kayuhan Azizulhasni, Harrif luar biasa

MyMetroArena



Malik Muhamad

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri menyifatkan kejayaan dua jaguh lumba basikal, Mohd Azizulhasni Awang dan Mohd Harrif Saleh mengharumkan nama negara di persada dunia adalah pencapaian luar biasa ketika dunia masih lagi 'berperang' dengan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pencapaian dua pelumba kelahiran Terengganu itu juga adalah permulaan yang baik hasil usaha gigih dan pengorbanan mereka serta rakan sepasukannya termasuk pihak pengurusan pasukan masing-masing.

"Ini permulaan yang baik buat dua pelumba itu serta pasukan mereka dalam kalendar kejohanan pada tahun ini.

"Kejayaan ini juga adalah pencapaian luar biasa yang dilakar dua pelumba itu, bagi kerajaan negeri kita begitu berbangga dan gembira kerana mereka berjaya menggegarkan dunia dengan kejayaan yang diraih itu.

"Apa yang kita harapkan kejayaan itu tidak terhenti di situ, sebaliknya perlu berusaha lebih lagi dalam memburu lebih banyak podium pada kejohanan akan datang.

"Buat jaguh trek, Azizulhasni yang digelar 'The Pocket Rocketman' kejayaan itu juga bakal menyuntik lagi motivasinya untuk mencipta kejayaan yang lebih membanggakan buat negara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo, Jepun pada Julai tahun ini.

"Begitu juga dengan jaguh lebuh raya, Harrif yang bakal menyarung jersi skuad kebangsaan pada temasya Sukan Sea di Vietnam pada November ini selain mengintai peluang ke pentas Olimpik.

"Kerajaan meletakkan harapan yang tinggi kejayaan pelumba itu mampu menjadi sumber inspirasi kepada semua atlet lain kerana setiap kejayaan cemerlang sudah pasti bakal mendapat penghargaan daripada kerajaan negeri sebagaimana Azizulhasni yang dihadiahkan wang tunai sebanyak RM100,000 sebagai insentif kerana berjaya ke Olimpik Tokyo manakala Hariff mendapat sebidang tanah baru-baru ini atas kejayaan terdahulu," katanya.

Sabtu lalu Azizulhasni merangkul gelaran juara dalam Kejohanan Trek Elit Victoria dengan catatan 10.126 saat (s) dalam kelayakan pecut individu dalam saingan yang berlangsung di Velodrome Pusat Sukan Antarabangsa Darebin di Melbourne.

Berselang enam jam selepas itu, Harrif yang dilantik sebagai kapten pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) pula membuktikan kayuhannya masih belum 'berkarat' walaupun hampir setahun tidak menyertai perlumbaan selepas muncul pelumba pertama ke garisan penamat Grand Prix Velo Manavgat berstatus 1.2 di Turki.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 7:11 PM

Sabtu, 20 Februari 2021

Imam Ahmad hafaz satu juta hadis

MyMetroAddin



Dr Mohd Khafidz Soroni

Nama Imam Ahmad sebagai pengasas mazhab Hanbali, satu daripada empat mazhab fiqah yang terkenal bukanlah asing lagi.

Nama lengkap beliau ialah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris as-Syaibani. Beliau dilahirkan di Baghdad pada Rabiulawal 164H.

Imam Ahmad dibesarkan di Baghdad, pusat kegiatan dan perkembangan ilmu di zaman itu. Pada tahun 179H, ketika berumur 15 tahun beliau mula menuntut ilmu dan belajar hadis. Setelah itu, hatinya terus jatuh cinta terhadap ilmu dan terus tekun untuk belajar.

Pada masa ini, beliau banyak mendampingi gurunya, Husyaim bin Basyir dan menulis lebih 3,000 hadis daripadanya. Setelah kewafatannya, Imam Ahmad mengembara ke Kufah, Basrah, Makkah, Madinah, Yaman, Syam dan Khurasan.

Beliau menempuh pelbagai cabaran dan kesukaran dalam menuntut ilmu. Katanya: "Aku pernah mengembara menuntut ilmu dan sunah ke segenap benteng negeri, daerah-daerah Syam, lembah-lembah, wilayah Barat, kawasan semenanjung, Makkah, Madinah, Hijaz, Yaman, Iraq Arab, Iraq Ajam, Parsi, Khurasan dan pelbagai daerah pergunungan serta daerah pinggiran. Kemudian barulah aku pulang ke Baghdad."

Imam Ahmad berguru dengan 415 syeikh termasuk seorang guru wanita. Antara gurunya ialah Imam as-Syafie, Abd ar-Razzaq bin Humam as-San'ani, Ismail bin Ulayyah, Jarir bin Abd al-Hamid, Sufyan bin Uyainah, Abdur Rahman bin Mahdi, Waki' bin al-Jarrah, Yazid bin Harun, al-Qadi Abu Yusuf, Yahya bin Said al-Qattan dan Sulaiman bin Harb.

Apabila beliau kembali ke Baghdad, namanya menjadi masyhur dan dikenali dengan sifat soleh, warak, zuhud serta alim.

Penguasaan ilmu hadisnya cukup luar biasa sehinggakan Imam as-Syafie pernah merujuk hadis kepada beliau. Kata Imam as-Syafie kepadanya: "Kamu lebih alim tentang hadis sahih berbanding kami. Sekiranya hadis sahih itu berada di Kufah, Basrah atau Syam maka beritahulah kepadaku sehingga aku dapat pergi kepadanya."

Beliau turut mempunyai ingatan yang cukup kuat. Kata Imam Abu Zur'ah: "Beliau menghafaz satu juta hadis." Katanya lagi: "Kami menghitung pendalilan Ahmad di dalam pelbagai ilmu maka kami dapati beliau menghafal 700,000 hadis berkaitan dengan hukum-hakam.".Al-Hafiz az-Zahabi mengulas dalam Siyar A'lam an-Nubala' bahawa jumlah itu adalah termasuk riwayat yang berulang-ulang, athar sahabat dan fatwa tabiin.

Karya agung beliau ialah kitab al-Musnad yang menghimpunkan 28,141 hadis yang dipilih daripada lebih 750,000 hadis. Ia disusun mengikut susunan nama sahabat RA. Namun, beliau tidak menyaring dan menerangkan status hadisnya kerana tujuannya ialah mengumpulkan hadis yang masyhur pada zamannya. Oleh itu, terdapat pelbagai status hadis antara sahih, hasan, daif dan amat daif. Dalam kitab al-Qawl al-Musaddad, al-Hafiz Ibn Hajar menafikan adanya hadis palsu di dalam kitab Musnad Ahmad.

Antara karya lain ialah an-Nasikh wa al-Mansukh, at-Tarikh, al-Manasik, Kitab al-'Ilal, az-Zuhd, Fadha'il as-Sahabah, Kitab al-Fitan, al-Fara'idh, Kitab al-Iman, al-Asyribah, al-Masa'il dan Kitab al-Imamah. Imam Ahmad mempelajari ilmu fiqah daripada Imam as-Syafie sehingga beliau mahir dan handal. Namun, fatwa beliau kebanyakannya berbentuk hadis tidak seperti fatwa ulama fiqah lain. Kini keseluruhan ilmu diriwayatkan daripada beliau sama ada akidah, fiqah, hadis, tafsir dan sebagainya dikumpulkan dalam sebuah ensiklopedia terdiri daripada 22 jilid berjudul al-Jami' li 'Ulum al-Imam Ahmad. Malah, dikatakan masih banyak data yang belum dijumpai atau hilang.

Antara murid beliau ialah dua anaknya, Soleh dan Abdullah bin Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ali bin al-Madini, Yahya bin Ma'in, Abu Zur'ah, Abu Hatim, Ahmad bin Soleh, Abu Bakar al-Athram, Abu Bakar al-Marwazi, Harb ibn Isma'il al-Kirmani dan Ibrahim al-Harbi.

Imam Ahmad pernah dipenjarakan selama 28 bulan dan disebat kerana enggan mengatakan 'al-Quran itu makhluk' pada zaman Khalifah al-Mu'tasim yang berpegang dengan fahaman Muktazilah.

Pada zaman Khalifah al-Wathiq pula, beliau cuba diusir dari Baghdad menyebabkan terpaksa bersembunyi sehinggalah kematian khalifah.

Apabila Khalifah al-Mutawakkil yang menjunjung fahaman Ahlus Sunnah menaiki takhta 232H, beliau menghapuskan pegangan khalifah sebelumnya.

Beliau memuliakan Imam Ahmad dan menghantar sejumlah wang kepadanya.

Imam Ahmad meninggal dunia pada Jumaat 12 Rabiulawal 241H di Baghdad pada usia 77 tahun. Apabila beliau meninggal dunia, dikatakan lebih sejuta orang datang menziarahi jenazahnya.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 7:15 AM

Jumaat, 19 Februari 2021

Malaysia cipta nama anugerah alam sekitar Asia

MyMetroMutakhir



Rafidah Mat Ruzki

fidahruzki@bh.com.my

Putrajaya: Kejayaan di peringkat antarabangsa dicapai apabila Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) untuk membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar dipilih antara pemenang Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia 2020 semalam.

Pengiktirafan itu diumumkan pada Majlis Asia Environmental Enforcement Awards kelima anjuran Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata operasi itu yang dilaksanakan kementerian itu melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dipilih antara pemenang anugerah itu di Majlis Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia ke-5 anjuran United Nations Environment Programme (UNEP).

Beliau berkata, OBK yang dilancarkan pada 3 September 2019 turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Negeri, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), Perbadanan Taman Negeri Johor (PTNJ) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Anugerah ini adalah berdasarkan kejayaan cemerlang OBK pada 2019 apabila seramai 87 pesalah ditangkap dengan jumlah sitaan bernilai RM2.7 juta serta memusnahkan sebanyak 460 jerat dawai.

"Pada 2020 pula, seramai 140 pesalah ditangkap dengan jumlah sitaan bernilai RM1.85 juta serta sebanyak 672 jerat

dawai dimusnahkan," katanya tadi.

Shamsul Anuar berkata, OBK masih giat dilaksanakan pada tahun ini dan diperkukuhkan bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

Beliau turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Jabatan PERHILITAN, PDRM, JKDM, JPSM dan semua pihak yang terbabit dalam menjayakan OBK.

Katanya, kerjasama strategik seumpama itu bukan sahaja akan diteruskan malah akan diperkukuhkan bagi menjaga khazanah biodiversiti negara yang tidak ternilai.

Selain itu, Shamsul Anuar turut mengajak semua pihak berganding bahu memperhebatkan usaha dalam membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar.

Menurutnya, OBK masih giat dilaksanakan pada tahun 2021 dan diperkukuhkan di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 9:59 PM



Khamis, 18 Februari 2021

CEO Amazon kembali rampas takhta orang terkaya dunia

MyMetroGlobal



Agensi

New York: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon.com Inc, Jeff Bezos merampas semula 'takhta' sebagai individu paling kaya di dunia selepas gelaran itu jatuh kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk untuk tempoh enam minggu.

CNet melaporkan Bezos merangkul kembali kedudukan nombor satunya dengan kekayaan bersih 191.2 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) (RM772.12 bilion) atau lebih 955 juta dolar AS (RM3.86 bilion) berbanding Musk apabila saham Tesla Inc merosot 2.4 peratus.

Dengan itu, kekayaan bernilai 4.6 bilion dolar AS (RM18.58 bilion) yang dimiliki CEO pengeluar kereta elektrik itu turut jatuh dalam kedudukan teratas ranking Indeks Billionaires Bloomberg.

Bezos yang sebelum ini memegang gelaran itu selama lebih tiga tahun hingga bulan lalu baru-baru ini mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai CEO syarikat gergasi e-dagang itu pada suku ketiga untuk memberi tumpuan kepada projek lain.

Sementara itu, kemunculan Musk di media sosial kelihatan berterusan, namun saham Tesla merosot hampir 10 peratus dari paras puncak pada 26 Januari.

Beliau turut menyemarakkan GameStop Corp yang didorong oleh Reddit dan menyebabkan saham Etsy Inc, Shopify Inc, CD Projekt SA serta Signal Advance Inc melonjak menerusi ciapannya di Twitter yang mengujakan.

Baru-baru ini, beliau menaikkan harga Bitcoin dan juga Dogecoin, mata wang kripto yang kurang dikenali, juga menerusi 'tweet' awal bulan ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 4:15 PM

Jumaat, 12 Februari 2021

Jijoe layak digelar 'Raja Pecut Dunia'

MyMetroArena


Aida Adilah Mat

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejayaan jaguh berbasikal Azizulhasni Awang mengungguli carta dunia dalam acara pecut turut mendapat perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin dalam satu hantaran yang di muat naik dalam Facebooknya berbangga dengan kejayaan Azizul mengungguli ranking dunia itu.

Tegas Muhyiddin Azizul yang dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman itu selayaknya dipanggil 'Raja Pecut Dunia'.

"Kejayaan ini melengkapkan lagi diari gemilang arena sukan negara selepas kejayaan bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, awal bulan ini.

"Saya dan seluruh peminat sukan tanah air, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Azizulhasni.

"Semoga kejayaan beliau ini akan menjadi inspirasi kepada atlet muda serta seluruh peminat sukan berbasikal dalam mengejar cita-cita mencapai kejayaan di peringkat tertinggi," katanya.

Muhyiddin berharap kejayaan Azizul dapat dijadikan sebagai pembakar semangat untuk beraksi lebih cemerlang dalam Sukan Olimpik Tokyo akan datang.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 2:52 PM

Isnin, 1 Februari 2021

Nicol Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Dunia



Oleh Media Mulia

1 Februari 2021, 11:16 pm

PETALING JAYA: Datuk Nicol David sah dinobat sebagai pemenang anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, sebentar tadi.

Sebaik saja undian ditutup pukul 9 malam tadi, Pemegang takhta No. 1 dunia selama sembilan tahun itu menerima 318,943 undian yang diadakan secara dalam talian sejak 8 Januari lalu.

Nicol mengetepikan legenda tarik tali Ireland, James Kehoe yang mendapat 113,120 undian

Legenda powerlifting Ukraine, Larysa Soloviova di tempat ketiga dengan 80,790 undian.

Anugerah tersebut dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan ulang tahun ke-40 acara sukan dunia.

Penganjuran anugerah itu bertujuan memilih atlet terbaik sepanjang zaman yang pernah beraksi dalam mana-mana edisi sukan dunia yang diadakan buat pertama kali di Santa Clara, Amerika Syarikat pada 1981.SUMBER-SUKAN UM ONLINE