Ahad, 24 Januari 2021

Khazanah kita di bumi asing

MyMetroUtama



Oleh Muhammad Saufi dan Nor ‘Asyikin Mat Hayin

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ribuan manuskrip alam Melayu dikatakan bernilai puluhan juta ringgit tersimpan di beberapa lokasi di seluruh dunia.

Antaranya ialah di British Library, London, United Kingdom; Muzium Topkapi, Istanbul, Turki; Muzium Leiden, Belanda selain Portugal.

Manuskrip alam Melayu ini terdiri daripada pelbagai kategori, antaranya hikayat cerita Melayu, undang berkanun ketika era kegemilangan Melaka sehingga kepada surat rasmi raja-raja.

Menerusi arkib digital di British Library, wartawan menemui lebih 100 naskhah manuskrip pelbagai bidang termasuk kanun bertulis, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah serta surat daripada kesultanan Melayu kepada pembesar luar.

Arkib digital berkenaan kini boleh diakses secara percuma dengan memasukkan kata kunci 'Jawi' dan semua bahan manuskrip berkenaan ditulis dalam bahasa Jawi dan ada juga dalam bahasa Arab.

Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Syukri Yeoh Abdullah berkata, semua manuskrip berkenaan tersimpan di beberapa negara dan ia cukup terpelihara.

Menurutnya, tahap nilai sesebuah manuskrip itu diukur menerusi isi kandungannya, siapa pengarangnya dan usia manuskrip berkenaan.

Beliau berkata, setiap manuskrip itu akan memberi gambaran kepada kehidupan masyarakat, teknologi serta pengetahuan ketika ia ditulis.

"Kebanyakan manuskrip ini berusia antara 200 hingga 700 tahun termasuk manuskrip besar seperti Sejarah Melayu serta kitab-kitab awal berkaitan agama Islam.

"Kitab-kitab berkaitan hukum hakam agama ini kebanyakannya ditulis oleh ulama Nusantara sebelum manuskrip berkenaan dibawa ke negara luar untuk simpanan serta kajian.

"Saya kira, terdapat ribuan manuskrip alam Melayu masih berada di beberapa negara seperti United Kingdom dan Belanda ketika era kolonial dahulu," katanya kepada Metro Ahad.

Dr Mohd Syukri berkata, wujud juga simpanan manuskrip yang besar di Muzium Topkapi kerana alam Melayu mempunyai pertalian sejarah dengan kerajaan daulah Uthmaniyyah.

"Sebenarnya, terdapat ribuan lagi manuskrip Melayu yang masih tersimpan dan tidak keterlaluan jika saya menganggarkan puluhan ribu.

"Ada manuskrip yang masih belum dikatalogkan lagi oleh penyimpan seperti muzium di sesebuah negara. Pengkaji tempatan memerlukan kaedah khusus untuk melaksanakan kajian terhadap khazanah kita.

"Jika ada rundingan di peringkat kerajaan kepada kerajaan (G2G), pastinya kita dapat membawa pulang sebahagian besar manuskrip ini namun kita tidak begitu agresif ke arah objektif berkenaan," katanya.

Gesa wujud Pusat Manuskrip Melayu

Pusat Manuskrip Melayu perlu diwujudkan bagi memartabatkan sejarah warisan bangsa sekali gus menyangkal dakwaan bahawa bangsa Melayu lemah dan ketinggalan.

Itu cadangan Pengerusi Majlis Penasihat Peradaban Melayu, Prof Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar berhubung ribuan manuskrip alam Melayu yang bertebaran di seluruh dunia.

Abdul Latiff berkata, sudah sampai masanya kerajaan mewujudkan satu institusi khusus yang mengumpul, menyimpan serta melaksanakan kajian berhubung manuskrip lama.

"Saya sendiri pernah melihat beberapa manuskrip alam Melayu yang tersimpan di beberapa negara luar dan ia satu perasaan yang amat menggembirakan apabila melihat ketinggian warisan Melayu suatu ketika dulu.

"Wujud beberapa kaedah untuk kita bawa pulang manuskrip ini, antaranya jika tidak boleh kita ambil manuskrip asal, mungkin kita boleh buat salinan atau menerusi simpanan digital.

"Semua manuskrip ini perlulah diletakkan di suatu institusi khusus dan untuk itu saya berpandangan bahawa kewujudan Pusat Manuskrip Melayu adalah sangat penting," katanya.

Beliau berkata, pusat berkenaan perlu juga mendapat kerjasama daripada Perpustakaan Negara (PNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang memiliki kepakaran dalam pengkajian manuskrip.

Menurutnya, setiap manuskrip ini mempunyai nilai tersendiri termasuklah cerita rakyat yang turut tersimpan di negara luar kerana setiap ciri berkenaan memberi gambaran kehidupan masyarakat ketika itu.

"Saya juga amat yakin, banyak lagi manuskrip yang mungkin tidak dikatalogkan di beberapa muzium utama dunia seperti di Belanda, Itali dan United Kingdom.

"Kita bukan mahu menubuhkan pusat ini untuk berbangga dengan sejarah lalu, namun sejarah lalu memberi gambaran siapa kita pada hari ini.

"Malah, dengan kewujudan satu pangkalan data manuskrip Melayu itu, ia akan menguatkan nilai jati diri anak bangsa supaya tidak mudah diperlekeh kononnya kita ketinggalan sedangkan manuskrip berkenaan adalah bukti keupayaan kita suatu masa dulu," katanya.

Bawa pulang warisan negara

Usaha untuk membawa pulang manuskrip alam Melayu termasuk kaedah untuk menyimpan salinan berkenaan, perlu dilakukan kerana ia adalah khazanah penting negara.

Aktivis Kebudayaan dan Pengasas Pusaka, Eddin Khoo berkata, negara asing sangat berminat dengan manuskrip ini kerana mereka boleh mengetahui adat budaya Melayu termasuk latar belakang sejarah suatu ketika dulu.

Beliau yang juga anak kepada Tokoh Sejarah Negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, khazanah negara ini perlu dibawa pulang untuk kajian mendalam berhubung pelbagai bidang.

"Kita sudah mempunyai kepakaran dalam aspek penyimpanan arkib lama malah kita juga boleh melaksanakan dokumentasi digital bahan ini.

"Bagaimanapun, kita seakan kurang agresif untuk membawa pulang manuskrip ini dan hanya menilai manuskrip itu hanya buku-buku lama sedangkan terdapat ilmu pengetahuan yang bernilai di dalamnya.

"Jika ia sekadar buku lama, pastinya negara barat tidak berminat untuk menyimpannya malah banyak naskhah manuskrip alam Melayu yang dikaji oleh sarjana barat," katanya.

Menurutnya, ia memberi gambaran bahawa manuskrip ini mempunyai nilai yang tersendiri dan pengkaji tempatan perlu diberikan ruang untuk mengkaji khazanah negara ini.

"Apa yang saya tahu, kebanyakan manuskrip ini disimpan di British Library hasil koleksi beberapa tokoh sarjana barat seperti Stanford Raffles dan beberapa orang lain," katanya.

"Jika ada ruang yang diberikan oleh kerajaan untuk berunding dengan pihak beberapa muzium, pasti kita dapat membawa pulang manuskrip ini atau mempunyai salinan digital yang boleh digunakan untuk kajian lanjut," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 7:30 AM

Khamis, 21 Januari 2021

Ronaldo pecah rekod Bican

Januari 21, 2021 @ 12:41pm



Penyerang Juventus Cristiano Ronaldo bersama trofi Piala Super Itali yang dimenangi ketika dia meledak gol yang meletakkannya sebagai penjaring terbanyak dunia. - Foto AFP

Penyerang Juventus Cristiano Ronaldo bersama trofi Piala Super Itali yang dimenangi ketika dia meledak gol yang meletakkannya sebagai penjaring terbanyak dunia. - Foto AFP

MILAN: Cristiano Ronaldo mencatat sejarah sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman selepas meledak gol untuk Juventus ketika menentang Napoli pada Piala Super Itali.

Pemain 35 tahun itu berpeluang merakam rekod baharu itu ketika pertemuan dengan Inter Milan Ahad lalu, tetapi malangnya mereka tewas 2-0.

Namun Ronaldo menemui sasaran pada Piala Super Itali menentang anak buah Gennaro Gattuso dan memintas rekod Josef Bican - penyerang Austria-Czech yang meledak 759 gol antara tahun 1931 hingga 1955.

Ronaldo kini mengumpul 760 gol dalam karier gemilangnya dan ia kelihatan seperti tidak berakhir pada angka berkenaan.

Hanya seteru lama di La Liga, Lionel Messi dilihat mampu mengatasi pencapaiannya itu.

Bintang Barcelona dan Argentina itu mengumpul 715 gol dan dua tahun lebih muda berbanding Ronaldo.

3 Januari lalu, Ronaldo mengatasi rekod legenda Brazil Pele yang mencatat 757 gol dalam perlawanan rasmi.

Ronaldo dijangka masih mempunyai sekurang-kurangnya lima tahun lagi untuk terus melebarkan rekodnya. - AGENSI-SUMBER BH ONLINE

Selasa, 5 Januari 2021

Teroka khazanah Gua Kelam

MyMetroSantai



Hafiz Ithnin

hafizithnin@mediaprima.com.my

PERLIS sememangnya terkenal dengan keindahan alam semula jadinya. Kepelbagaian daya tarikan juga mampu memukau pandangan pengunjung terutama produk ekopelancongan.

Tidak sekadar melihat keindahan sawah padi yang terbentang luas dari aras mata burung apabila mendaki bukit atau gunung di sekitarnya, tetapi Perlis juga amat terkenal dengan pelbagai jenis gua.

Baru-baru ini, penulis diberi kesempatan untuk menerokai salah satu gua yang terkenal di negeri berkenaan iaitu Gua Kelam 2 yang terletak dalam Banjaran Nakawan.

Menurut penunjuk arah aktiviti mendaki gua dari Hikers Perlis, Mohd Daniel Azizan, banjaran itu sendiri mempunyai keunikan kerana ia adalah banjaran batu kapur yang terpanjang di Malaysia yang merentasi sehingga ke Thailand.

Mohd Daniel berkata, dalam Gua Kelam dapat dilihat dengan jelas peninggalan aktiviti perlombongan berusia lebih 100 tahun.

"Apabila kita memasuki Gua Kelam, terdapat banyak perkara yang dapat dipelajari kerana bukan sahaja dapat mendekatkan diri dengan aktiviti alam semula jadi, malah melihat dengan dekat sejarah pelombongan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

ANTARA laluan mencabar perlu dilalui ketika menerokai Gua Kelam

"Di Gua Kelam ini terdapat dua bahagian iaitu Gua Kelam 1 dan 2. Gua Kelam 2 antara tarikan terbaharu dan ia mempunyai laluan yang agak mencabar. Begitu sesuai bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak," katanya.

Merasai pengalaman menerokai Gua Kelam 2 sejauh 900 meter dan keluar melalui Gua Kelam 1 sejauh 370 meter tanpa disedari hampir empat jam berada dalam lokasi itu.

Ketika berada di dalamnya penulis sendiri teruja dengan keindahan Gua Kelam yang mempunyai formasi batuan yang menarik.

Bermula dari laluan panjang yang ibarat tiada penghujung bertemankan lampu jingga di sekelilingnya sehingga melalui jalan air sememangnya menawarkan panorama menarik.

Terdapat beberapa lokasi yang menjadikan anda seolah-olah berada dalam Antelope Canyon terletak nun di Arizona, Amerika Syarikat.Dalam hati penulis selepas mengambil merakam pelbagai foto dalam gua itu terdetik, tidak perlu berkelana sehingga ke luar negara untuk merakam panorama indah perbatuan semula jadi kerana di Perlis juga ada pemandangan itu.


BUNGA batu antara tarikan dalam Gua Kelam 2.

BUNGA batu antara tarikan dalam Gua Kelam 2.

DANIEL memberi penerangan mengenai batuan yang terdapat dalam gua.

DANIEL memberi penerangan mengenai batuan yang terdapat dalam gua.

Bagi mereka yang tidak membawa kamera canggih untuk merakam gambar di dalamnya juga tidak mengapa kerana dengan bantuan lampu yang dipasang di dalam gua itu memudahkan anda merakam foto.

Malah, sepanjang aktiviti penerokaan itu, Mohd Daniel yang berpengalaman mengenai sejarah dalam gua itu sentiasa memberikan pelbagai maklumat.

Antara yang menarik perhatian penulis ketika Mohd Daniel memberikan penerangan ialah tinggalan tulisan buruh lombong yang meluahkan perasaan mereka terpaksa meninggalkan keluarga kerana menjadi buruh. Tulisan itu masih utuh sehingga hari ini.

Tidak sekadar itu, pelbagai barangan perlombongan lama juga dikekalkan dalam gua itu bagi membolehkan pengunjung melihat lebih dekat peralatan digunakan buruh bagi mendapatkan bijih timah di dalamnya.

Mohd Daniel berkata, orang ramai perlu melihat sendiri tinggalan sejarah itu yang membuktikan bahawa Perlis adalah sebuah lokasi yang penting bagi British untuk mendapatkan hasil bumi di negeri itu.

"Jika ke sini anda perlu menggunakan khidmat penunjuk arah kerana golongan itu mempunyai pengalaman bukan sahaja mengenai maklumat, tetapi mampu mengurangkan risiko sesat ketika aktiviti meneroka," katanya.

BEKAS makanan dipercayai tinggalan pelombong.

BEKAS makanan dipercayai tinggalan pelombong.

BENTUK muka batuan atas gua yang menarik.

BENTUK muka batuan atas gua yang menarik.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 7:00 AM