Sebahagian tetamu yang
menghadiri Majlis Perasmian Perayaan Sambutan 100 Tahun Sekolah Clifford di
Kuala Lipis, Pahang, semalam.
KUALA LIPIS 15 Dis. - Sultan
Pahang, Sultan Ahmad Shah berbangga dapat meraikan sambutan ke-100 Sekolah
Clifford yang pernah baginda bersekolah pada 1946 iaitu ketika berusia 16
tahun.
Baginda bertitah, menjejakkan
kaki di Sekolah Clifford yang penuh bersejarah ini dapat mengimbau dan
menggamit kembali 1,001 memori sewaktu belajar selama dua tahun.
"Inilah satu-satunya
sekolah yang cukup bermakna bagi saya. Pada 1964, saya bersama paduka ayahanda
Almarhum Sultan Abu Bakar hadir meraikan Jubli Emas.
"Pada 1975 pula saya
sekali lagi hadir meraikan sambutan Jubli Intan dan hari ini dengan izin Allah
SWT saya berkesempatan hadir untuk menyaksikan sambutan 100 tahun usia sekolah
ini," titah baginda dalam Majlis Perasmian Perayaan Sambutan 100 Tahun
Sekolah Clifford dan Pengisytiharan Nama Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Clifford, di sini malam tadi.
Turut berangkat ialah Sultanah
Pahang, Sultanah Kalsom.
Yang turut hadir, Menteri
Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohamad
Safian Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Sambutan 100 Tahun Sekolah Clifford,
Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak dan Yang Dipertua, Persatuan Bekas Pelajar
Sekolah Clifford Lipis (LOCA), Shaaban Jaafar.
Lebih 1,000 bekas pelajar yang
terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia termasuk penyanyi, Datuk Siti
Nurhaliza Taruddin hadir memeriahkan majlis walaupun dalam keadaan hujan.Pada majlis tersebut, baginda
turut mengisytiharkan dewan SMK Clifford sebagai Dewan Sultan Haji Ahmad Shah.
"Saya berharap sejajar
dengan pengisytiharan tersebut, pelajar dapat menghayati dan meneruskan
kecemerlangan serta kegemilangan dalam pendidikan pada masa akan datang.
"Saya juga berharap bekas
pelajar Sekolah Clifford dapat memberi bantuan dalam apa jua bentuk dalam
memastikan sekolah ini berada di landasan kecemerlangan dan gemilang di persada
negara," titah baginda.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20131216/pe_02/Sultan-Ahmad-Shah-raikan-sambutan-ke-100-Sekolah-Clifford#ixzz2owTm0qP9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan