DIORAMA di Kompleks Sejarah Pasir Salak menggambarkan
peristiwa pembunuhan JWW Birch oleh pahlawan Melayu negeri Perak.
MESKIPUN Dato' Sagor sudah meninggal dunia 136 tahun
lalu, namun semangat perjuangan dan aura kepahlawanannya bukan sahaja mekar
sehingga hari ini tetapi amat ditakuti British satu ketika dahulu.
Pelbagai usaha dilakukan penjajah tersebut dalam usaha
melenyapkan pengaruh dan semangat Dato' Sagor dalam kalangan rakyat ketika itu.
Dalam usaha menangkap Dato' Sagor atas dakwaan bersubahat
membunuh Residen British pertama, JWW Birch, keluarga dan keturunannya turut
menjadi sasaran sehingga menyebabkan mereka menyembunyikan identiti diri.
Ketua Sidang Kampung Teluk, yang juga cicit kepada Dato'
Sagor, Ramli Ngah Mat Ali berkata, di peringkat awal keturunan Dato' Sagor
terus didiskriminasi oleh British.
"Jika British tahu kita keturunan Dato' Sagor, tidak
diterima bekerja dengan mereka, apa lagi sebagai polis atau tentera. Ini
menyebabkan waris dan keturunan Dato' Sagor terus menyembunyikan
identiti," katanya kepada S2 baru-baru ini.
Usaha melenyapkan semangat dan pengaruh Dato' Sagor atau
nama sebenarnya Ngah Kamdin dilakukan dengan penuh terancang oleh British.
Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali berkata, setelah
Dato' Sagor meninggal dunia pada tahun 1877, gelaran Dato' Seri Agar Diraja
atau Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, gelaran bagi Orang Besar Delapan Perak
tidak dipenuhi.
"Penamatan gelaran Dato' Seri Agar Diraja dapat
dikaitkan dengan penglibatan British dalam pentadbiran negeri Perak. Sudah
pasti bagi British, gelaran Dato' Seri Agar Diraja perlu dihapuskan supaya
masyarakat Melayu Perak khasnya, tidak akan lagi mengingati perjuangan yang
dipelopori oleh Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela.
"Gelaran ini sangat memberi pengertian dalam
perkembangan sejarah negeri Perak, ia bukan sahaja mengenang jasa tokoh yang
memakai gelaran tersebut tetapi juga dapat menanam semangat perjuangan yang
mana kedua-dua tokoh ini sanggup mengambil tugas membunuh JWW Birch,"
katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli
Ngah Talib berkata, selepas kematian Dato' Sagor, gelaran tersebut dihapuskan
British dan digantikan dengan gelaran Orang Kaya-Kaya Setia Bijaya Diraja.
"Tetapi ia hanya gelaran yang tidak membawa kepada
penguasaan wilayah seperti pernah dikuasai Dato' Sagor. Gelaran itu hanya
bermula pada 1898 iaitu 23 tahun selepas Dato' Sagor dihukum bunuh oleh British
pada 1877," katanya.
Beliau menambah, gelaran Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja
atau Dato' Sagor telah dihidupkan kembali oleh Sultan Perak dan Dewan Negara
Perak pada 11 Jun 1987, selepas 114 tahun gelaran itu dihapuskan.
Ramli berkata, ketika peristiwa pembunuhan JWW Birch,
usia Dato' Sagor dikatakan antara 55 hingga 60 tahun.
"Dari segi perwatakan dia seorang berbadan besar dan
kelihatan bengis tetapi amat disayangi dan dihormati orang Melayu ketika
itu," katanya.
Dikatakan bahawa darah Dato' Sagor mengalir dalam
kalangan lebih 3,000 keturunannya yang kebanyakan mereka masih menetap di kiri
dan kanan Sungai Perak di antara Lambor dan Kampung Bandar.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131221/lk_01/Semangat-hantui-British#ixzz2oUaZQYi3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan