Faktor gagal raih sokongan Melayu tewaskan PKM
ANGGOTA komunis yang menyerah diri kepada pasukan keselamatan pada 16 Oktober 1958.
FAKTOR kegagalan Parti Komunis Malaya (PKM) melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu dikenal pasti kerana kesukaran dan kelemahan parti itu meraih sokongan orang Melayu.
Perkara tersebut dinyatakan oleh pegawai komunis paling kanan dalam Jawatankuasa Pusat PKM dikenali sebagai Ah Su * dalam ceramahnya yang turut dihadiri oleh ketua Unit Penggempur Kelima PKM di Perak, Chong Chor pada Mac 1962.
Dalam fail sulit pengakuan Chong Chor yang pertama kali didedahkan, PKM berdepan tugas sukar untuk melancarkan 'perang rakyat' terhadap British disebabkan ketiadaan sokongan kaum Melayu yang merupakan lebih 50 peratus penduduk Tanah Melayu, dengan majoritinya tinggal di kawasan pendalaman.
Analisis kekalahan itu terkandung dalam ceramah Ah Su yang ditujukan kepada anggota-anggota komunis tegar semasa mereka berundur ke selatan Thailand kesan tindakan berkesan pihak keselamatan Malaysia ketika itu.
Ah Su menggariskan lima faktor kegagalan PKM meraih sokongan ramai kaum Melayu iaitu kononnya, orang Melayu terkongkong dan tertindas di bawah sistem feudal di negeri-negeri Melayu, mendapati mereka sukar memahami dan menerima konsep komunisme.
Faktor kedua: Orang Melayu sentiasa dibohongi penjajah British terutama menerusi dasar 'Pecah dan Perintah'. British mengambil kesempatan ke atas prinsip-prinsip agama Islam yang merupakan agama orang Melayu bagi menolak doktrin komunisme.
Faktor ketiga: Semasa PKM melancarkan perang anti-British, orang Melayu memberi sokongan terhadap Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama Malaysia) dan kerajaan campuran pimpinannya.
Faktor keempat: Majoriti kaum Melayu buta huruf dan pengetahuan mengenai politik adalah cetek. Oleh itu, kaum Melayu mudah diperdaya oleh kerajaan Tunku Abdul Rahman.
Faktor kelima: Dari sudut strategik, PKM gagal disebabkan mereka mengenepikan gerakan mempengaruhi kaum Melayu di kawasan pendalaman, semasa melancarkan perang bersenjata. Maka apabila PKM melancarkan perang, mereka tidak mendapat sokongan kaum Melayu sekali gus mengehadkan kawasan operasi PKM.
Menurut Chong Chor, pasukan pimpinannya yang terdiri daripada lebih 20 anggota komunis, berhimpun di kem Kampung Jok, Bannang Sata di Yala, selatan Thailand. Di situ, dia bertemu buat pertama kali dengan Rashid Maidin dan Abdullah CD. Kem tersebut menjadi markas latihan ideologi komunis.
Chong Chor menganggarkan lebih 100 anggota komunis dari Regimen Kelapan, Ke-10 dan Ke-12 berada di dalam kem tersebut.
Diistilahkan sebagai Sekolah Parti untuk menguatkan semula pegangan komunisme di kalangan anggota PKM, kem tersebut juga berperanan sebagai pusat untuk mereka mengkaji dasar baharu parti.
Dasar baharu PKM ketika itu ialah, parti akan meneruskan gerakan bersenjata sebagai wadah utama perjuangan dalam usaha mencapai kejayaan dalam revolusi membebaskan Tanah Melayu.
Bagi mencapai matlamat tersebut, PKM telah membatalkan keputusan awal untuk tidak melaksanakan tugas merekrut anggota di selatan Thailand. Ini adalah kerana dalam usaha membina semula kekuatan parti, PKM tidak peduli jika tindakan tersebut mencetuskan kemarahan kerajaan Thailand.
Bagi meluaskan kerja-kerja merekrut anggota baharu, dasar baharu tersebut secara mendalam menekankan peranan Unit Min Yuen dan kaedah meluaskan pengaruh PKM di kalangan masyarakat di selatan Thailand.
Dasar tersebut juga memberi penekanan kepada usaha melaksanakan pembaharuan ideologi di kalangan pegawai PKM bagi membentuk kesatuan untuk memulihkan parti.
Menurut Chong Chor, Sekolah Parti itu juga turut membincangkan dasar membenarkan anggota keluar dari PKM yang mengakibatkan semangat dan moral rendah di dalam parti.
Anggota-anggota komunis di kem tersebut turut diberikan ulang kaji mengenai sejarah PKM, latar belakang gerakan bersenjata, pergerakan komunis dunia dan sejarahnya, perbincangan mengenai keperluan seorang anggota revolusi komunis dan isu-isu semasa.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131216/re_02/Faktor-gagal-raih-sokongan-Melayu-tewaskan-PKM#ixzz2nh6CNu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan