Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my
Industri hiburan dan sukan
berkembang baik ketika itu. Malah kejayaan pasukan Tanah Melayu dalam sukan
antarabangsa menunjukkan penduduk tidak memberi perhatian yang berat kepada
perjuangan komunis.
APABILA menyebut tentang zaman
darurat, pasti fikiran kita melayang memikirkan penderitaan kehidupan penduduk
Tanah Melayu sepanjang detik hitam itu.
Tidak ramai yang tahu bahawa di
sebalik ketakutan penduduk yang bimbang menjadi mangsa keganasan anggota Parti
Komunis Malaya (PKM), tersembunyi cerita sebuah kehidupan yang biasa dan
tenang.
Memanglah tempoh darurat yang
panjang dari tahun 1948 sehingga 1969 banyak menyimpan kisah duka. Tetapi
hakikatnya, sepanjang detik itu juga, penduduk Tanah Melayu masih dapat
menjalani kehidupan seperti biasa.
Profesor Emeritus Datuk Dr.
Khoo Kay Kim, 72, bercerita tentangnya.
Dilahirkan di Kampar, Perak,
Kay Kim memberitahu, ramai orang yang salah anggap mengenai zaman darurat.
"Bila orang sebut zaman
darurat, mereka beranggapan rakyat ketika itu hidup perit dan menderita. Tetapi
sebenarnya tidak.
"Mungkin di
pinggir-pinggir bandar, saya akui hidup mereka sukar dan terdedah dengan
ancaman komunis, tetapi jika ditinjau kehidupan di bandar-bandar besar,
kehidupan mereka tidak terjejas dan penduduk menjalani kehidupan seperti
biasa," katanya.
Tanah Jajahan, Alan
Lennox Boyd (kiri) menandatangani perjanjian yang dicapai dalam perundingan
merdeka dengan Tunku Abdul Rahman di London.
Menurutnya, sungguhpun ketika
itu zaman darurat, masih terdapat pelbagai hiburan dan pertandingan sukan yang
diadakan di bandar-bandar.
"Malah, pada awal tahun
1949, Tanah Melayu berjaya menjadi juara dunia badminton. Pelbagai pertandingan
sukan yang lain turut muncul seperti bola sepak, ragbi, hoki, kriket dan
olahraga," ujarnya kepada Kosmo!.
Ceritanya lagi, penduduk di
bandar-bandar besar pada masa itu juga sudah didedahkan dengan tarian opera
Cina, pertunjukan bangsawan, kabaret dan joget.
"Industri hiburan dan
sukan berkembang baik ketika itu. Malah kejayaan pasukan Tanah Melayu dalam
sukan antarabangsa menunjukkan penduduk tidak memberi perhatian yang berat
kepada perjuangan komunis. Tiada sabotaj dilakukan oleh pihak komunis sepanjang
pertandingan sukan diadakan.
"Saya sendiri tidak berasa
takut untuk menunggang basikal dari rumah ke bandar untuk bermain bola
sepak," katanya yang merasai pengalaman perkembangan sosioekonomi zaman
darurat semasa berumur 15 tahun.
Namun sebaliknya kisah yang
ingin disampaikan oleh Lt. Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said.
KEBEBASAN sukar dinikmati
apabila banyak sekatan jalan dan pemeriksaan terpaksa dilakukan bagi
melumpuhkan kegiatan komunis ketika darurat.
Zaini bercerita, selepas dua
tahun kelahirannya, Tanah Melayu diisytiharkan darurat (1948 - 1960). Ia
merupakan satu titik hitam dalam sejarah Tanah Melayu apabila berlakunya
peperangan terbuka di antara kerajaan dan PKM.
Sepanjang tempoh itu, komunis
begitu bermaharajalela. Mereka menawan dan menguasai kawasan-kawasan tertentu
untuk dijadikan markas bagi menyerang tentera kerajaan.
Justeru itu, banyak sekatan
jalan raya diadakan oleh tentera British bagi melumpuhkan pergerakan komunis.
"Bayangkan, hampir setiap
jalan pada masa itu dikawal dan ada sekatan. Penduduk yang ingin melaluinya
diperiksa seperti seorang pesalah. Dalam suasana dan keadaan seperti itu,
penduduk hidup dalam ketakutan," katanya.
Zaini memberitahu, ayahnya yang
bekerja kampung mula mendaftarkan diri menyertai unit anggota polis yang dahulunya
dikenali sebagai Police Depot untuk memperjuang dan mempertahankan Tanah
Melayu.
"Keluarga saya kemudiannya
berpindah ke kuarters polis di Jalan Gurney, Kuala Lumpur," tambahnya.
GAMBAR kenangan potret keluarga
besar Datuk Seri Zaini Mohd. Said yang diambil dari album keluarga.
Lelaki yang pernah menyandang
jawatan Panglima Medan Tentera Darat itu berkongsi perihal hidupnya sempena
Hari Kemerdekaan ke-52 tahun yang disambut hari ini di seluruh negara.
Mengenang kisah zaman
penjajahan Inggeris, katanya, ketika itu orang Melayu terpaksa tabik, tunduk
dan berasa takut apabila berdepan dengan orang putih.
Anak sulung daripada 10
adik-beradik itu juga memberitahu, pada tahun 1956, beliau semakin bijak
melihat dan menafsir keadaan Tanah Melayu ketika itu.
Zaini mula merasa marah dan
mual dengan pemerintahan orang putih di Tanah Melayu walaupun pihak komunis
ketika itu banyak yang telah berundur.
"Sungguhpun ketika itu,
saya baru berusia 10 tahun tetapi kemarahan tetap berbuku di dalam hati. Saya
marah melihat orang Melayu dijajah. Jadi, apabila tanggal 31 Ogos 1957 iaitu
detik Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, saya berasa amat gembira melihat titik
perubahan itu.
"Sebenarnya, setahun
sebelum mencapai kemerdekaan, saya sudah mendengar ura-ura yang mengatakan
bahawa Tanah Melayu bakal mencapai kemerdekaan.
PIHAK polis dan tentera sanggup
berkorban nyawa demi maruah Tanah Melayu.
"Saya sudah dengar
mengenainya di corong-corong radio apabila deejay menyebut nama Tunku Abdul
Rahman. Ketika itu, timbul perasaan seronok dan ada harga diri.
"Sebelum merdeka, penduduk
Tanah Melayu hidup seperti orang kerdil yang tunduk kepada orang putih,"
ceritanya yang mula menyertai tentera pada umur 19 tahun.
Apa pula cerita yang mahu
dikongsi oleh Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, 59, mengenai zaman darurat dan
era kemerdekaan Malaysia.
"Apabila komunis angkat
senjata, tentera British mula merangka dan melancarkan strategi bagi
menghapuskan komunis.
"Rancangan Briggs
dilancarkan oleh Sir Henry Gurney pada pertengahan tahun 1950," kata
wanita yang dilahirkan di Tanjung Keling, Melaka.
ZAINI asyik bercerita tentang
pengalaman sebelum merdeka di rumahnya di Kajang, Selangor.
Ujarnya, tindakan itu dilakukan
bagi menyekat bekalan makanan serta ubat-ubatan supaya tidak sampai kepada
anggota PKM.
Selain itu, katanya, penduduk
Cina yang tinggal di kawasan terpencil dan bertaburan di merata tempat
dipindahkan untuk ditempatkan di Kampung Baru. Langkah itu diambil bagi
mengelakkan mereka diugut oleh pihak komunis untuk mendapatkan bekalan makanan
dan ubat-ubatan.
"Kampung-kampung baru itu
dipagar dengan kawat berduri serta dikawal oleh pasukan keselamatan.
"Bukan setakat itu sahaja,
tentera British juga banyak melakukan sekatan jalan raya bagi melumpuhkan
pergerakan komunis," katanya.
Bercerita tentang keganasan
yang dilakukan komunis ketika itu, Ramlah memberitahu, kebanyakan penduduk yang
tinggal di kampung dan pinggir bandar sentiasa menerima ancaman komunis.
"Pihak komunis melakukan
huru-hara dengan membakar kampung-kampung kecil. Mereka juga mengadakan sekatan
jalan, menahan dan membakar bas serta merampas barang berharga penduduk.
"Malah, banyak penduduk di
luar bandar dipujuk supaya menyertai komunis," katanya.
Mengenai detik kemerdekaan pada
31 Ogos 1957, beliau yang masih bersekolah rendah ketika itu sempat melihat
persiapan kemerdekaan di bandar-bandar.
"Saya ikut ayah ke pekan
dan lihat banyak bendera dipasang di bangunan.
"Di sana dan sini
terdengar laungan kemerdekaan, baik di corong radio mahupun perbualan sesama
penduduk," katanya yang ketika itu turut merasai keseronokan dan
kemeriahan kemerdekaan apabila sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam,
Tanjung Keling, Melaka turut menyambut hari kemerdekaan dengan penuh meriah.
Menggeletar ketakutan
“CIKGU, buka pintu ni. Boleh
tolong baiki motor saya yang rosak?” satu suara lembut diiringi ketukan kuat
bertalu-talu pada pintu rumah Musa Arshad pada pukul dua pagi memecah hening
Subuh.
Peristiwa itu berlaku tidak
lama selepas berakhirnya penjajahan Jepun pada Ogos 1945.
Anak perempuan Musa, Rosdiah,
yang ketika itu sedang memadam lampu damar baru sahaja selesai menikmati
makanan sahur bersama suaminya, Said Amin.
Pada masa itu, umat Islam
sedang menyambut bulan Ramadan al-Mubarak.
Terkejut dengan ketukan yang
kuat, Rosdiah pantas berlari mendapatkan suaminya di dalam bilik. Tubuh Rosdiah
menggeletar ketakutan semasa dia mengejutkan si suami.
Said menyuruh isterinya
bertenang dan tanpa berlengah, Said terus mengintai di celah-celah ruang rumah.
Ketika itu, dia ternampak ramai orang bertopikan bintang tiga sedang mengepung
rumah bapa mentuanya, Musa.
Said sedar kedatangan anggota
Parti Komunis Malaya (PKM) itu adalah untuk memburu Musa yang merupakan bekas
guru yang pernah bekerja dengan Jepun.
DATUK SERI ZAINI MOHD. SAID
Bagaimanapun, Musa yang turut
dikenali dengan kemahirannya membaiki motosikal sudah lari menyelamatkan diri
ke rumah ibunya terlebih dahulu kerana sedar dirinya akan menjadi sasaran
komunis.
Tinggallah Said dan Rosdiah
yang baru sebulan berkahwin bersama dua orang adik Rosdiah yang masih kecil di
rumah Musa di Kampung Sungai Machang, Ulu Lenggeng, Negeri Sembilan.
“Waktu itu Jepun sudah kalah dan
berundur. Tentera British belum lagi kembali ke Tanah Melayu. Tidak ada yang
berkuasa di Tanah Melayu melainkan komunis,” cerita Datuk Seri Zaini Mohd Said,
63.
Zaini menceritakan pengalaman
cemas yang berlaku ke atas kedua-dua mertuanya ketika zaman sebelum merdeka.
Beliau yang pernah menyandang
jawatan Panglima Medan Tentera Darat berkongsi kisah itu sempena ulang tahun
ke-52 kemerdekaan negara yang disambut hari ini ketika ditemu bual Kosmo! di
rumahnya di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Kosmo online 31.8.2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan