HANYA menunggu masa untuk
menyembah bumi. Itulah gambaran yang tepat kepada sebuah rumah agam yang
terselindung di sebalik rimbunan semak-samun di Kampung Permatang Pasir, Jugra.
Walaupun sebahagian besar
daripada strukturnya sudah musnah, reka bentuk asas yang berdiri dengan
sokongan enam batang tiang gergasi jelas menunjukkan ia bukan sembarangan
rumah.
Bahkan penulis pada mulanya
langsung tidak menyangka bahawa sisa-sisa runtuhan rumah yang berdiri di depan
mata itu adalah sebuah istana. Istana milik Sultan Abdul Samad Al-Marhum Raja
Abdullah.
Tersorok jauh di dalam kebun
buah-buahan kira-kira 300 meter dari laluan utama Kampung Bukit Jugra, tidak
ramai yang menyedari kewujudan istana tersebut.
Kehadiran penulis pada petang
itu diiringi oleh Mohamad Ali Alimin, pengkaji sejarah mukim Jugra yang membawa
bersama sekeping gambar lama sewaktu istana tersebut masih lagi berpenghuni.
Kami mengambil masa beberapa
minit untuk mencari lokasi gambar tersebut dirakam. Pada kedudukan yang sama,
persekitaran dan imej mula menunjukkan kesepadanan, jelas menandakan ia adalah
subjek yang sama.
Menurut buku Sentosa
Ketakhtaan, istana berusia lebih 150 tahun yang dibina di atas sebidang tanah
di pinggir Bukit Jugra itu dikenali sebagai Istana Sedang Masa semasa
pemerintahan Sultan Abdul Samad antara 1857 hingga 1898.
Mohamad Ali berkata, selain
menjadi tempat bersemayam sultan, istana tersebut pernah menggemparkan penduduk
negara melalui penemuan sebuah peti misteri yang dipercayai menjadi tempat
penyimpanan harta-harta berharga kepunyaan Sultan Abdul Samad.
Katanya, pada 1968, kewujudan
peti besi itu mula mendapat perhatian umum apabila usaha Jabatan Muzium untuk
memindahkan peti dari istana itu ke Muzium Selangor berdepan dengan pelbagai
perkara pelik dan luar biasa.
Salah satu daripadanya adalah
kesukaran yang dihadapi kakitangan muzium untuk mengangkat peti sehingga
terpaksa menggunakan khidmat kren.
"Memang pelik kerana saiz
peti itu hanya satu meter panjang dan setinggi paras paha. Secara logiknya ia
boleh diusung oleh empat hingga lima orang.
"Kejadian misteri itu
tidak berakhir di situ kerana selepas dipindahkan ke muzium berlaku banyak
gangguan terhadap kakitangan dan pelawat.
"Lebih kurang seminggu
kemudian pihak muzium mengambil keputusan menghantar semula peti itu ke tempat
asalnya,'' ujar ahli jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Selangor itu.
Namun katanya, peti besi
tersebut sudah tiada di istana usang itu kerana telah dipindahkan oleh kaum
kerabat sultan iaitu Raja Kasim yang mendakwa bertanggungjawab menjaga peti
berkenaan.
Menurut Mohamad Ali, semasa di
bangku sekolah beliau sendiri pernah menjejakkan kaki ke istana itu untuk
melihat peti besi yang dikatakan boleh memberi hadiah kepada sesiapa yang
bernasib baik ketika membukanya.
"Seingat saya semasa
darjah tiga saya pernah naik ke tingkat atas istana dan membuka peti besi itu.
Tidak ada apa-apa hanya ada surat khabar lama.
"Orang kata ada jumpa duit
emas, keris dan macam-macam bergantung pada nasib tapi saya tidak percaya
sangat,'' katanya.
Selain tinggalan istana milik
Sultan Abdul Samad, turut kelihatan sisa-sisa daripada Istana Long Puteri iaitu
cucunda Sultan Abdul Samad yang terletak berhampiran. Semuanya dalam keadaan
terbiar.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131123/lk_03/Misteri-istana-lama-dan-peti-besi#ixzz2oUyOKZLw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan