Sabtu, 28 Disember 2013

Koleksi haiwan terawal Zoo Taiping.

GAMBAR pada 1965 menunjukkan gajah bernama 'Awang' dan 'Zimbo' yang menjadi antara haiwan-haiwan terawal dipamerkan.
DIAPIT kehijauan pemandangan Taman Tasik Taiping dan beberapa lokasi bersejarah di sekitarnya, Zoo Taiping boleh diumpamakan sebagai 'pusat' aktiviti pelancongan di bandar Taiping, Perak.

Bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan kunjungan ke bandar moden tertua negara itu tidak lengkap tanpa menjejakkan kaki ke taman haiwan yang terletak di utara tanah air tersebut.

Dibangunkan di atas tapak hutan seluas 13.7 hektar, Zoo Taiping yang mempunyai populasi kira-kira 1,500 haiwan daripada 160 spesies menawarkan pengalaman melihat hidupan liar terbaik di negara ini.

Walaupun dikenali sebagai tarikan utama di bandar bekas pusat pentadbiran Inggeris itu, masih ramai yang tidak menyedari keistimewaannya sebagai zoo pertama di negara ini.

Dalam konteks sejarah, kewujudannya berada sebaris dengan 10 binaan dan kemudahan awam pertama Malaysia yang terdapat di Taiping antaranya landasan kereta api, muzium, hospital, penjara dan bangunan telegraf.

Ditubuhkan pada 1962, Zoo Taiping atau nama asalnya Taman Mergastua Sultan Idris Shah diwujudkan sebagai pusat pengumpulan spesimen haiwan-haiwan terancam.

Selain itu taman hidupan liar itu turut digunakan oleh Kerajaan Negeri Perak sebagai 'alat' untuk meningkatkan kesedaran umum tentang ancaman kepupusan haiwan akibat pemburuan haram.

Penubuhan taman haiwan itu diilhamkan oleh Tan Sri Saw Huat Lye yang ketika itu memegang jawatan Pengerusi Majlis Bandaran Taiping.

Pelan jangka masa panjang beliau pada waktu itu adalah untuk menghidupkan sebuah taman haiwan yang mampu menjadi tarikan kepada orang ramai sekali gus menjadi penyumbang pendapatan kepada Lembaga Pengurusan Kerajaan Tempatan.

Selepas cadangan pembinaannya diluluskan oleh bekas Menteri Besar Perak iaitu Datuk Shaari Shafie pada April 1962, taman haiwan tersebut menerima peruntukan pembinaan pertama berjumlah RM70,000.

Bagi menjayakan usaha itu, sebuah jawatan kuasa zoo iaitu Jawatankuasa Taman Binatang ditubuhkan bagi melaksanakan tanggungjawab pengurusan dan antara tugas-tugas terawal adalah untuk mengisi taman tersebut dengan haiwan-haiwan liar dan juga domestik.

Antara usaha pertama yang dilakukan adalah permohonan untuk mendapatkan dua ekor gajah dari Gerik kepada kerajaan negeri.

Selain itu, pihak Majlis Bandaran Taiping turut berusaha mendapatkan dua ekor Orang Utan dari Kerajaan Singapura yang dirampas atas kesalahan pemeliharaan secara haram oleh rakyat negara itu.

Pada 31 Mei 1962, Majlis Bandaran Taiping meneruskan usaha menambah koleksi haiwan di taman berkenaan dengan membuat permohonan bagi mendapatkan sepasang rusa dari Penolong Pegawai Jajahan Selama, Perak.

Seterusnya pada bulan Jun tahun yang sama, permohonan turut dibuat kepada Raja Muda Perak untuk mendapatkan sepasang angsa hitam dan putih daripada Pesuruhjaya Tinggi Australia.

Pada peringkat awal penubuhannya, taman haiwan tersebut menempatkan kira-kira 20 sangkar yang berukuran 10 meter panjang dan lima meter lebar bagi menempatkan rusa, landak, ikan, ular, burung dan babi hutan.

Dua tahun selepas pembinaan, taman haiwan itu dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 7 Mac 1964 dengan nama Taman Mergastua Sultan Idris Shah.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah Sultan Iskandar Shah Kadasallah.

Pembukaan Taman Mergastua Sultan Idris Shah pada tahun pertama mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Bayaran masuk yang dikenakan pada waktu itu adalah 30 sen untuk dewasa, 20 sen untuk kanak-kanak dan 10 sen untuk pelajar sekolah.

Pada 1965, penantian pihak pengurusan zoo untuk mendapatkan dua ekor gajah beserta dua orang penggembala berakhir.

Dua ekor gajah dari Gerik iaitu Awang dan Zimbo melangkah masuk sebagai penghuni tetap di Taman Mergastua Sultan Idris Shah sekali gus menjadi tarikan utama kepada pengunjung.

Populariti Taman Mergastua Sultan Idris Shah meningkat secara mendadak sekitar pertengahan 1970-an apabila jumlah pengunjung meningkat daripada 149,000 pada 1970 kepada lebih 220,000 pada 1974.

Pada masa kini, Zoo Taiping merekodkan jumlah pengunjung sehingga 750,000 orang setiap tahun termasuk 150,000 pengunjung yang mengikuti keunikan program Safari Malamnya.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131228/lk_02/Koleksi-haiwan-terawal-Zoo-Taiping#ixzz2oogTV6ai © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan