Rejimen kelima PKM
mengadakan perarakan dalam kem mereka di belantara Perak pada tahun 1950-an.
RAMAI lebih mengenali Chin
Peng, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh sebagai pemimpin pengganas Parti Komunis
Malaya (PKM). Hanya yang pernah hidup di zaman Darurat atau membaca buku
sejarah zaman Darurat, nama Chong Chor atau Cheung Thian Thye (gambar) dikenali
sebagai antara ketua pengganas PKM paling kejam dan licik mengelak diri
daripada kepungan pihak berkuasa.
Chong Chor mengetuai Unit
Penggempur Kelima PKM di Perak dan kemudiannya, Keenam PKM di Pahang, Selangor
dan Negeri Sembilan. Pasukan komando khas polis VAT 69 menjadikan Chong Chor
sebagai sasaran utama paling dikehendaki dalam misi pemburuan mereka.
Ikuti pendedahan eksklusif
Mingguan Malaysia mengenai Chong Chor, ketua pengganas komunis paling kejam
yang dipetik daripada dokumen rahsia kerajaan yang tidak pernah disiarkan
selama ini. - PENGARANG
PENTADBIRAN Tentera
British (BMA) mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu pada 20 Jun 1948.
Serentak dengan itu, kira-kira 1,000 anggota Parti Komunis Malaysia (PKM) dan
pertubuhan-pertubuhan palsu yang didalangi PKM.
Bagaimanapun, mengikut
fail sulit mengenai ketua unit penggempur (Assault Unit) yang sangat
dikehendaki pihak berkuasa, Cheung Thian Thye atau lebih dikenali sebagai Chong
Chor, mendedahkan ramai ketua utama PKM sudah pun masuk hutan seawal Mac tahun itu ekoran strategi parti untuk
melancarkan perang untuk memastikan komunis menguasai Tanah Melayu.
Bagaimanapun, Chong Chor
mengakui parti tersebut benar-benar tergamam dengan tindakan pantas dan drastik
terhadap BMA.
Ini kerana sebelum parti itu sempat menyempurnakan
penyusunan orang-orangnya termasuk kaedah komunikasi, operasi besar-besaran
menangkap anggota komunis dilancarkan'.
Ramai daripada suspek dan
anggota PKM diusir pulang ke China. Sebulan kemudiannya pada 20 Julai 1948, BMA
mengisytiharkan pengharaman PKM.
Susulan daripada tindakan
BMA tersebut, Setiausaha Agung PKM, Chin Peng memanggil mesyuarat di sebuah
kampung di Batu 11, Air Kuning, Kampar di Perak bagi membentuk Regimen Kelima
di negeri itu. Seramai enam pegawai kanan PKM peringkat Perak turut hadiri
termasuk Chong Chor.
Pada mesyuarat itu, Chin
Peng mengarahkan pembentukan Rejimen Kelima Tentera Rakyat Malaya Anti-British
(MPABA) menerusi penyatuan tiga batalion yang sudah sedia wujud di negeri itu.
Menurut fail sulit, Chin
Peng dipetik sebagai berkata, MPABA hendaklah menyusun
semula konsep taktikal PKM dan mengukuhkan struktur dalaman pasukan gerila
dalam usaha melaksanakan strategi perang'.
Chin Peng juga menegaskan
penggunaan strategi Maoist iaitu kawasan dibebaskan untuk membebaskan Tanah Melayu. Untuk mencapai matlamat
tersebut, strategi revolusi PKM akan dilaksanakan mengikut tiga fasa iaitu:
1) Menguasai kawasan pendalaman
kecil dan kemudian mewujudkan kawasan dibebaskan di wilayah yang dikuasai PKM;
2) Merencatkan sistem
ekonomi BMA menerusi tekanan gerila dan meningkatkan bekalan dan peralatan
gerila menerusi serang hendap dan serangan ke atas balai polis, tentera dan
kawasan pasukan keselamatan lain.
3) Menambah unit gerila
menerusi pengambilan orang di kawasan yang dikuasai atau dibebaskan, maka itu
memaksa kerajaan keluar dari kawasan pendalaman.
Pelan strategi perang seumpamanya, telah terbukti berjaya
dilakukan di China," kata Chin Peng, seperti dicatatkan dalam fail sulit
ini.
Berikutan arahan terbaharu
Chin Peng ini, pada 9 Julai 1948, Batalion Ketiga PKM melancarkan serangan
pertama ke atas Balai Polis Langkap. Menurut Chong Chor, pasukan seramai 40
anggota yang diketuainya menggali semula kawasan persembunyian senjata di Batu
11, Jalan Air Kuning, Kampar.
Bagaimanapun, serangan
tersebut berjaya dipatahkan oleh pasukan keselamatan. Chong Chor mengakui
kesilapan daripada segi penyelarasan dan perancangan.
Satu lagi gerombolan
diketuai rakan Chong Chor bernama Ah Lek berjaya menyerang hendap kenderaan
pasukan keselamatan dan meletupkan jambatang di Air Kuning.
Pada 24 Julai 1948, satu
lagi serangan dilancarkan ke balai polis Sungai Merbau di Tapah. Bagaimanapun,
mereka hanya berjaya merampas satu raifel tetapi gagal meletupkan stesen janakuasa
di situ.
Pergerakan Chong Chor
berjaya dihidu oleh pasukan keselamatan. Semasa berkhemah dalam hutan Kuala Woh
di Bidor, pasukan komunis ini telah diserang dan memaksa mereka berundur semula
ke Batu 11, Jalan Air Kuning di Kampar.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131209/re_07/Kempen-keganasan-PKM-dirancang-teliti#ixzz2nCDEbEac
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan