Rabu, 9 Julai 2014

PERNYATAAN BERSAMA MENTERI-MENTERI LUAR ASEAN MENGENAI ANCAMAN DADAH DAN PENGEDARANNYA


 Masalah penyalahgunaan dadah merupakan satu ancaman besar kepada negara-negara ASEAN. Langkah-langkah tegas perlu disusuli dan kerjasama antara negara ASEAN dalam mengatasi masalah dadah dan pembanterasan pengedarannya perlu diberi perhatian yang lebih mendalam. Pada hari ini 9.7.1985 satu Pernyataan Bersama Menteri-menteri Luar ASEAN mengenai ancaman dadah dan pengedarannya telah diadakan di Kuala Lumpur. Pernyataan bersama tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Kementerian Luar Negeri Y.B. Tengku Ahmad Rithauddeen, yang juga sebagai Pengerusi Persidangan Menteri Luar ASEAN. Pernyataan Bersama tersebut mengandungi beberapa perkara penting yang dicadangkan dan diperbincangkan oleh Menteri-menteri ASEAN di antaranya ialah:
meyeragamkan undang-undang ke arah mengadakan hukuman setimpal terhadap pengedar dan merampas hartanya.
menghapuskan bahan mentah membuat dadah iaitu dengan menggantikan tanaman dadah serta mengubah pekerjaan orang yang terlibat.
perlunya usaha-usaha dibuat bagi menyedarkan masyarakat antarabangsa tentang kesan, bahaya dadah dari segi keselamatan, sosial, kebudayaan dan keperimanusiaan.

Sesungguhnya pernyataan bersama antara Menteri Luar ASEAN yang diadakan pada hari ini diharap akan dapat menyelesaikan masalah penyalahgunaan dadah dan pengedarannya di kalangan rakyat negara ASEAN keseluruhannya, di samping dapat mewujudkan penduduk-penduduk ASEAN yang sihat sejahtera dan bebas dari unsur-unsur negatif dalam kehidupan.
SUMBER-http://hids.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan