Rabu, 9 Julai 2014

PERJANJIAN PENUBUHAN MALAYSIA TELAH DITANDATANGANI DI LONDON

Negara kita Malaysia telah mengecapi nikmat kemerdekaan selama 40 tahun. Usia 40 tahun ini telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang matang dan berfikiran waras dalam menghadapi dugaan, saingan dan berbagai percubaan yang menganggu gugat kemerdekaannya. Selepas laungan Merdeka ada 31 Ogos 1957, satu persefahaman penting iaitu Penubuhan Malaysia telah pula dipersetujui dengan menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei. Walau bagaiamanapun Brunei kemudiannya telah menarik diri dengan alasan-alasan tersendiri. Pada hari ini pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Malborough House, London iaitu Pejabat Perhubungan Komanwel. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Perundingan ini, adalah lanjutan dari rundingan-rundingan yang telah diadakan sebelumnya, dan merupakan perundingan yang paling rumit di mana soal Singapura dan pasaran bersama negeri-negeri dalam Malaysia dititikberatkan. Rundingan yang hampir menemui jalan buntu itu akhirnya telah dapat diselesaikan. Hanya soal kemasukan negeri Brunei yang tidak dapat diselesaikan. Perjanjian Malaysia itu telah memperlihatkan dengan jelasnya bahawa gagasan Persekutuan Malaysia mendukung dasar kemasukan negeri-negeri lain ke dalam Malaysia dengan secara sukarela. Keengganan Brunei menyertai Persekutuan Malaysia juga menjadi bukit yang nyata bahawa Malaysia lahir tanpa paksaan apa-apapun. Upacara yang mengakhiri sejarah penjajahan British selama beratus tahun di Singapura, Sabah dan Sarawak telah ditandatangani dalam lima salinan oleh wakil-wakil kerajaan-kerajaan yang terlibat. Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Sabah pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari negeri Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg. Sementara Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee. Pembentukan Malaysia menandakan persefahaman yang wujud di kalangan negara-negara ini. Kestabilan politik dan ekonomi adalah merupakan matlamat utama  di samping mengukuhkan keselamatan di rantau ini.

 sumber-hids.arkib.gov.m

Tiada ulasan:

Catat Ulasan