Ahad, 13 Julai 2014

Peluasan Kuasa British di Negeri-negeri Melayu Utara (1897 -1909)

2. Transfomasi Masyarakat
2.1 Perluasan kuasa asing
PENGENALAN
      Siam telah lama ingin meluaskan pengaruh ke atas negeri-negeri Melayu, tetapi pada abad ke-18 negara tersebut terlibat dalam peperangan dengan Burma. Pada abad ke-19, Siam berjaya mengalahkan Burma Siam meneruskan penguasaannya ke atas neger-negeri Melayu. Siam menganggap Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak dan Selangor sebagai negeri di bawah kekuasaannya.Hubungan Siam dengan negeri-negeri Melayu telah lama terjalin melalui penghantaran bunga emas. Siam menganggap tindakan negeri-negeri Melayu menghantar bunga emas sebagai pengakuan terhadap kekuasaan Siam dan menjadikan negeri-negeri itu di bawah kekuasaan Siam. Sebaliknya negeri-negeri Melayu menghantar bunga emas sebagai tanda persahabatan dengan kerajaan Siam dan pada masa yang sama mengekalkan kemerdekaan negeri masing-masing.[1]

Peluasan Kuasa British di Negeri-negeri Melayu Utara (1897 -1909)
Menjelang akhir abad ke-19, Negeri-negeri Melayu Utara berada di bawah pengaruh kuasa asing, iaitu British dan Siam. Kuasa Barat ketika itu bersaing untuk mendapatkan bahan mentah dan mencari tanah jajahan.
Britain menjalinkan hubungan persahabatan dengan Siam atas sebab berikut:
(a) British ingin melindungi kepentingan perdagangan di Siam yang semakin bertambah hasil daripada Perjanjian Bowring 1855.Kepentingan ekonomi British akan terjejas sekiranya Siam jatuh ke tangan kuasa lain.
(b) British ingin melindungi jalan perdagangan melalui Selat Melaka dan perairan Singapura.
(c) British ingin mengelak daripada mempunyai satu sempadan yang sama dengan Perancis di negeri Siam.

Menjelang akhir abad ke-19, hubungan antara British dengan Perancis bertambah baik. British mengambil langkah mengawal kemungkinan Perancis mencerobohi Lembah Menam Chao Phraya di mana terdapatnya kepentingan British. Oleh itu, pada tahun 1896, Perjanjian Inggeris-Perancis ditandatangani. Menurut perjanjian ini, Perancis bersetuju tidak akan campur tangan di Lembah Menam Chao Phraya.[2]
Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897
      Perancis merancang hendak membina sebuah terusan melintasi Segenting Kra untuk memudahkan perjalanan di antara Indo-China dengan Eropah. Ini bermakna kapal-kapal dagang akan menggunakan terusan ini dan mengenepikan Selat Melaka. Terusan ini akan mengancam perdagangan dan kedudukan Singapura sebagai pelabuhan antarabangsa.

      Walaupun rancangan Perancis itu gagal, British bimbang akan minat Perancis di Siam dan Negeri-negeri Melayu Utara. British mengadakan perundingan sulit dengan Siam dan hasil daripada perundingan ini ialah Perjanjian Sulit Inggeqis-Siam pada tahun 1897. British mahu memastikan tidak ada kuasa Barat lain yang meluaskan pengaruh di Negeri-negeri Melayu Utara, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan  dan Terengganu.[3]

Syarat-syarat Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897
1.British mengiktiraf kedaulatan Siam terhadap Negeri-negeri Melayu Utara.
2. Siam bersetuju tidak akan menyerahkan mana-mana wilayahnya di selatan garisan lintang 11 darjah  Utara kepada kuasa lain.
3.Siam berjanji tidak akan memberi sebarang konsesi perdagangan atau tanah kepada mana-mana kuasa asing tanpa persetujuan kerajaan British.
4.British berjanji akan membantu Siam sekiranya Siam diserang oleh musuh

Perjanjian Pengisytiharan Inggeris-Siam l902
(a) Kebimbangan campur tangan kuasa asing yang lain
Pada akhir tahun 1890-an, persaingan kuasa-kuasa asing untuk mendapatkan tanah jajahan adalah kuat. Britain bimbang kemaraan 'kuasa-kuasa asing di Asia akan membawa kepada campur tangan mereka di Siam dan seterusnya di Negeri-negeri Melayu Utara.

      Antara tahun 1899 dan 1990, Jerman telah membuat percubaan untuk mendapatkan Pulau Langkawi dan Menteri Rusia yang berada di Bangkok pula berunding untuk mendapatkan konsesi pangkalan arang batu di Teluk Siam.

Amerika cuba memperoleh, konsesi bagi semua tanah perlombongan di Terengganu.
      Walaupun Siam dan Britain telah menandatangani Perjanjian Sulit 1897, Britain masih bimbang Siam tidak berupaya mempertahankan negerinya daripada diceroboh oleh kuasa-kuasa asing itu. Tambahan pula, walaupun Negeri-negeri Melayu Utara diakui sebagai di bawah kawalan Siam, tetapi Sultan-sultan negeri-negeri tersebut tidak suka akan penguasaan Siam. Baginda-baginda Sultan juga tidak mengetahui tentang Perjanjian Sulit 1897.

      Perasaan benci terhadap Siam amat dirasai di Kelantan dan Pattani apabila Gabenor wilayah Songkla, iaitu Phya Sukhom mengukuhkan kuasa Siam ke atas negeri Pattani dan Kelantan.Phya Sukhom telah menempatkan seorang Pesuruhjaya Residen di Kelantan.[4]

Peranan Frank Swettenham
Frank Swettenham merupakan orang yangsentiasa menegaskan bahawa Tanah Melayu adalah satu lingkungan pengaruh British dan perlindungan British haruslah diperluaskan ke Kelantan dan Terenggan. Beliau sedar tentang keadaan yang berlaku di Kelantan dan Pattani. Frank Swettenham menegaskan bahawa sekiranya British tidak membantu, mereka pasti akan meminta bantuan dari Amerika Syarikat, Jerman, atau Rusia.

Sultan Muhammad IV dari Kelantan berasa bimbang apabila Raja Abdul Kadir dari Pattani dipenjarakan oleh Siam. Sultan Muhammad IV pergi ke Singapura dan merayu supaya Frank Swettenham melindunginya daripada ancaman Siam itu.[5]

Tuntutan Duff
Walaupun Siam mempunyai kuasa terhadap Negeri-negeri Melayu Utara, Sultan negeri-negeri ini terus memerintah secara bebas. Pada tahun 1900, Sultan Kelantan menyerahkan tanah seluas 776 996 hektar kepada Duff Development Company. Sebagai balasan, Sultan Kelantan akan menerima $2 000 dan 2 000 saham dalam Duff Development Company.

Duff tidak mengendahkan tuntutan pertuanan Siam ke atas Kelantan kerana sedar Siam tidak akan mengesahkan hak miliknya itu. Beliau pergi ke England untuk meminta sokongan
politik bagi menentang bantahan Siam dalam perkara ini. Duff pula mengugut akan mempelawa Jerman atau kuasa Eropah yang lain untuk menyokong tuntutan beliau ke atas kawasan Kelantan sekiranya kerajaan British enggan membantunya.

Frank Swettenham mendesak supaya Siam mengesahkan konsesi Duff dan mencadangkan Penasihat British ditempatkan di Kelantan dan Terengganu. Apabila cadangan Frank Swettenham dikemukakan kepada Siam, mereka tidak bersetuju.British kemudian memaklumkan kepada Siam dan memberi amaran kepada Siam bahawa Siam mempunyai masa hingga akhir bulan September untuk memberi jawapan. Jika Siam tidak memberi keputusan pada masa itu, British akan menyokong Kelantan dan Terengganu dalam tuntutan mereka mendapatkan kemerdekaan.

      Ugutan British itu menyebabkan Siam terpaksa menerima cadangan Frank Swettenham. Pada bulan September 1902, Pengisytiharan Inggeris-Siam ditandatangani.
(d) Syarat-syarat Perjanjian Pengisytiharan Inggeris-Siam 1902
1.Siam diberi kuasa melantik Penasihat dan Penolong British di Kelantan dan Terengganu.
2.Penasihat British akan memberi nasihat dalam semua perkara kecuali yang berkenaan dengan agama dan adat istiadat Melayu.
3.Sekiranya pendapatan kedua-dua negeri tersebut melebihi $100 000, Siam akan diberi 10% daripada pendapatan lebihan itu. Siam tidak akan menerima apa -apa sekiranya pendapatan itu kurang daripada $100 000.
4.Siam akan menguasai hubungan luar Kelantan dan Terengganu.[6]

Perjanjian Bangkok 1909
      Pada awal tahun 1900-an, keadaan politik di Eropah menjadi huru-hara. Jerman telah menjadi negara yang kuat dan membentuk Perikatan Bertiga bersama Austria dan Itali. Memandangkan perkembangan sedemikian, Perancis menamatkan perselisihannya dengan British dan bergabung dengan Britain untuk membentuk Pakatan British-Perancis.

      Mengikut Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897, British bersetuju membantu Siam sekiranyasiam diserang. Apabila Perancis mengambil alih jajahan Siam di sempadan Siam-Kemboja, British tidak memberikan bantuan kepada Siam kerana wujudnya pakatan British-Perancis. Siam tidak bersetuju dengan tindakan British itu.

      Pada tahun 1874 dan 1883, British telah menyerahkan hak wilayah asingan di Siam. Kerajaan Siam dinasihatkan supaya melepaskan Negeri-negeri Melayu Utara yang dianggap mendatangkan kerugian. Negeri-negeri Melayu Utara membawa masalah kerana bergerak bebas dan menaruh dendam terhadap Siam.

      Selepas tahun 1904, keadaan kewangan Siam dan Negeri-negeri Melayu Utara semakin buruk. Kedah terlibat dalam masalah kewangan yang teruk akibat pembaziran beberapa istiadat perkahwinan diraja yang diadakan. Siam terpaksa membdrikan pinjaman berjumlah $2 juta.Siam ingin mengadakan rundingan dengan British bagi menyelesaikan masalah Negeri-negeri Melayu Utara. Siam sedar British berminat ke atas negeri-negeri tersebut. Perjanjian Bangkok ditandatangani pada 9 Julai 1909.[7]

Syarat-syarat Perjanjian Bangkok 1909
1.Siam bersetuju menyerahkan Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu kepada British.
2.Semua hutang Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu akan ditanggung keseluruhannya oleh kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
3.Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu bersetuju memberikan pinjaman wang sebanyak $4 juta dengan faedah 4% kepada kerajaan Siam untuk membina jalan kereta api dari sempadan Tanah Melayu ke Bangkok.
4.British berjanji tidak akan campur tangan dalam urusan wilayah lain di bawah kuasa Siam.
5.Perjanjian Sulit, Inggeris-Siam 1897 ditarik balik.
6.British menyerahkan kembali hak wilayah asingan yang diperolehinya pada tahun 1855 kepada Siam.
7.Siam bersetuju tidak akan menyerahkan atau memajakkan sebarang wilayahnya kepada mana-mana kerajaan asing tanpa persetujuan kerajaan British.[8]




[1]Ruslan Zainuddin, “Sejarah Malaysia” ,(Penerbitan Fajar Bakti, Shah Alam, 2003), 159.
[2] Ong Loo Chen, “Teks Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara”Penggal 3,(Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd., Bandar Baru   Bangi, 2014),61.
[3] Ibid.
[4] Ibid.,62
[5] Ong Loo Chen, “Teks Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara”Penggal 3,(Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd., Bandar Baru   Bangi, 2014),62.
[6] Ibid,
[7] Ong Loo Chen, “Teks Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara”Penggal 3,(Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd., Bandar Baru   Bangi, 2013),63.
[8]Ong Loo Chen, “Teks Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara”Penggal 3,(Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd., Bandar Baru   Bangi, 2014),63.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan