Ahad, 13 Julai 2014

PENUBUHAN KONFIDERASI NEGERI SEMBILAN

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB 

Pada   hari  ini  dalam  tahun  1889,  satu  persetujuan  pembentukan  satu  Konfiderasi  yang  dinamakan  Negeri  Sembilan  telah  dicapai. Yam  Tuan  Besar  Sri  Menanti  Tuanku  Mohamad  ibni  Almarhum Tuanku  Antah  bersama-sama  pemerintah-pemerintah  Johol (termasuk Gemenceh), Inas, Ulu Muar, Jempol,  Gunung  Pasir  dan  Terachi,  bersama-sama  dengan  Tunku  Syed  Hamid  pemerintah  Tampin dan  Dato  Setia  Raja  dari  Rembau  dengan  rasminya  telah  bersetuju  menerima  perlindungan  British  melalui  satu  satu   perjanjian  yang  telah  ditandatangani  bersama oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Cecil C. Smith.  Seorang  Residen  British  dipersetujui  akan  dilantik  untuk  membantu  pentadbiran Kerajaan  Konfiderasi  ini.  Dengan  penubuhan  Konfiderasi  ini,  maka  kawasan  Negeri  Sembilan  terbahagi  kepada  dua  unit  pentadbiran  yang  diakui  oleh  Inggeris.  Yang  pertama  ialah  kawasan bahagian  Timur  yang  mengandungi  Sungai  Ujung  (termasuk Jelebu)  di  bawah  Residen  Sungai Ujung iaitu  W.F.B. Paul,  manakala  bahagian  Barat  dengan  nama  Negeri  Sembilan terletak  di bawah Residen Negeri Sembilan, Martin Lister.  Pada 8  Ogos, 1895,  satu  lagi  perjanjian  telah  ditandatangani  di hadapan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Charlis Bullen Hugh Mitchell mengenai  penubuhan  Konfiderasi Negeri Sembilan yang lebih  besar  dengan   Martin Lister telah dilantik sebagai Residennya yang  pertamanya.

SUMBER- http://hids.arkib.gov.my/

Peluasan Kuasa British di Negeri-negeri Melayu Utara (1897 -1909)

2. Transfomasi Masyarakat
2.1 Perluasan kuasa asing
PENGENALAN
      Siam telah lama ingin meluaskan pengaruh ke atas negeri-negeri Melayu, tetapi pada abad ke-18 negara tersebut terlibat dalam peperangan dengan Burma. Pada abad ke-19, Siam berjaya mengalahkan Burma Siam meneruskan penguasaannya ke atas neger-negeri Melayu. Siam menganggap Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak dan Selangor sebagai negeri di bawah kekuasaannya.Hubungan Siam dengan negeri-negeri Melayu telah lama terjalin melalui penghantaran bunga emas. Siam menganggap tindakan negeri-negeri Melayu menghantar bunga emas sebagai pengakuan terhadap kekuasaan Siam dan menjadikan negeri-negeri itu di bawah kekuasaan Siam. Sebaliknya negeri-negeri Melayu menghantar bunga emas sebagai tanda persahabatan dengan kerajaan Siam dan pada masa yang sama mengekalkan kemerdekaan negeri masing-masing.[1]

Peluasan Kuasa British di Negeri-negeri Melayu Utara (1897 -1909)
Menjelang akhir abad ke-19, Negeri-negeri Melayu Utara berada di bawah pengaruh kuasa asing, iaitu British dan Siam. Kuasa Barat ketika itu bersaing untuk mendapatkan bahan mentah dan mencari tanah jajahan.
Britain menjalinkan hubungan persahabatan dengan Siam atas sebab berikut:
(a) British ingin melindungi kepentingan perdagangan di Siam yang semakin bertambah hasil daripada Perjanjian Bowring 1855.Kepentingan ekonomi British akan terjejas sekiranya Siam jatuh ke tangan kuasa lain.
(b) British ingin melindungi jalan perdagangan melalui Selat Melaka dan perairan Singapura.
(c) British ingin mengelak daripada mempunyai satu sempadan yang sama dengan Perancis di negeri Siam.

Menjelang akhir abad ke-19, hubungan antara British dengan Perancis bertambah baik. British mengambil langkah mengawal kemungkinan Perancis mencerobohi Lembah Menam Chao Phraya di mana terdapatnya kepentingan British. Oleh itu, pada tahun 1896, Perjanjian Inggeris-Perancis ditandatangani. Menurut perjanjian ini, Perancis bersetuju tidak akan campur tangan di Lembah Menam Chao Phraya.[2]
Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897
      Perancis merancang hendak membina sebuah terusan melintasi Segenting Kra untuk memudahkan perjalanan di antara Indo-China dengan Eropah. Ini bermakna kapal-kapal dagang akan menggunakan terusan ini dan mengenepikan Selat Melaka. Terusan ini akan mengancam perdagangan dan kedudukan Singapura sebagai pelabuhan antarabangsa.

      Walaupun rancangan Perancis itu gagal, British bimbang akan minat Perancis di Siam dan Negeri-negeri Melayu Utara. British mengadakan perundingan sulit dengan Siam dan hasil daripada perundingan ini ialah Perjanjian Sulit Inggeqis-Siam pada tahun 1897. British mahu memastikan tidak ada kuasa Barat lain yang meluaskan pengaruh di Negeri-negeri Melayu Utara, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan  dan Terengganu.[3]

Syarat-syarat Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897
1.British mengiktiraf kedaulatan Siam terhadap Negeri-negeri Melayu Utara.
2. Siam bersetuju tidak akan menyerahkan mana-mana wilayahnya di selatan garisan lintang 11 darjah  Utara kepada kuasa lain.
3.Siam berjanji tidak akan memberi sebarang konsesi perdagangan atau tanah kepada mana-mana kuasa asing tanpa persetujuan kerajaan British.
4.British berjanji akan membantu Siam sekiranya Siam diserang oleh musuh

Perjanjian Pengisytiharan Inggeris-Siam l902
(a) Kebimbangan campur tangan kuasa asing yang lain
Pada akhir tahun 1890-an, persaingan kuasa-kuasa asing untuk mendapatkan tanah jajahan adalah kuat. Britain bimbang kemaraan 'kuasa-kuasa asing di Asia akan membawa kepada campur tangan mereka di Siam dan seterusnya di Negeri-negeri Melayu Utara.

      Antara tahun 1899 dan 1990, Jerman telah membuat percubaan untuk mendapatkan Pulau Langkawi dan Menteri Rusia yang berada di Bangkok pula berunding untuk mendapatkan konsesi pangkalan arang batu di Teluk Siam.

Amerika cuba memperoleh, konsesi bagi semua tanah perlombongan di Terengganu.
      Walaupun Siam dan Britain telah menandatangani Perjanjian Sulit 1897, Britain masih bimbang Siam tidak berupaya mempertahankan negerinya daripada diceroboh oleh kuasa-kuasa asing itu. Tambahan pula, walaupun Negeri-negeri Melayu Utara diakui sebagai di bawah kawalan Siam, tetapi Sultan-sultan negeri-negeri tersebut tidak suka akan penguasaan Siam. Baginda-baginda Sultan juga tidak mengetahui tentang Perjanjian Sulit 1897.

      Perasaan benci terhadap Siam amat dirasai di Kelantan dan Pattani apabila Gabenor wilayah Songkla, iaitu Phya Sukhom mengukuhkan kuasa Siam ke atas negeri Pattani dan Kelantan.Phya Sukhom telah menempatkan seorang Pesuruhjaya Residen di Kelantan.[4]

Peranan Frank Swettenham
Frank Swettenham merupakan orang yangsentiasa menegaskan bahawa Tanah Melayu adalah satu lingkungan pengaruh British dan perlindungan British haruslah diperluaskan ke Kelantan dan Terenggan. Beliau sedar tentang keadaan yang berlaku di Kelantan dan Pattani. Frank Swettenham menegaskan bahawa sekiranya British tidak membantu, mereka pasti akan meminta bantuan dari Amerika Syarikat, Jerman, atau Rusia.

Sultan Muhammad IV dari Kelantan berasa bimbang apabila Raja Abdul Kadir dari Pattani dipenjarakan oleh Siam. Sultan Muhammad IV pergi ke Singapura dan merayu supaya Frank Swettenham melindunginya daripada ancaman Siam itu.[5]

Tuntutan Duff
Walaupun Siam mempunyai kuasa terhadap Negeri-negeri Melayu Utara, Sultan negeri-negeri ini terus memerintah secara bebas. Pada tahun 1900, Sultan Kelantan menyerahkan tanah seluas 776 996 hektar kepada Duff Development Company. Sebagai balasan, Sultan Kelantan akan menerima $2 000 dan 2 000 saham dalam Duff Development Company.

Duff tidak mengendahkan tuntutan pertuanan Siam ke atas Kelantan kerana sedar Siam tidak akan mengesahkan hak miliknya itu. Beliau pergi ke England untuk meminta sokongan
politik bagi menentang bantahan Siam dalam perkara ini. Duff pula mengugut akan mempelawa Jerman atau kuasa Eropah yang lain untuk menyokong tuntutan beliau ke atas kawasan Kelantan sekiranya kerajaan British enggan membantunya.

Frank Swettenham mendesak supaya Siam mengesahkan konsesi Duff dan mencadangkan Penasihat British ditempatkan di Kelantan dan Terengganu. Apabila cadangan Frank Swettenham dikemukakan kepada Siam, mereka tidak bersetuju.British kemudian memaklumkan kepada Siam dan memberi amaran kepada Siam bahawa Siam mempunyai masa hingga akhir bulan September untuk memberi jawapan. Jika Siam tidak memberi keputusan pada masa itu, British akan menyokong Kelantan dan Terengganu dalam tuntutan mereka mendapatkan kemerdekaan.

      Ugutan British itu menyebabkan Siam terpaksa menerima cadangan Frank Swettenham. Pada bulan September 1902, Pengisytiharan Inggeris-Siam ditandatangani.
(d) Syarat-syarat Perjanjian Pengisytiharan Inggeris-Siam 1902
1.Siam diberi kuasa melantik Penasihat dan Penolong British di Kelantan dan Terengganu.
2.Penasihat British akan memberi nasihat dalam semua perkara kecuali yang berkenaan dengan agama dan adat istiadat Melayu.
3.Sekiranya pendapatan kedua-dua negeri tersebut melebihi $100 000, Siam akan diberi 10% daripada pendapatan lebihan itu. Siam tidak akan menerima apa -apa sekiranya pendapatan itu kurang daripada $100 000.
4.Siam akan menguasai hubungan luar Kelantan dan Terengganu.[6]

Perjanjian Bangkok 1909
      Pada awal tahun 1900-an, keadaan politik di Eropah menjadi huru-hara. Jerman telah menjadi negara yang kuat dan membentuk Perikatan Bertiga bersama Austria dan Itali. Memandangkan perkembangan sedemikian, Perancis menamatkan perselisihannya dengan British dan bergabung dengan Britain untuk membentuk Pakatan British-Perancis.

      Mengikut Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897, British bersetuju membantu Siam sekiranyasiam diserang. Apabila Perancis mengambil alih jajahan Siam di sempadan Siam-Kemboja, British tidak memberikan bantuan kepada Siam kerana wujudnya pakatan British-Perancis. Siam tidak bersetuju dengan tindakan British itu.

      Pada tahun 1874 dan 1883, British telah menyerahkan hak wilayah asingan di Siam. Kerajaan Siam dinasihatkan supaya melepaskan Negeri-negeri Melayu Utara yang dianggap mendatangkan kerugian. Negeri-negeri Melayu Utara membawa masalah kerana bergerak bebas dan menaruh dendam terhadap Siam.

      Selepas tahun 1904, keadaan kewangan Siam dan Negeri-negeri Melayu Utara semakin buruk. Kedah terlibat dalam masalah kewangan yang teruk akibat pembaziran beberapa istiadat perkahwinan diraja yang diadakan. Siam terpaksa membdrikan pinjaman berjumlah $2 juta.Siam ingin mengadakan rundingan dengan British bagi menyelesaikan masalah Negeri-negeri Melayu Utara. Siam sedar British berminat ke atas negeri-negeri tersebut. Perjanjian Bangkok ditandatangani pada 9 Julai 1909.[7]

Syarat-syarat Perjanjian Bangkok 1909
1.Siam bersetuju menyerahkan Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu kepada British.
2.Semua hutang Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu akan ditanggung keseluruhannya oleh kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
3.Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu bersetuju memberikan pinjaman wang sebanyak $4 juta dengan faedah 4% kepada kerajaan Siam untuk membina jalan kereta api dari sempadan Tanah Melayu ke Bangkok.
4.British berjanji tidak akan campur tangan dalam urusan wilayah lain di bawah kuasa Siam.
5.Perjanjian Sulit, Inggeris-Siam 1897 ditarik balik.
6.British menyerahkan kembali hak wilayah asingan yang diperolehinya pada tahun 1855 kepada Siam.
7.Siam bersetuju tidak akan menyerahkan atau memajakkan sebarang wilayahnya kepada mana-mana kerajaan asing tanpa persetujuan kerajaan British.[8]




[1]Ruslan Zainuddin, “Sejarah Malaysia” ,(Penerbitan Fajar Bakti, Shah Alam, 2003), 159.
[2] Ong Loo Chen, “Teks Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara”Penggal 3,(Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd., Bandar Baru   Bangi, 2014),61.
[3] Ibid.
[4] Ibid.,62
[5] Ong Loo Chen, “Teks Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara”Penggal 3,(Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd., Bandar Baru   Bangi, 2014),62.
[6] Ibid,
[7] Ong Loo Chen, “Teks Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara”Penggal 3,(Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd., Bandar Baru   Bangi, 2013),63.
[8]Ong Loo Chen, “Teks Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara”Penggal 3,(Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd., Bandar Baru   Bangi, 2014),63.

Sabtu, 12 Julai 2014

PERLUASAN UNDANG-UNDANG DARURAT KE TANAH MELAYU


Pada  hari  ini  7.12. dalam  tahun  1948,  Perluasan  Undang-undang  Darurat ke seluruh  Tanah  Melayu  telah  diisytiharkan.  Perisytiharan  itu  telah  dibuat  oleh  Sir  Alexander  Theodore  Newboult  pada  12  Julai  1948.  Pengisytiharan  ini  telah  diwartakan  dalam  warta  kerajaan  yang  bertarikh  13  Julai  1948.  Perluasan  Undang-undang  Darurat  ini  ialah  untuk  membendung  keganasan  komunis  yang  semakin  berleluasa. Pihak  komunis  telah melancarkan  keganasan  dan  beberapa  pemogokan  di  seluruh  negara  bagi  melumpuhkan  ekonomi.  Mereka  juga  telah  bertindak  membunuh  rakyat,  merosakkan  kemudahan-kemudahan  asas  seperti  jalanraya, jalan  keretapi  dan  mengebom  jambatan.  Maka  dengan  adanya  Perluasan  Undang-undang  Darurat  ini,  ia  dapat  memberi  kuasa  yang  lebih  kepada  pihak  polis  dan  tentera  untuk  menangkap  dan  menahan  orang  yang  disyaki  terlibat  dalam  kegiatan  subversif  tersebut.  Langkah-langkah  lain  yang  telah  dijalankan  oleh  pihak  kerajaan  dalam  mengekang  kegiatan  pihak  komunis   adalah  seperti  memperbesarkan  lagi  Pasukan  Askar  Melayu,  menubuhkan  Jawatankuasa  Kerja  Perang,  menubuhkan  kampung-kampung  baru  di  bawah  Rancangan  Briggs  dan  mewajibkan  perkhidmatan  tentera  untuk  mengawal  keadaan  disamping  memberi  ruang  keamanan  kepada  rakyat.
SUMBER- http://hids.arkib.gov.my/

Rabu, 9 Julai 2014

PERNYATAAN BERSAMA MENTERI-MENTERI LUAR ASEAN MENGENAI ANCAMAN DADAH DAN PENGEDARANNYA


 Masalah penyalahgunaan dadah merupakan satu ancaman besar kepada negara-negara ASEAN. Langkah-langkah tegas perlu disusuli dan kerjasama antara negara ASEAN dalam mengatasi masalah dadah dan pembanterasan pengedarannya perlu diberi perhatian yang lebih mendalam. Pada hari ini 9.7.1985 satu Pernyataan Bersama Menteri-menteri Luar ASEAN mengenai ancaman dadah dan pengedarannya telah diadakan di Kuala Lumpur. Pernyataan bersama tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Kementerian Luar Negeri Y.B. Tengku Ahmad Rithauddeen, yang juga sebagai Pengerusi Persidangan Menteri Luar ASEAN. Pernyataan Bersama tersebut mengandungi beberapa perkara penting yang dicadangkan dan diperbincangkan oleh Menteri-menteri ASEAN di antaranya ialah:
meyeragamkan undang-undang ke arah mengadakan hukuman setimpal terhadap pengedar dan merampas hartanya.
menghapuskan bahan mentah membuat dadah iaitu dengan menggantikan tanaman dadah serta mengubah pekerjaan orang yang terlibat.
perlunya usaha-usaha dibuat bagi menyedarkan masyarakat antarabangsa tentang kesan, bahaya dadah dari segi keselamatan, sosial, kebudayaan dan keperimanusiaan.

Sesungguhnya pernyataan bersama antara Menteri Luar ASEAN yang diadakan pada hari ini diharap akan dapat menyelesaikan masalah penyalahgunaan dadah dan pengedarannya di kalangan rakyat negara ASEAN keseluruhannya, di samping dapat mewujudkan penduduk-penduduk ASEAN yang sihat sejahtera dan bebas dari unsur-unsur negatif dalam kehidupan.
SUMBER-http://hids.arkib.gov.my/

PERJANJIAN PENUBUHAN MALAYSIA TELAH DITANDATANGANI DI LONDON

Negara kita Malaysia telah mengecapi nikmat kemerdekaan selama 40 tahun. Usia 40 tahun ini telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang matang dan berfikiran waras dalam menghadapi dugaan, saingan dan berbagai percubaan yang menganggu gugat kemerdekaannya. Selepas laungan Merdeka ada 31 Ogos 1957, satu persefahaman penting iaitu Penubuhan Malaysia telah pula dipersetujui dengan menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei. Walau bagaiamanapun Brunei kemudiannya telah menarik diri dengan alasan-alasan tersendiri. Pada hari ini pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Malborough House, London iaitu Pejabat Perhubungan Komanwel. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Perundingan ini, adalah lanjutan dari rundingan-rundingan yang telah diadakan sebelumnya, dan merupakan perundingan yang paling rumit di mana soal Singapura dan pasaran bersama negeri-negeri dalam Malaysia dititikberatkan. Rundingan yang hampir menemui jalan buntu itu akhirnya telah dapat diselesaikan. Hanya soal kemasukan negeri Brunei yang tidak dapat diselesaikan. Perjanjian Malaysia itu telah memperlihatkan dengan jelasnya bahawa gagasan Persekutuan Malaysia mendukung dasar kemasukan negeri-negeri lain ke dalam Malaysia dengan secara sukarela. Keengganan Brunei menyertai Persekutuan Malaysia juga menjadi bukit yang nyata bahawa Malaysia lahir tanpa paksaan apa-apapun. Upacara yang mengakhiri sejarah penjajahan British selama beratus tahun di Singapura, Sabah dan Sarawak telah ditandatangani dalam lima salinan oleh wakil-wakil kerajaan-kerajaan yang terlibat. Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Sabah pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari negeri Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg. Sementara Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee. Pembentukan Malaysia menandakan persefahaman yang wujud di kalangan negara-negara ini. Kestabilan politik dan ekonomi adalah merupakan matlamat utama  di samping mengukuhkan keselamatan di rantau ini.

 sumber-hids.arkib.gov.m

Sabtu, 5 Julai 2014

PENUBUHAN NEGERI-NEGERI SELAT

Pada hari ini 5.7.1825 Parlimen Inggeris telah meluluskan akta membenarkan Syarikat Hindia Timur E.I.C. menubuhkan Negeri-Negeri Selat. Dengan penubuhan ini pentadbiran ketiga-tiga penempatan Inggeris di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura diletakkan di bawah satu kerajaan yang beribu Pejabat di Pulau Pinang. Ibu pejabat ini kemudian telah dipindahkan ke Singapura atas sebab-sebab ekonomi dan perdagangan. Penubuhan Negeri-Negeri Selat ini adalah bertujuan bagi memudahkan segala urusan pentadbiran dan perdagangan Inggeris. Untuk tujuan tersebut seorang Gabenor General telah dilantik dan beliau dibantu oleh Residan Councillor dari tiap-tiap negeri. Di samping itu sebuah majlis telah di bentuk bagi membantu Gabenor General di mana ramai dari ahlinya terdiri dari kakitangan awam. Di peringkat awal penubuhannya Negeri-Negeri Selat sering mengalami masalah kewangan untuk membiayai urusan pentadbirannya dan ia terpaksa dibantu oleh kerajaan Inggeris di India. Oleh itu untuk menjimatkan perbelanjaan, pada tahun 1851, pentadbiran Negeri-Negeri Selat telah dipindahkan ke bawah kuasa Gabenor General di India. Kegagalan Negeri-Negeri Selat mengumpulkan hasil yang mencukupi bagi menampung perbelanjaanya adalah akibat dasar perdagangan bebas yang diamalkan di Singapura. Sungguhpun ia maju dibidang perdagangan tetapi kutipan hasil hanya bergantung kepada ladang candu, arak dan perjudian. Pada tahun 1858, apabila Syarikat Hindia Timur Inggeris dimansuhkan, pentadbiran Negeri-Negeri Selat telah diletakkan di pentadbiran Wizurai Culcutta. Akhirnya pada tahun 1867, atas desakan pedagang-pedagang di Negeri-Negeri Selat Kerajaan British akhirnya bersetuju menjadi Negeri-Negeri Selat, sebagai tanah jajahan Inggeris dan ditadbir terus dari Pejabat Tanah Jajahan di London.

SUMBER- http://hids.arkib.gov.my/

PELANCARAN KEMPEN ANTI GULA 5 JULAI 1986


Kesedaran kerajaan terhadap taraf kesihatan rakyat sentiasa diberikan perhatian utama. Berbagai-bagai kempen dan penerangan telah dijalankan supaya dapat menyedarkan rakyat tentang pentingnya penjagaan kesihatan bagi menjamin kesejahteraan keluarga dan negara. Beberapa badan-badan bukan kerajaan juga telah mengambil bahagian cergas dalam membantu kerajaan dalam kempen-kempen yang dilancarkan. Pada hari ini 5 Julai 1986, Persatuan Pengguna Pulau Pinang telah mengambil inisiatif melancarkan Kempen Anti Gula. Perasmian kempen ini telah dilaksanakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ K. Pathmanaban di pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Kementerian Kesihatan mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh persatuan ini dalam mengalakkan dan menyedarkan rakyat mengenai penjimatan dan juga bahaya penggunaan gula dari segi kesihatan. Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa cara hidup dan amalan pemakanan yang diamalkan oleh rakyat negara ini banyak mendedahkan mereka kepada penyakit-penyakit yang berkaitan dengan gula seperti kencing manis, sakit jantung, darah tinggi, penyakit gigi dan sebagainya. Timbalan Menteri Kesihatan semasa berucap di majlis ini meminta supaya kesedaran mengenai perkara ini perlu diberikan sejak dibangku sekolah lagi. Ceramah dan nasihat perlu diberikan bagi memastikan kempen ini dapat berjalan lancar dan mencapai matlamatnya. Kementerian juga menyeru badan-badan Kerajaan dan bukan Kerajaan lain mengambil langkah seperti yang dilakukan Persatuan Pengguna Pulau Pinang ini. Melalui kempen-kempen kesedaran seperti ini adalah diharapkan taraf kesihatan penduduk negara ini dapat ditingkatkan dan menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.
SUMBER-http://hids.arkib.gov.my/