Jumaat, 2 September 2016

TMnet tambah laluan Internet

ARKIB : 17/04/1998
TMnet tambah laluan Internet
PETALING JAYA 16 April - Telekom Multimedia, penyedia perkhidmatan Internet (ISP) (TMnet) akan menambah keupayaannya kepada sejuta laluan berbanding 200,000 laluan sekarang untuk memenuhi kehendak pelanggan yang semakin meningkat.

Pengurus Besarnya, Dr. Abdul Rahman Bidin berkata, perkhidmatan itu kini dilanggani lebih 160,000 pelanggan khususnya syarikat korporat meski pun baru beroperasi setahun setengah yang lalu.

Katanya, peningkatan itu merupakan satu keutamaan bagi syarikat itu.

''Keupayaan kami dijangka meningkat kepada sejuta laluan dalam tempoh dua bulan daripada sekarang,'' kata Abdul Rahman lagi.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Trilogy, satu pakej perkhidmatan Internet bersepadu hasil usahasama antara Telekom Multimedia, Compaq Computer (M) Sdn. Bhd. (Compaq Malaysia) dan Microsoft (M) Sdn. Bhd. (Microsoft Malaysia) di sini.

Turut hadir ialah Pengurus Pembangunan Akses Telekom Multimedia, Azhar Omar; Pengurus Unit Perdagangan Microsoft Malaysia, Ang Tit Meng dan Pengurus Pengembangan Perniagaan Compaq Malaysia, Lee Eng Thay.

Mengenai Trilogy, Abdul Rahman berkata, ia amat sesuai untuk semua jenis perniagaan sama ada besar atau kecil atau pun untuk kegunaan peribadi pada kadar harga yang amat berpatutan.

Katanya, Trilogy memberikan pakej produk yang terbaik dari pihak yang sememangnya unggul pasaran dalam bidang yang berkaitan.

''Trilogy adalah satu pakej bersepadu berdasarkan perisian web Microsoft ditambah pelbagai pelayan komputer dari Compaq dan laluan akses Internet dari TMnet pada harga promosi yang lebih rendah jika dibandingkan dengan langganan berasingan,'' katanya.

Menurut beliau, kelengkapan Internet sebagai satu elemen penting meningkatkan kecekapan perniagaan dipermudahkan dengan pelancaran perkhidmatan tersebut.

Oleh: ABU HAKIM KHAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=bs_04.htm#ixzz4JA2BtxZD © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan