Sabtu, 3 September 2016

Dr. Mahathir terima Anugerah Fellowship Kehormat CIM


 

ARKIB : 21/04/1998
Dr. Mahathir terima Anugerah Fellowship Kehormat CIM
DR. MAHATHIR Mohamad (kanan) menerima ucapan tahniah daripada John Edmund selepas Perdana Menteri menerima Fellowship Kehormat Chartered Institute of Marketing, United Kingdom di Kuala Lumpur, semalam. - Gambar Bernama.

KUALA LUMPUR 20 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini menerima Anugerah Fellowship Kehormat daripada Chartered Institute of Marketing, United Kingdom sebagai penghargaan kepada sumbangan beliau dalam usaha memasarkan Malaysia ke seluruh dunia.

Perdana Menteri menerima anugerah itu daripada Naib Pengerusi Kanan CIM (UK), John Edmund di Jabatan Perdana Menteri di sini.

Ketika bercakap kepada pemberita kemudian, Edmund berkata, CIM berasa bertuah atas persetujuan Dr. Mahathir untuk menerima anugerah itu.

''Syarat pemilihan kami sangat ketat. Ia berkaitan dengan kebolehan, profil dan bakat dalam pemasaran bebas.

''Dan Perdana Menteri, dilihat daripada segala kerja yang telah dilakukannya untuk Malaysia, telah membuktikan semua sifat itu,'' katanya.

Fellowship itu sehingga ini telah dianugerahkan kepada kurang daripada 70 orang di seluruh dunia dan sebelum Dr. Mahathir, hanya lima orang yang diberi anugerah itu di luar UK.

Sementara itu Pengerusi Persatuan CIM Malaysia (MACIM), Datuk Dr. James Alfred berkata, Dr. Mahathir tidak pernah gagal untuk menemui pemimpin korporat setiap kali beliau ke luar negara untuk menarik pelaburan.

''Dr. Mahathir merupakan ahli jualan utama bagi Malaysia di seluruh dunia dan usahanya itu telah menghasilkan peluang yang amat banyak dalam bidang ekonomi dan pekerjaan di negara ini,'' katanya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan MACIM pada Sabtu lepas. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz4JBRBGnow © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan