Jumaat, 2 September 2016

Isu Matnor bukan tekanan politik - Najib

ARKIB : 16/04/1998
Isu Matnor bukan tekanan politik - Najib
KUALA LUMPUR 15 April - Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Matnor Daim melepaskan jawatannya bukan kerana tekanan politik atau tindakan disiplin, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya, beliau berkata, keputusan pelepasan jawatan yang berkuat kuasa 28 April ini iaitu enam bulan lebih awal dari tarikh persaraan wajib Matnor adalah keputusan kerajaan yang telah dipersetujui bersama tahun lepas.

''Pelepasan jawatan oleh pegawai kanan sebelum persaraan wajib adalah suatu amalan biasa dalam perkhidmatan awam sebagaimana juga pertukaran dan kenaikan pangkat.

''Perkara ini juga tidak ada kaitan langsung dengan latar belakang beliau yang berasal dari Sarawak,'' katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kementerian di Pusat Bandar Damansara di sini hari ini.

Terdahulu, Najib memperbetulkan laporan akhbar yang mengatakan Matnor ''diminta melepaskan jawatannya.''

Beliau mengesahkan laporan bahawa Matnor yang dilantik pada 28 April tahun lalu akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Pendidikan lebih awal pada 28 April ini, tetapi menjelaskan:

''Pelepasan jawatan oleh Matnor, enam bulan lebih awal dari tarikh persaraan wajib beliau sebenarnya telah dipersetujui bersama pada tahun lepas.''

Menurut beliau, Matnor akan digantikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Teknikal, Datuk Dr. Shukor Abdullah mulai 29 April ini sehingga tarikh persaraan wajib beliau pada tahun depan.

Mengenai jawatan Matnor selepas ini, Najib berkata, beliau akan tetap dalam gred jawatan dan status perkhidmatan awam seperti yang disandangnya sekarang.

''Beliau (Matnor) akan menjalankan tugas-tugas khas yang akan dibincangkan kemudian,'' ujarnya sambil berharap penjelasan kementerian itu dapat diterima dan tidak menimbulkan tafsiran yang tidak sihat berhubung isu pelepasan jawatan tersebut.

Menurutnya, sebarang pelantikan pegawai tinggi adalah hak kerajaan untuk menentukannya.

''Walaupun, amalan (pelepasan jawatan seperti ini) tidak pernah berlaku dalam kementerian sebelum ini tetapi ia pernah dibuat dalam kerajaan,'' katanya.

Ini merupakan kali pertama seorang Ketua Pengarah Pendidikan melepaskan jawatan lebih awal dari tarikh sebenar persaraannya.

Matnor dilantik ke jawatan itu tahun lalu bagi menggantikan Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin yang tamat perkhidmatan kontrak dengan kementerian.

Sebelum itu, beliau adalah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Prasekolah, Rendah dan Menengah.

Jika mengikut amalan biasa, perkhidmatan Matnor sepatutnya tamat pada 23 Oktober ini, iaitu tarikh beliau mencapai usia 55 tahun.

Difahamkan, Dr. Shukor yang menggantikan beliau mulai 29 April ini berpeluang memegang jawatan itu selama kira-kira 10 bulan sebelum beliau bersara daripada perkhidmatan awam pada Februari tahun depan.

Oleh: MARHAINI KAMARUDDIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_04.htm#ixzz4JA0WU6xC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan