Jumaat, 2 September 2016

Mohd. Hassan pegawai tentera pertama peroleh Ph.D.

ARKIB : 16/04/1998
Pegawai Penyelidik Maritim, Cawangan Rancang dan Strategi, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Dr. Mohd. Hassan Omar, 41, menamatkan pengajian khusus selama tiga tahun sehingga Oktober tahun lalu dalam jurusan 'Underwater Acoustics and Sonar Engineering' di Fakulti Kejuruteraan dan Desains Alam Sekitar, Universiti Wales, Cardiff, United Kingdom.

Beliau yang ditaja sepenuhnya oleh ATM melalui Skim Biasiswa Pengajian Tinggi Angkatan Tentera, bersyukur mencapai kejayaan buat dirinya, pihak pembiaya (ATM) dan keluarganya sendiri.

Bagi Dr. Mohd. Hassan, disiplin dan komitmen yang padu amat perlu untuk seseorang berjaya semasa membuat pengajian di peringkat Ph.d.

Tanggungjawabnya sebagai seorang suami, ayah di samping peranannya sebagai pelajar tidak pernah dirasa membebankan. Malah dorongan dan sokongan isterinya Salmah Maarof serta tiga anak mereka menjadi faktor penting di dalam kejayaan akademik beliau.

Anak kelahiran Parit Putat, Sungai Rambai, Melaka ini, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah Merlimau Melaka (1964-1972) dan peringkat menengah di Sekolah Datuk Abdul Rahman Yaakub Merlimau Melaka (1970-1972).

Minatnya berputik sejak kecil lagi untuk menyertai angkatan tentera. Beliau yang aktif dalam aktiviti Pasukan Pengakap di sekolah, memasuki Sekolah Pertukangan Perantis Angkatan Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan (1973-1975) sebelum terpilih menjadi kadet TLDM di Unit Latihan Pendahuluan Pegawai Kadet di Port Dickson pada 7 Jun 1976.

Beliau kemudiannya memasuki Kolej TLDM sebelum ditauliah sebagai Leftenan Muda pada 1978. Di antara tugasan yang pernah beliau sandang ialah Pegawai Tadbir Kapal Pengukur, Pegawai Latihan, Pegawai Kadet dan beberapa bidang tugasan lain sebelum dilantik menjawat jawatan yang beliau sandang baru-baru ini.

Semasa ditanya mengenai kaitan pengajian yang lakukan, beliau berkata, ilmu yang diperoleh akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha untuk menangani serta menangkis ancaman musuh dari bawah air, terutama sekali penggunaan periuk api dan kapal selam.

Tambahnya lagi, kefahaman terhadap alam persekitaran di laut dan prosedur serta teknologi untuk melaksanakannya perlu dimiliki yang mana asasnya adalah dengan penggunaan sumber tenaga akaustik.

Beliau juga berkelulusan di dalam kepakaran 'Marine Environmental and Coastal Engineering' peringkat sarjana sebelum ini giat melaksanakan tugasan terhadap kesan penilaian alam sekitar (EIA) yang amat diperlukan di dalam aktiviti pembangunan pangkalan-pangkalan baru TLDM yang sedang dirancang dan yang sedia ada.

ATM dan TLDM khasnya kini boleh berbangga apabila kejayaan Dr. Mohd Hassan pada masa yang sama turut dilihat sebagai pembakar semangat apabila beberapa anggota ATM yang lain mengorak langkah ke hadapan untuk meneruskan pengajian masing-masing ke peringkat lebih tinggi.

Oleh: FATOS OMAR OTHMAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz4J9yzlp5W © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan