Jumaat, 2 September 2016

Matnor Daim Ketua pengarah yang 'mencipta sejarah'

ARKIB : 16/04/1998
Belum pun panas kerusi Ketua Pengarah didudukinya, dia dilaporkan diminta 'melepaskan jawatan'. Satu perkataan yang sudah pasti tidak disenangi sesiapa sahaja yang berada pada kedudukan beliau.

Tetapi apakah lagi istilah yang lebih tepat daripada itu jika seseorang yang sepatutnya tamat perkhidmatannya pada 23 Oktober ini, diminta diawalkan tarikh itu kepada 29 April ini - genap setahun setelah dilantik sebagai Ketua Pengarah.

Desas-desus beliau mungkin akan bersara awal telah lama diketahui oleh pihak media dan warga pendidikan, tetapi tidaklah 'mengejut' seperti yang berlaku sekarang.

Arahan itu pula bukan cakap-cakap kosong orang Kementerian Pendidikan yang mungkin ingin mencari publisiti murah.

Sebaliknya ia berdasarkan surat arahan yang ditandatangani dan dihantar oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KSU), Datuk Dr. Johari Mat, yang memaklumkan mengenai pelantikan Datuk Dr. Abdul Shukor Abdulah sebagai Ketua Pengarah yang baru bagi menggantikan Matnor.

Salinan surat itu dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Abdul Shukor kini memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Teknikal.

Walaupun Najib belum lagi mengesahkan berita ini, sumber terdekat pejabat menteri memaklumkan bahawa semua maklumat yang dinyatakan di dalam berita Matnor diminta melepaskan jawatannya itu adalah benar.

Bagaimanapun dalam kehebohan berita Matnor diminta melepaskan jawatannya, beliau nampaknya menjadi orang yang terakhir mengetahui berita ini.

Sumber daripada pejabat Ketua Pengarah memberitahu, beliau begitu kecewa dengan berita itu dan buat masa ini tidak mahu memikirkan langsung mengenainya.

Bagaimanapun arahan melepaskan jawatan tidak bermakna beliau akan menamatkan perkhidmatan di kementerian itu.

Beliau khabarnya akan diberikan jawatan yang setimpal dengan jawatannya sekarang.

Tetapi apakah jawatan yang setimpal dengan Ketua Pengarah kerana mengikut hieraki di Kementerian Pendidikan, jawatan tersebut adalah paling teratas yang boleh dicapai oleh warga pendidik selepas menteri, dua timbalannya dan KSU.

(KSU adalah jawatan milik warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Penarikan kuasa Ketua Pengarah daripada Matnor sudah pasti menjeruk rasa warga pendidik secara keseluruhannya, terutama guru-guru di Sabah dan Sarawak yang begitu mengharapkan anak Sarawak ini mengubah wajah kedaifan kemudahan fizikal pendidikan di negeri itu.

Ini kerana Matnor yang merasai hampir semua jawatan di kementerian itu daripada seorang guru biasa, pengetua, pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dikatakan begitu memahami apa yang berlaku 'di bawah' sana.

Malah hubungannya dengan kesatuan-kesatuan yang memperjuangkan nasib guru juga begitu baik.

Ketika menjadi Timbalan Ketua Pengarah (sekolah-sekolah) beliau banyak menjadi orang tengah dalam menyuarakan masalah-masalah guru yang disuarakan oleh pihak kesatuan kepada Ketua Pengarah ketika itu iaitu Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Mohd. Noordin.

Kita tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Tetapi seperti biasa apabila keadaan-keadaan sebegini berlaku, beberapa teori konspirasi akan ditimbulkan.

Seperti biasa juga politik pejabat adalah teori konspirasi yang amat popular.

Khabarnya, usaha-usaha 'menyingkirkan' Matnor sudah mula berputik sejak beliau menjalani pembedahan jantungnya pertengahan tahun lepas.

Matnor juga dikatakan tidak begitu popular di kementerian kerana sering tidak seia dan sekata terutama dalam perkara-perkara yang melibatkan penafian kebajikan guru.

Ada juga pihak yang mengandaikan 'masalah' yang mengundang Matnor kini adalah kerana sifat ketelusan dalam kepimpinannya.

Dalam amanat awal sempena pelantikannya sebagai Ketua Pengarah tahun lalu, beliau pernah berkata:

''Ketelusan penting supaya tidak wujud syak wasangka antara semua pihak. Tidak apa yang patut disembunyikan.''

Beliau mengotakan apa yang dikatakan apabila mendedahkan terdapat guru yang terpaksa 'menganggur' kerana guru berlebihan di pasaran gara-gara salah unjuran pihaknya sendiri.

Apa yang berlaku atau mungkin akan berlaku ini nampaknya tidak memberikan peluang kepada Matnor untuk meninggalkan dunia pendidikan yang merupakan darah dagingnya dengan kenangan manis.

Masa yang terlalu singkat yang diberikan kepada Matnor menyebabkan beliau nampaknya tidak sempat meninggalkan 'belangnya' seperti Ketua Pengarah lain, misalnya Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Mohd. Noordin.

Idea-idea kreatif dan inovatif beliau seperti projek Gerak Gempur Matematik dan Sains di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), konsep kecacatan sifar, dan permuafakatan pendidikan dihayati sehingga kini.

Beliau juga nampaknya tidak mungkin dapat menyamai kedudukan Tan Sri Wira Abdul Rahman Arshad (1985 hingga 1992) yang diiktiraf sebagai Arkitek Pendidikan Moden.

Harapan kita kini cumalah satu. Setelah hampir 30 tahun berbakti pada dunia pendidikan, janganlah kelak Matnor hanya dikenali sebagai Ketua Pengarah pertama dalam sejarah yang diminta melepaskan jawatan lebih awal dari tarikh sebenar persaraannya.

Oleh: ZALINA YAHAYA

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4J9xcfyzI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan