Jumaat, 2 September 2016

PERASMIAN KAMPUS TETAP UKM DI BANGI OLEH DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ditubuhkan pada 1970.  Penubuhan UKM merupakan satu kejayaan besar Dasar Pelajaran Kebangsaan Kebangsaan.  Semasa ditubuhkan UKM memulakan operasi pengajiannya di beberapa kampus sementara iaitu di bekas Maktab Perguruan Persekutuan, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur dan bekas Kolej Islam, Jalan Universiti.  Pada hari ini 2 September 1980 kampus tetap Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi telah dirasmikan penubuhannya oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah. Upacara perasmian yang penuh gilang gemilang telah dimulakan dengan ketibaan DYMM Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong ke Dewan Canselor Tun Abdul Razak, dan telah disambut oleh Canselor Tuanku Jaafar Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman dan Tuanku Najihah bt Tuanku Besar Burhanuddin. Paluan rebana ubi dan persembahan pancaragam Polis Diraja Malaysia telah memulakan acara perasmian tersebut. Semasa bertitah diperasmian Kampus tetap Universiti Kebangsaan Malaysia ini Yang di-Pertuan Agong berharap UKM akan terus berkembang yang mendahului pusat-pusat pengajian tinggi lain di negara ini dengan mengeluarkan pakar-pakar sama ada dalam bidang teknologi perindustrian ataupun teknologi pertanian.  Baginda menegaskan bahawa walaupun teknologi perindustrian penting, kita tidak seharusnya mengabaikan teknologi pertanian.  Sektor ini penting kepada negara dan melibatkan sebahagian besar rakyat di kawasan luar bandar.  Oleh itu kedua-dua sektor ini harus diberikan perhatian yang sama berat.  Turut berucap di Majlis Perasmian ini ialah Menteri Pelajaran Datuk Musa Hitam, dan Naib Canselor UKM Prof. Datuk Awang Had Salleh. UKM telah ditubuhkan atas kesedaran rakyat yang mahu melihat Bahasa Melayu terus berkembang dalam negara kita.  Para pejuang Bahasa Melayu telah berusaha keras menangkis dan menyakinkan semua pihak tentang kemampuan dan kepentingan meletakkan Bahasa Melayu di menara gading agar kedaulatan bahasa ibunda ini akan terus dijaga dan dipertingkatkan. Walaupun mendapat tentangan dari beberapa golongan yang ragu-ragu terhadap kemampuan Bahasa Melayu, UKM terus memainkan peranannya, memperjuang dan mengendalikan kusus-kursus dalam Bahasa Melayu.  Pada hari ini jelas terbukti kemampuan Bahasa Melayu adalah setaraf dengan bahasa-bahasa lain di dunia dalam bidang akademik dan bidang-bidang lain juga. Semasa ditubuhkan UKM mempunyai hanya 192 orang pelajar dengan hanya 78 orang tenaga pengajar, hari ini UKM telah berjaya mengeluarkan beribu-ribu graduan setiap tahun.  Kampus tetap Bangi yang dirasmikan pada hari ini terletak di kawasan seluas 2,967 ekar dan mampu menampung lebih kurang 10,000 pelajar dalam berbagai bidang pengajian, kampus ini telah mula digunakan pada akhir tahun 1977. Dengan perasmian kampus tetap UKM di Bangi pada hari ini juga telah membuahkan hasil kepada kegigihan para pejuang bahasa dan hasrat rakyat yang ingin melihat Bahasa Melayu sebagai bahasa yang berdaulat.  Allahyarham Tun Abdul Razak juga pernah menyatakan bahawa penubuhan UKM adalah kemuncak ke arah memenuhi operasi rakyat yang mahu melihat bahasa ibunda mempunyai kedaulatan dan kedudukan yang sewajarnya dalam menentukan keperibadian bangsa.  Dengan perasmian kampus tetap Bangi pada hari ini, UKM telah menempa sejarah dan maju setapak lagi dalam usaha mencapai cita-cita murni negara.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan