Ahad, 11 September 2016

Tentang Renaldo, bulatnya bola dan Godzilla

ARKIB : 15/06/1998
APABILA pasukan Brazil, juara bertahan Piala Dunia menentang Scotland di Le Stade de France, Paris, Rabu lalu, sekurang-kurangnya 80 juta manusia di seluruh dunia menonton perlawanan itu. Jumlah ini sebenarnya kecil mengambil kira apabila pesta ini berakhir pada 12 Julai hadapan, lebih 2.6 juta manusia akan menyaksikannya di 10 stadium terpilih di Perancis sementara 37 bilion manusia lagi akan menontonnya melalui TV.

Pesta sukan terbesar di dunia sudah bermula. Sebanyak 32 pasukan yang terdiri dari 704 orang pemain dari enam benua akan bertarung selama 33 hari dalam 64 perlawanan untuk menentukan siapa juara. Bola memang bulat. Tiada siapa yang boleh meramalkan siapa juara kali ini.

Kali ini Mat Tapai, penganggur di Kampung Kayu Ara di Kuala Lumpur; Akira Saito, pelajar perakaunan di Tokyo, Jepun; Andrea Gonzales, pengurus pentadbiran di Madrid, Sepanyol; Tony Adilla, pencopet di Sao Paolo, Brazil dan Martin Seagrave, pemandu lori di London, England berkongsi minat dan impian yang sama. Piala Dunia sememangnya melampaui blok dan ideologi, keyakinan dan fanatisme keagamaan, malah nasionalisme dan kenegaraan. Juga kecenderungan politik semasa dan perang dingin di antara negara.

Peminat bola di Iran buat sementara ini melupakan pendirian negara mengenai ketertiban mengikut tafsiran sekian banyak Ayatolah. Yugoslavia sedang menyembelih rakyat Kosovo dan mendapat kutukan dunia. Tetapi pesta boleh menjadikan manusia lebih toleran. Apabila Iran layak ke Perancis, mereka bersorak seperti juga penggila bola di Scotland, Croatia dan Jepun.

Rakyat Iran akan mendapat peluang menundukkan "Syaitan Besar" (Amerika Syarikat) pada 21 Jun ini. Iran memerlukan kemenangan itu untuk pelbagai tujuan - salah satu daripada maruah.

Buat sementara Korea Selatan mahu melupakan ubat pahit IMF. Malah banyak orang di Korea percaya bahawa sekiranya Korea dapat menumpaskan Mexico di di Stadium de Gerland dekat Lyon, Sabtu lalu, ia akan memberi petunjuk bahawa pemulihan ekonomi sebenar telah bermula. Sudah ada cahaya di hujung terowong. Malangnya Korea Selatan tewas 3-1.

Mungkin eksport terpenting Jepun sehari dua ini ialah Godzilla, biawak raksasa yang mengamuk di New York. Tetapi Jepun mahu membuktikan bahawa selain Godzilla di filem itu, ia juga mempunyai pemain yang bertaraf dunia bernama Hidetoshi Nakata. Jepun mahu menunjukkan apa yang boleh dilakukan oleh Godzilla muda di padang Toulouse.

Jangan ambil mudah Piala Dunia. Ia nampaknya menjadi gelanggang satu-satunya di mana semua orang setara serta berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Piala Dunia membawakan Tata Dunia yang tersendiri. Ambil sahaja kuasa ekonomi yang kedua terbesar di dunia, Jepun. Di Piala Dunia, negara itu sama wibawanya dengan negara paling semiskin Cameroon. Bulgaria yang baru bebas dari cengkaman komunisme mungkin sama miskinnya dengan Romania dan Jamaica tetapi di mata dunia, ia kini merupakan salah satu dari 32 kuasa bola dunia, setaraf dengan England, Perancis dan Arab Saudi. Amerika Syarikat mungkin negara paling kuat di dunia tetapi dalam bola sepak, Denmark, Belgium, Romania malah Croatia dan Cameron sebenarnya lebih perkasa. Piala Dunia juga tidak mengenal agama. Sekurang-kurangnya tiga negara Islam menjadi wakil umat Islam dunia.

Siapakah orang yang paling dikenali di dunia hari ini? Leornado De Caprio? Tom Cruise? Mark Damon? Salah. Jawabnya Ronaldo, Dennis Bergkamp, Alan Shearer, Raul Gonzales. Orang-orang ini harus membuktikan keupayaan mereka untuk diabadikan sebagai legenda bola sepak bersama-sama Pele, Cruyff Eusebio, Grzegorz Lato serta kmudiannya Johan Cruyff, Gerd Muller, Paolo Rossi, Diego Maradona, Roger Milla, Romario dan Roberto Baggio. Malah penjaga gol juga menjadi sebahagian cerita rakyat Piala Dunia - nama-nama yang segera diingat ialah Gordon Banks, Dino Zoff, Lev Yashin, Peter Shilton dan Thomas N'Kono.

Dan Piala Dunia bukan tanpa kontroversinya. Apabila tuan rumah Uruguay menewaskan Argentina dalam pesta Piala Dunia yang pertama pada tahun 1930, rasa tidak puas hati membawa pada putusnya hubungan diplomatik dua negara berjiran itu.

Perlawanan separuh akhir Brazil dan Czechoslovakia pada tahun 1938 mencatatkan rekod sebagai perlawanan yang paling ganas dalam sejarah - empat pemain dibuang padang dan 17 mengalami kecederaan.

Piala Dunia kali ini dianjurkan oleh Perancis, negara yang terkenal kerana sifat parokial dan pendirian introvert manusianya. Sebelum lagi Pesta itu bermula, isu tiket sudah kedengaran. Dan untuk menambah buruk keadaan, inilah masanya juruterbang syarikat penerbangan nasionalnya serta para pekerja sektor lain mengambil keputusan untuk mogok.

Selamat datang ke Perancis dan Piala Dunia 1998. - JOHAN JAAFFAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_06.htm#ixzz4JvqgAXei © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan