Ahad, 11 September 2016

Aksi Perancis cukup bertenaga

ARKIB : 14/06/1998
Aksi Perancis cukup bertenaga
MARSEILLE - Perancis memulakan aksi penuh bertenaga dalam usaha untuk menjadi negara tuan rumah pertama memenangi Piala Dunia sejak 20 tahun apabila mereka membenam Afrika Selatan 3-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan C, kelmarin.

Christophe Dugarry memecah kebuntuan pada minit ke-34, lapan minit selepas dia dimasukkan sebagai pemain gantian.

Kemudian gol sendiri oleh Pierre Issa pada minit ke-78 dan ledakan terakhir oleh Thierry Henry dua minit dalam waktu kecederaan yang memberi kemenangan mutlak kepada pasukan tuan rumah di Velodrome.

''Saya berani mengatakan pintu masih terbuka luas,'' kata jurulatih Perancis, Aime Jacquet.

Afrika Selatan, yang membuat kemunculan pertama dalam pusingan akhir Piala Dunia, kurang pengalaman untuk mengimbangi rentak permainan tuan rumah.

Zinedine Zidane, bintang yang diharap dapat menyamai legenda Perancis, Michel Platini dengan jersi nombor 10, mempamerkan aksi memberangsangkan dengan bantuan serangan yang bertubi-tubi dan menghuru-harakan pertahanan Afrika Selatan.

''Kami telah mempamerkan aksi bola sepak yang sebenar dengan dua sebab, satu kerana angin kencang yang menyukarkan permainan dan kedua, kami menewaskan Afrika Selatan yang dianggap amat baik.

Jurualatih Afrika Selatan dari Perancis, Philippe Troussier berkata, Perancis memang sebuah pasukan yang baik.

''Pasukan Perancis tersusun rapi. Itulah perbezaan antara pasukan muda seperti kami dengan mereka,'' katanya.

''Perancis berhak menang tetapi mungkin bukan 3-0. Tetapi Piala Dunia belum lagi berakhir bagi kami.

''Perlawanan ini sering akan memberikan bonus dan kini kami berada pada posisi yang kami fikirkan iaitu menewaskan Arab Saudi dan Denmark.'' Denmark mengalahkan Arab Saudi 1-0 di Lens sebelum itu.

Dugarry membuktikan ia tidak menghampakan Perancis, apabila masuk menggantikan Stephane Guivarc'h yang tercedera di lutut.

Dia memaksa penjaga gol Hans Vonk bekerja keras menyelamatkan percubaannya tiga minit sebaik bermain, kemudian mencetuskan keadaan bahaya beberapa kali di depan gawang lawan.

Zidane, yang mempamerkan aksi bergaya, mendapatkan sepakan sudut di sebelah kiri dan mengambil sepakan itu dengan tendangan lencong yang cantik dan singgah ke kepala Dugarry yang melonjak tinggi untuk menanduk masuk.

Dia mendapat peluang menjaringkan gol sekali lagi lapan minit selepas waktu rehat tetapi usahanya terhalang kerana .offside dan ketua pasukan Perancis, Didier Deschamps menerima kad kuning kerana membantah.

Emmanuel Petit, kerana mengasari lawan dan Zidane kerana membantah pengadil, turut menerima kad kuning.

Pemain pertahanan Afrika Selatan, Issa begitu kecewa apabila menjaringkan gol sendiri 12 minit sebelum tamat perlawanan.

Dugarry melorongkan bola kepada Youri Djorkaeff dalam kotak penalti, Djorkaeff merembat bola dan Issa cuba menahan dengan kaki kirinya tetapi bola terterjah ke penjuru gawang.

Issa hampir menjaringkan gol sendiri kedua apabila dia cuba mengeluarkan bola sepakan Henry dua minit pada waktu kecederaan selepas penyerang Monaco itu berjaya menewaskan dua pertahanan dan penjaga gol Vonk.

Bekas juara Piala Negara-Negara Afrika, Afrika Selatan, dengan Moshoue, Benedict McCarthy dan Phil Masinga yang beraksi cemerlang pada awal permainan, terpaksa mengalah dengan kehebatan Perancis.

PERANCIS: Fabien Barthez, Lilian Thuram, Laurent Blanc, Marcel Desailly, Bixente Lizarazu, Didier Deschamps, Emmanuel Petit (Alain Boghossian), Zinedine Zidane, Youri Djorkaeff (David Trezeguet), Stephane Guivarc'h (Christophe Dugarry), Thierry Henry.

AFRIKA SELATAN: Hans Vonk, Willem Jackson, John Moshoeu, Pierre Issa, Mark Fish, Lucas Radebe, David Nyathi, Brendan Augustine (Helman Mkhalele), Quinton Fortune, Benedict McCarthy (Shaun Bartlett), Phil Masinga.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4JvoNItg4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan